Skip to main content

Singapura

Josephine Teo kongsi 2 insiden aktivis ‘serbu’ MPS Jalan Besar

Anggaran Waktu Membaca:
Josephine Teo kongsi 2 insiden aktivis ‘serbu’ MPS Jalan Besar

Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo dalam sesi parlimen.

Diterbitkan : 14 Mar 2025 10:39PM Dikemas Kini : 14 Mar 2025 10:42PM
SINGAPURA: Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo pada Jumaat (14 Mac) berkongsi bahawa beliau juga, berdepan dengan individu-individu yang menggunakan Sesi Bertemu Rakyat (MPS) sebagai platform untuk mereka bersuara dan bukan meminta bantuan, sama seperti yang dikongsi Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam sehari sebelumnya.

Menerusi catatan Facebook, Cik Teo berkongsi dua insiden dalam beberapa bulan kebelakangan ini di mana individu-individu itu muncul semasa MPS yang dikendalikan oleh Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) "bukan untuk mendapatkan bantuan tetapi untuk membangkitkan isu-isu".

"Sebahagian aktivis ini datang ke MPS di kawasan undi mereka, kerana tahu bahawa mereka pasti mendapat akses untuk bertemu AP, manakala sebahagian yang lain, seperti dalam kes Encik Shanmugam, mereka bukan penduduk kawasan undi tersebut," tulis Cik Teo.

"Saya tidak berhasrat menulis tentang perkara ini kepada umum tetapi saya rasa terpanggil untuk melakukannya selepas apa yang berlaku kepada Encik Shanmugam baru-baru ini," tambah beliau.

INSIDEN DI GRC JALAN BESAR

Cik Teo memetik dua insiden di MPS GRC Jalan Besar cawangan Kreta Ayer-Kim Seng, di mana beliau merupakan pengerusinya.

Insiden pertama, berlaku pada November tahun lalu, melibatkan dua wanita yang datang untuk "menyuarakan keprihatinan mereka" mengenai pendirian Singapura tentang konflik Israel-Hamas.

"Di MPS, sentiasa akan ada penduduk yang datang membawa isu-isu peribadi atau perbandaran yang mustahak dan ini mesti menjadi keutamaan kami. Lebih-lebih lagi, meskipun terdapat isu-isu nasional lebih besar yang harus dibincangkan, MPS bukanlah platform untuk menanganinya," kata Cik Teo.

"Sekalipun demikian, saya bersedia untuk bertemu dengan kedua-dua wanita itu selepas bertemu para penduduk lain."

Menurut Cik Teo, beliau mendengar keprihatinan yang disuarakan kedua wanita itu sekitar sejam dan menawarkan untuk menulis kepada kementerian yang relevan bagi pihak mereka "supaya pihak berkuasa boleh mendengar maklum balas mereka".

Sungguhpun demikian, memandangkan perbincangan yang dibuat semasa MPS adalah maklumat sulit, beliau kemudian terkejut apabila butiran perbicangan itu diterbitkan online.

"Meskipun rencana itu mengakui bahawa saya bertemu dan berbincang dengan dua wanita tersebut dengan empati, sukar untuk memahami sebab ia diterbitkan selain tujuannya untuk menyebarkan maklumat bahawa mereka sudah berjaya bertindak di MPS saya," tambah Cik Teo.
Dalam kes kedua, Cik Teo berkata seorang penduduk, Cik A, menghadiri sesi pada bulan Januari di Upper Boon Keng bersama seorang wanita muda, M, yang dikatakan anaknya.

Pasangan itu memohon bantuan kewangan, dengan M berkata dia perlu menemani Cik A, yang tidak dapat bercakap untuk diri sendiri.

Apabila pasangan itu memaklumkan kepada sukarelawan MPS bahawa mereka ada "perkata sulit untuk dibincangkan langsung" dengan Cik Teo, menteri itu berkata beliau "menggulung perbualan dengan individu lain untuk segera bertemu pasangan itu".

"Pada waktu itu, M, membuka buku nota yang mengandungi beberapa dokumen dan menyerahkan keterangan bertaip sebanyak tiga muka surat kepada Cik A. Meskipun dia kurang pasti, Cik A mengambil keterangan tersebut," kata Cik Teo.

"Tidak lama kemudian, jelas bahawa pasangan itu bukan ibu dan anak perempuan, dan kandungan (keterangan itu) tiada kaitan dengan permohonan bantuan kewangan yang pada mulanya mereka katakan. " Cik Teo bagaimanapun tidak mendedahkan apakah kandungan keterangan itu.

Kata beliau: "Malah, saya dan para sukarelawan sudah lama menyokong Cik A, termasuk menyediakan barangan dapur setiap bulan dan makanan setiap minggu. Untuk menghormati privasinya, kami tidak mempersoalkan bagaimana tiba-tiba sahaja ada "anak perempuan" menemaninya ke MPS."

Cik A, yang bercita-cita menjadi seorang guru agama beberapa tahun lalu, dirujuk oleh Cik Teo dan para sukarelawan kepada pertubuhan-pertubuhan relevan yang menawarkan bantuan kewangan bagi pengajiannya, kongsi Cik Teo.

"Sehingga hari ini, saya dan para sukarelawan saya terus menyokong Cik A dengan menghantar makanan setiap minggu," kata Cik Teo.

"Semasa pengagihan makanan tidak lama selepas insiden tersebut, Cik A memberitahu kami anak lelaki bongsu beliau layak bagi skim pemerintah yang menyokong pendidikannya, dan bahawa Cik A tidak memerlukan sebarang bantuan kewangan lain.

"Dalam bulan lalu sahaja, saya sudah berjumpa Cik A sekurang-kurangnya dua kali di acara kawasan undi kami di mana derma dikongsi dengan penduduk."

SUKARELAWAN TERJEJAS DEK INSIDEN

Menurut Cik Teo para sukarelawan beliau "terganggu dan sedih dengan insiden sedemikian", lebih-lebih lagi apabila para sukarelawan melayani penduduk yang datang ke sesi MPS dengan "niat ikhlas, tanpa menyangka akan 'diserbu'".

"Insiden sedemikian menjejas sukarelawan saya dan menjejas rasa selamat sedang kami menjalankan tugas. Sukarlah untuk kita berasa selesa apabila kita tidak tahu sama ada kita akan dilayan dengan permusuhan, dipanggil dengan nama-nama (seperti 'pengecut' dalam kes Encik Shanmugam), atau dirakam secara rahsia dan dipaparkan dalam rencana yang direka untuk menggambarkan kita dalam keadaan yang buruk," katanya.

"Saya juga menghargai bahawa penduduk mungkin membangkitkan kebimbangan yang lebih meluas tentang Singapura, selain daripada isu mereka sendiri. Mereka berbuat demikian dengan harapan agar kami akan menyampaikan pandangan mereka kepada pemerintah dan bukan sebagai cara untuk memberi tekanan awam kepada pihak berkuasa supaya mereka tunduk.

"Meskipun saya dan para sukarelawan saya akan melakukan yang terbaik untuk bangkit daripada insiden semikian, saya sedih kerana, dalam hampir dua dekad berkhidmatg sebagai AP, suasana MPS sudah berubah disebabkan episod-episod seperti ini."

Cik Teo menambah beliau berharap MPS kembali kepada "tujuan asalnya", kerana sesi-sesi itu bukan "platform tunjuk perasaan, sebaliknya ia wadah untuk para AP mendampingi penduduk mereka secara terbuka dan memenuhi keperluan paling penting mereka".
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita