Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jualan bermula bagi tiket feri S'pura-Desaru; perjalanan ulang-alik S$118

Tiket feri antara Terminal Feri Tanah Merah di Singapura dengan Terminal Feri Desaru Coast di Johor berharga S$118 bagi perjalanan ulang-alik.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Jun 2022 05:05PM Dikemas Kini : 30 Jun 2022 09:08PM
KUALA LUMPUR: Tiket feri antara Terminal Feri Tanah Merah di Singapura dengan Terminal Feri Desaru Coast di Johor berharga S$118 bagi perjalanan ulang-alik, menurut pengendali feri Batam Fast dalam kenyataan medianya pada Khamis (30 Jun).

Tiket sehala, dedah Batam Fast, berharga S$70.

Bagaimanapun, para penumpang boleh mendapatkan tiket ulang-alik pada harga istimewa S$98 sepanjang tempoh promosi dari 7 Julai hingga 6 Oktober.

Menurut Batam Fast, apabila khidmat feri mula beroperasi pada 7 Julai, ia akan menyediakan perjalanan ulang-alik dari Khamis hingga Ahad sepanjang tempoh tiga bulan ini.

Feri dari Terminal Tanah Merah akan berlepas pada 8.30 pagi waktu Singapura, manakala perjalanan ulang-alik dari Desaru akan berlepas pada 5.30 petang.

"Lebih banyak perjalanan dan tarikh akan ditambah apabila permintaan meningkat, terutama sekali bagi menyambut lebih ramai pelawat semasa cuti sekolah," menurut Batam Fast.

Para penumpang dibenarkan membawa sehingga 10 kilogram barangan yang boleh diangkat, atau 20 kilogram bagi bagasi yang didaftar masuk dari mana-mana terminal.

Berat melebihi had yang dibenarkan bagi kedua-dua barangan yang boleh diangkat atau bagasi yang didaftar masuk akan dikenakan bayaran S$1 atau RM3 bagi setiap kilogram, manakala basikal atau barangan bersaiz ganjil akan dikenakan bayaran S$10 atau RM3 bagi setiap barangan.

Terminal Feri Desaru Coast dilancarkan secara rasmi pada 31 Mac oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dan diiringi Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong bersama Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

Semasa acara itu, menteri tersebut turut menerangkan bahawa terminal feri akan mula beroperasi dalam dua fasa, bermula dengan khidmat Singapura-Desaru.

Fasa kedua akan menyaksikan khidmat antara pulau Batam dan Bintan.

Anak syarikat Batam Fast, Desaru Link Ferry Services dilantik oleh pemaju terminal Desaru Coast untuk mengendalikan khidmat feri antara Singapura dengan Desaru pada awal Mac tahun ini.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan