Skip to main content

Singapura

Jualan BTO Jun 2026: Permintaan lebih rendah bagi flat dengan masa menunggu lebih singkat; lebih ramai pilih projek Prime

Projek Bina-Ikut-Tempah (BTO) dengan masa menunggu lebih singkat di Sembawang North tidak menerima banyak permohonan setakat pukul 5.00 petang pada Rabu (24 Jun), dengan kadar permohonan kurang daripada satu untuk keluarga pemohon kali pertama bagi kesemua jenis flat.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Jun 2026 09:16PM Dikemas Kini : 26 Jul 2026 12:46AM
SINGAPURA: Projek Bina-Ikut-Tempah (BTO) dengan masa menunggu lebih singkat di Sembawang North tidak menerima banyak permohonan setakat pukul 5.00 petang pada Rabu (24 Jun), dengan kadar permohonan kurang daripada satu untuk keluarga pemohon kali pertama bagi kesemua jenis flat.

Ini bermakna kebanyakan keluarga pemohon kali pertama bagi Sembawang Portico dan Sembawang Brook dijamin secara maya berpeluang memilih sebuah unit.

Kedua-duanya adalah projek Standard.

Sementara itu, projek Prime di Berlayar Rise di Bukit Merah dan Lakeview Cascadia di Bishan menarik permohonan yang tinggi, meliputi sekitar 65 peratus daripada keseluruhan pemohon dalam sesi jualan kali ini.

Secara keseluruhan, sekitar 6,900 flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dilancarkan di tujuh projek di Ang Mo Kio, Bishan, Bukit Merah, Sembawang dan Woodlands.

Daripada jumlah itu, sekitar 2,500 flat di tiga projek di Sembawang dan Ang Mo Kio mempunyai masa menunggu sekitar tiga tahun atau kurang daripada itu.

Kedua-dua projek di Sembawang tergolong sebagai projek dengan masa menunggu lebih pendek.

Sesi jualan BTO kedua pada tahun ini bermula pada 17 Jun dan berlangsung sehingga pukul 11.59 malam pada 24 Jun.

Jumlah muktamad permohonan yang diterima akan diterbitkan pada pukul 2.00 petang pada Khamis.

Secara keseluruhan, terdapat 22,634 pemohon yang memohon bagi 6,952 flat BTO, di mana kadar permohonannya adalah 3.3.

PERMINTAAN BERCAMPUR-CAMPUR BAGI PROJEK STANDARD

Projek Standard di Sembawang tidak menerima banyak permohonan dalam kalangan keluarga pemohon kali pertama, walaupun ia mempunyai masa menunggu kurang tiga tahun.

Sembawang Portico mempunyai masa menunggu selama dua tahun dan tujuh bulan, manakala Sembawang Brook mempunyai masa menunggu selama dua tahun dan sembilan bulan.

Kadar permohonan bagi keluarga pemohon kali pertama untuk flat jenis tiga bilik, empat bilik dan lima bilik/3Gen masing-masing adalah 0.7, 0.6 dan 0.4, sekali gus bermakna kurang daripada satu permohonan bagi setiap flat.

Bagi flat fleksi dua bilik, kadar permohonan adalah 4.4 bagi pemohon bujang kali pertama dan 2.3 untuk pemohon warga emas.

Secara keseluruhan, projek-projek BTO di Sembawang mempunyai 2,574 pemohon bagi 2,035 unit, iaitu kadar permohonan sekitar 1.3.

Jumlah permohonan lebih rendah itu berbeza dengan projek yang mempunyai masa menunggu lebih singkat di Tampines semasa sesi jualan BTO pada Februari.

Flat fleksi dua bilik di Tampines Nova mendapat permintaan tinggi, dengan sekitar 111 pemohon bujang kali pertama bersaing bagi setiap flat setakat pukul 5.00 petang pada hari terakhir permohonan.

Encik Lee Sze Teck, pengarah kanan data analitik di Huttons Asia berkata jarak lebih jauh antara setiap projek perumahan dengan stesen MRT menjejas keputusan para pemohon.

Kedua-dua projek terletak lebih 2 kilometer dari stesen MRT Sembawang, menurut anggaran dari Google Maps.

Encik Lee menambah perbezaan harga antara kedua-dua projek BTO itu dengan Woodgrove Acres di Woodlands juga adalah kecil.

Harga bagi Woodgrove Acres lebih tinggi sedikit bagi kesemua jenis flat.

Oleh itu, para pemohon yang ingin memohon flat di bahagian utara Singapura mungkin memilih Woodgrove Acres, yang terletak di kawasan matang dengan lebih banyak kemudahan, katanya.

Woodgrove Acres, sebuah projek Standard dengan masa menunggu anggaran selama tiga tahun dan enam bulan, mendapat banyak permohonan bagi kesemua jenis flat, dengan kadar permohonan antara 2.3 dengan 3.9 bagi keluarga pemohon kali pertama bagi flat tiga bilik dan lebih besar.

Flat fleksi dua biliknya mempunyai kadar permohonan tertinggi dalam kalangan pemohon bujang kali pertama, dengan sekitar 18 pemohon bagi setiap flat.

PERMINTAAN KUKUH BAGI PROJEK PRIME

Flat empat bilik di Berlayar Rise menarik 5,023 pemohon bagi 988 unit - iaitu jumlah tertinggi bagi setiap jenis flat dan bandar.

Ini bermakna kadar permohonannya adalah 3.2 bagi keluarga pemohon kali pertama.

Permintaan bagi flat fleksi dua bilik sebanyak 816 unit adalah yang tertinggi dalam kalangan pemohon bujang kali pertama, dengan kadar permohonan sebanyak 7.5.

Cik Christine Sun, ketua penyelidik dan ahli strategi Realion (OrangeTee & ETC) Group berkata perkara itu sudah dijangkakan, kerana projek itu diramalkan menjadi yang paling popular semasa sesi jualan kali ini.

"Para pembeli berminat untuk membeli sebuah flat baharu di kawasan itu, disebabkan ciri-ciri lokasinya yang baik dan potensi peningkatan modal. Pilihan flat jualan semula pula kekal terhad, manakala membeli sebuah kondominium privet berkemungkinan berharga lebih daripada S$2 juta," katanya.

Lakeview Cascadia di Bishan mempunyai jumlah pemohon kedua tertinggi secara keseluruhan.

Flat fleksi dua bilik projek itu mempunyai kadar permohonan sebanyak 7.3 dalam kalangan pemohon bujang kali pertama, manakala unit empat biliknya mempunyai kadar permohonan 3.7 dalam kalangan keluarga pemohon kali pertama.

PERMINTAAN SEDERHANA UNTUK PROJEK PLUS DI ANG MO KIO

Dua projek Plus di Ang Mo Kio – Kebun Baru Ridge dan Kebun Baru Breeze – menarik permintaan sederhana.

Flat tiga bilik dan empat bilik mempunyai kadar permohonan 1.3 dalam kalangan keluarga pemohon kali pertama, manakala flat flexi dua bilik di Kebun Baru Breeze mempunyai kadar permohonan 3.8 dalam kalangan pemohon bujang kali pertama.

KADAR PERMOHONAN KESELURUHAN

Secara keseluruhan, kadar permohonan 3.3 adalah serupa dengan kadar permohonan semasa sesi jualan pada Februari 2026 dan lebih rendah sedikit berbanding sesi jualan pada Oktober 2025.

Kadar permohonan yang lebih rendah daripada purata ini membayangkan bahawa persaingan untuk flat telah berkurangan dan peningkatan bekalan BTO memenuhi permintaan perumahan semasa, kata Cik Sun.

Dalam catatan Facebook pada Rabu, Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat berkata kadar median keseluruhan permohonan untuk flat BTO tiga bilik dan lebih besar kekal stabil pada 1.3 kali untuk keluarga pemohon kali pertama.

"Untuk sesi jualan BTO berikutnya, pemerintah akan terus menyediakan bekalan flat yang mantap dan pilihan perumahan yang baik untuk pelbagai kumpulan rakyat Singapura dengan bajet dan keperluan yang berbeza," katanya, sambil menambah bahawa tumpuan tetap fokus pada "membina lebih banyak dan membina lebih cepat".

Ini termasuk kira-kira 20,000 flat fleksi dua bilik yang akan dilancarkan dari 2026 hingga 2028 bagi memenuhi permintaan kukuh daripada warga emas dan golongan bujang.

Dalam sesi jualan akan datang pada Oktober 2026, pembeli rumah boleh menjangkakan kira-kira 7,960 flat di kawasan Bedok, Geylang, Sembawang, Tengah, Toa Payoh dan Yishun, katanya.

Projek Apartmen Jagaan Masyarakat juga akan ditawarkan di Toa Payoh di Caldecott.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita