Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

JPMorgan dikenakan denda sivil S$2.4 million atas salah laku pengurus hubungan

Anggaran Waktu Membaca:
JPMorgan dikenakan denda sivil S$2.4 million atas salah laku pengurus hubungan

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 02 Dec 2024 04:19PM Dikemas Kini : 02 Dec 2024 04:20PM
SINGAPURA: JPMorgan Chase Bank dikenakan denda sivil sebanyak S$2.4 juta oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) kerana gagal mencegah dan mengesan salah laku pengurus perhubungannya di Singapura.

Pengurus perhubungan bank tersebut telah mendedahkan maklumat tidak tepat atau tidak lengkap mengenai 24 urus niaga bon yang dijual beli secara langsung (over-the-counter, OTC) kepada pelanggannya, menyebabkan mereka dikenakan caj "melebihi kadar yang dipersetujui dua pihak", kata MAS dalam satu kenyataan media pada Isnin (Dis 2).

Langkah itu diambil menyusuli semakan MAS terhadap amalan penetapan harga dan pendedahan maklumat dalam industri perbankan swasta, kata pihak berkuasa itu.

Siasatan mendapati bagi urus niaga bon OTC, amalan JPMorgan adalah mengenakan caj kepada pelanggannya ke atas harga antara bank, kata MAS.

"Memandangkan harga antara bank tidak tersedia kepada pelanggan, mereka terpaksa bergantung pada apa yang dibentangkan pengurus perhubungan kepada mereka mengenai harga antara bank dan spread iaitu perbezaan harga antara harga jual (bid) dan beli (ask)," tambahnya.

Pihak berkuasa itu berkata bahawa bank berkenaan tidak mewujudkan proses dan kawalan yang mencukupi untuk memastikan pengurus perhubungannya mematuhi spread yang telah dipersetujui dengan pelanggan apabila melaksanakan transaksi bon OTC bagi pihak mereka.

MAS berkata ia mengambil contoh urus niaga bon OTC yang dijalankan oleh pengurus perhubungan bank tersebut dan mendapati bahawa dalam 24 urus niaga terbabit, mereka sama ada memberi gambaran salah mengenai harga antara bank yang dilaksanakan atau perbezaan harga yang dicaj, atau mengetepikan maklumat bahawa perbezaaan harga yang dikenakan adalah melebihi kadar yang dipersetujui.

Ini bercanggah dengan Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan, kata pihak berkuasa itu.

24 transaksi itu berlaku antara November 2018 dengan September 2019.

JPMorgan Chase Bank telah mengakui liabiliti ke atas salah laku pengurus perhubungannya, membayar MAS denda sivil berkenaan, dan membayar balik yuran terlebih caj kepada pelanggannya yang terjejas, kata pihak berkuasa itu.

Ia juga telah mempertingkatkan rangka kerja harga dan kawalan dalaman untuk mengelakkan berulangnya salah laku itu, tambahnya.

Tindakan mengenakan denda sivil bukanlah satu tindakan jenayah dan tidak melibatkan sekatan jenayah. Menurut MAS, rejim denda sivil, mula beroperasi pada awal 2004 dan direka untuk melengkapkan sekatan jenayah dan menangani salah laku pasaran.
 
Sumber : CNA/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan