Jual hijab dari 'vending machine'? Putri Lana tawar pilihan di tengah lonjakan perniagaan mesin layan diri di SG
Pengasas Putri Lana, Sherida Shaik Mohamed (kiri) bergambar di hadapan mesin layan diri hijabnya, yang terletak di satu sudut di stesen MRT Tampines dari pintu keluar C. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
SINGAPURA: Bayangkan anda tiba-tiba teringat perlu mencari hadiah berupa hijab untuk seseorang atau tudung tertumpah kopi ketika berada di luar — tetapi semua kedai sudah tutup?
Membeli secara online pula tidak menjamin anda akan menerima kiriman hijab itu dengan segera.
Di saat-saat genting beginilah, mesin layan diri hijab, seperti yang disediakan Putri Lana, pastinya dapat membuat anda tarik nafas lega.
Putri Lana merupakan sebuah perniagaan kecil yang menjual aneka jenis hijab sejak 2017. Dari awal lagi, Facebook Live menjadi medan utama untuk mengendalikan perniagaan tersebut.
Pada Februari 2025, Putri Lana memperkenalkan mesin layan diri sulungnya dalam meneroka wadah baharu dalam mengembangkan perniagaan hijab.
Maka, terdirilah mesin layan diri hijab berwarna kuning keluaran Putri Lana di satu sudut di stesen MRT Tampines dari pintu keluar C.
Fenomena mesin layan diri bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi kini semakin berkembang pesat!
Bukan sekadar menjual makanan dan minuman, mesin-mesin itu kini menawarkan pelbagai produk termasuk jambangan bunga, hijab, dan bahkan pencuci mulut.
Yang paling menarik, semuanya boleh didapati pada bila-bila masa, tanpa mengira waktu.
Wondertales Patisserie, misalnya, baru sahaja melancarkan mesin layan diri yang menjual pelbagai pencuci mulut hasil buatan mereka sendiri. Mesin ini ditempatkan di kedai makan Al Wadi Coffeeshop, di 970 Geylang Road, sejak bulan lalu.
Menurut perangkaan daripada firma analitik data Euromonitor International, penjualan mesin layan diri di Singapura melonjak buat empat tahun berturut-turut dari 2020 hingga 2024.
Penjualan mesin layan diri pada tahun lalu bahkan, mencatat rekod baharu iaitu S$116.8 juta, dan jumlahnya dijangka mencecah S$124.3 juta menjelang hujung tahun ini.
LABUR S$12,000 UNTUK PASANG MESIN LAYAN DIRI; PROSES MAKAN MASA LEBIH 5 BULAN
Hakikatnya, ia bukanlah mudah untuk memasang sebuah mesin layan diri sendiri, apatah lagi menguruskan operasinya.
Pengasas Putri Lana, Sherida Shaik Mohamed, 48 tahun, berkongsi ia mengambil masa sehingga lebih lima bulan untuk menjalankan segala persiapan sebelum dapat memperkenalkan mesin layan diri di Tampines.
Kos untuk sekadar memasang mesin layan diri sedemikian sahaja menjangkau S$12,000.
"Mesin ini sendiri (berharga) S$6,000. Belum termasuk papan tanda, belum termasuk pembungkusan. Belum termasuk kos sewa. Jadi mungkin, (keseluhan kos) adalah S$12,000. Saya tidak lakukan (sebarang penyenggaraan) kerana ia semua sudah diuruskan oleh pembekal mesin layan diri. Jadi, kalau misalnya ada rosak atau apa-apa, ada orang yang buat," jelas Cik Sherida, yang mempunyai seorang anak.
Cik Sherida terlebih dahulu membeli mesin layan diri dari Roboshop, sebuah pembekal mesin layan diri tempatan. Beliau bukan sekadar perlu membeli mesin itu dari Roboshop, tetapi juga mendapatkan sokongan daripada mereka bagi idea untuk menjual produk hijab melalui mesin layan diri itu.
Ini memandangkan Roboshop menguruskan sebahagian operasi perniagaan mesin layan diri itu, apabila sudah siap dipasang, dan mendapat komisen daripada penjualan hijab.
Cik Sherida seterusnya membuat permohonan kepada tuan tanah seperti SMRT, syarikat pengendali pengangkutan tempatan, atau mana-mana pusat beli-belah merata Singapura, untuk mendapatkan kelulusan untuk memasang mesin layan diri tersebut.
Kelulusan itu hanya diberikan oleh tuan tanah sekiranya mereka menyokong idea menjual produk sedemikian dalam mesin layan diri tersebut.
Usai pemasangan mesin layan diri itu, Cik Sherida masih perlu mengatasi beberapa cabaran dalam menguruskan operasi mesin layan diri tersebut.
Bahan pembungkusan bagi produk hijab yang dijual perlu dipilih dengan teliti, memandangkan ia harus tahan lasak sekiranya terjatuh atau terdedah kepada cuaca panas.
"Kami mula-mula keluarkan dengan kotak. Kalau ia jatuh, boleh terkoyak. Jadi, kami tukar kepada plastik. Tapi cabarannya pula dengan ini - kalau cuaca panas nanti beg itu jatuh, ia melekat. Jadi nanti saya bayar balik pelanggan dan saya cuba hantar kepada mereka sebaliknya. Kita tidak boleh kawal cuaca," ujarnya kepada BERITA Mediacorp.
Daripada kotak biasa hinggalah ke beg plastik lutsinar, Cik Sherida sentiasa menyesuaikan pembungkusan produk hijabnya dari semasa ke semasa bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk pelanggan.
LUMAYANKAH MESIN LAYAN DIRI DALAM KEMBANGKAN PERNIAGAAN?
Sehingga 200 helai hijab Putri Lana dijual melalui mesin layan diri setiap bulan.
Dijual pada harga antara S$10 hingga S$12, hijab yang ditawarkan di mesin layan diri itu termasuk koleksi 'halfmoon tie back jersey' yang digemari kerana cirinya yang tidak perlu digosok dan tahan peluh.
Hijab yang ditawarkan itu, dipilih dengan teliti untuk memenuhi keperluan pelanggan yang memerlukan hijab pada waktu terdesak.
"Sasaran pelanggan saya khususnya untuk mereka yang tidak pakai tudung dan mereka yang punya pekerjaan, yang tidak boleh pakai hijab. Sebab kadang-kadang kita berdepan dalam situasi kecemasan seperti kematian. Jadi, dalam (mesin) ini, saya ada letak warna kelabu, hitam. Banyak yang beli adalah jururawat, (dan mereka dalam pekerjaan beruniform," katanya.
Sungguhpun begitu, ia juga menarik minat pelanggan daripada pelbagai latar belakang, yang mungkin mahu membeli hijab untuk diberikan sebagai hadiah.
Ditanya sama ada mesin layan diri itu merupakan wadah lumayan untuk merancakkan perniagaan hijab Putri Lana, Cik Sherida berkata:
"Perbezaannya kalau kita (jual) di Facebook dan Instagram, ada yuran penghantaran. Tapi kalau mereka beli di (mesin layan diri ini), tiada yuran penghantaran."
Ia lantas, dianggap sebagai wadah yang lumayan untuk memacu perniagaannya, selagi ia terletak di lokasi yang strategik.
Lantas, Cik Sherida berkongsi bahawa meskipun beliau mempunyai rancangan untuk memasang lebih banyak mesin layan diri sedemikian dalam masa terdekat, kesukaran untuk mendapatkan lokasi yang strategik seperti di Tampines terus menjadi hambatan.
Cik Sherida turut akur bahawa perniagaan mesin layan diri itu, harus diiringi dengan pemasaran melalui media sosial, untuk merancakkan lagi perniagaan tersebut.
"Saya perasan kalau saya tak muat naik di media sosial, (penjualannya) macam surut sikit. Kadang-kadang kami perlu menyesuaikan harga juga. Kalau kami beri tawaran sikit. Nanti ia (menarik pelanggan)," jelas Cik Sherida.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.