Josephine Teo hantar surat peguam kepada 2 individu berhubung tuduhan rasuah, kaut untung 'tidak berasas langsung'
Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo mengeluarkan surat tuntutan kepada mereka yang membuat kenyataan palsu, menuduhnya dan suami beliau mengaut untung serta rasuah, agar menarik balik kenyataan tersebut.
Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo berucap kepada media semasa lawatan ke kemudahan perubatan baru yang dibangunkan bagi menguji pekerja asing, yang tinggal di dormitori, untuk COVID-19. (Gambar: REUTERS)
SINGAPURA: Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo mengeluarkan surat tuntutan kepada mereka yang membuat kenyataan palsu, menuduhnya dan suami beliau mengaut untung serta rasuah, agar menarik balik kenyataan tersebut.
Peguam Cik Teo berkata surat tuntutan dihantar kepada aktivis Jolovan Wham dan seorang lagi individu bernama Donald Liew.
Cik Teo berkata kenyataan-kenyataan, berkaitan pembangunan kemudahan jagaan masyarakat (CCF) oleh Surbana Jurong di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapore Expo, adalah "tidak benar, berniat merosakkan nama baik dan sama sekali tidak berasas".
"Mengenai projek ini, Surbana Jurong berurusan secara langsung dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND)," kata Cik Teo dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi peguamnya pada Rabu (20 Mei).
"Suami saya mahupun saya sendiri tidak terlibat dalam mana-mana proses menawarkan projek itu atau urus niaga kewangan."
Cik Teo berkata beliau meminta peguamnya untk mengeluarkan surat tuntutan rasmi kepada mereka yang membuat dakwaan tersebut, yang menghendaki mereka supaya menarik balik kenyataan tersebut.
"Saya faham bahawa saya berhak mendapat ganti rugi besar atas tuduhan serius dan tidak berasas ini. Namun, saya tidak berniat untuk meneruskan tindakan selanjutnya atau menuntut ganti rugi jika tuduhan tersebut ditarik balik secara terbuka dan permintaan maaf dilakukan," kata Cik Teo.
"Ini sudah jelas dalam surat peguam saya. Surat-surat itu juga menghendaki kedua-dua orang tersebut membuat sumbangan sebanyak S$1,000 setiap seorang untuk Tabung Bantuan Pekerja Asing. "
Pada hujung minggu lalu, beberapa catatan tular di media sosial dan wadah pesanan ringkas yang menuduh Cik Teo dan Surbana Jurong mengaut keuntungan daripada penularan COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.