Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Josephine Teo: Bakal lulusan bidang penerbangan, hospitaliti diberi bimbingan kerjaya

Pelajar yang memasuki sektor-sektor terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 menerima bimbingan kerjaya daripada sekolah mereka, kata Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo di Parlimen hari ini (2 Nov). 

Anggaran Waktu Membaca:
Josephine Teo: Bakal lulusan bidang penerbangan, hospitaliti diberi bimbingan kerjaya

Gambar Fail: Pelajar Politeknik Singapura. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 02 Nov 2020 05:07PM Dikemas Kini : 02 Nov 2020 05:18PM

SINGAPURA: Pelajar yang memasuki sektor-sektor terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 menerima bimbingan kerjaya daripada sekolah mereka, kata Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo di Parlimen hari ini (2 Nov).

Beliau berkata demikian semasa menjawab Anggota Parlimen GRC Tampines Desmond Choo, yang bertanya bagaimana pelajar yang menceburi bidang-bidang berkaitan aeroangkasa, penerbangan dan pelayanan dibantu membuat persiapan apabila tamat pengajian tahun depan.

Sektor-sektor yang disebutkan itu terjejas teruk sejak pandemik COVID-19 melanda - terutama sekali setelah banyak sekatan perjalanan dikuat kuasakan.

Institut-institut pengajian tinggi (IHL) sudah mula memberikan bimbingan kerjaya dan menganjurkan program-program bantuan, serta membantu para pelajar untuk meneroka "peluang-peluang kerjaya berkaitan", kata Cik Teo.

"Kami akan menganjurkan pesta-pesta kerjaya di mana ada kerja kosong dalam sektor-sektor berkaitan yang akan memanfaatkan sebaik-baiknya pengetahuan dan kemahiran siswazah," tambah beliau.

IHL juga akan memperkenalkan elektif-elektif baru bagi para pelajar supaya mereka dapat mempelajari kemahiran yang diperlukan - seperti analitik data, pemasaran digital dan pemprograman.

Cik Teo selanjutnya berkata, Pemerintah sudah memperkenalkan Program Pelatih SGUnited, yang memperuntukkan peluang kerja bagi 21,000 pelatih, disediakan oleh sekitar 3,300 pertubuhan dan syarikat.

"Secara amnya, para majikan bersedia menerima calon-calon dari pelbagai latar pendidikan. Calon juga mempunyai peluang lebih cerah jika mereka bersedia untuk mencuba sesuatu yang tidak berkaitan dengan jurusan yang diceburi," ujar Cik Teo.

Tinjauan Pengambilan Kerja dalam kalangan Siswazah yang dijalankan Kementerian Pendidikan, katanya, akan diterbitkan pada suku pertama 2021. Tinjauan itu akan memberi gambaran tentang prospek-prospek pekerjaan bagi pelajar yang tamat pengajian tahun depan.

Menjawab pertanyaan tambahan oleh Encik Choo, Cik Teo berkata sekitar separuh pelajar bidang kejuruteraan aeroangkasa masih boleh menjalani program kerja sambil belajar (internship) berkaitan dengan jurusan yang diceburi.

Separuh lagi pelajar berjaya mendapat tempat dalam bidang-bidang lain, seperti dalam pengilangan, di mana mereka boleh menggunakan kemahiran-kemahiran mereka. Dalam pengurusan penerbangan, sekitar 60 peratus pelajar sudah dapat mengikuti latihan amali, walaupun ia tidak secara langsung berkaitan dengan apa yang dipelajari di sekolah, katanya.

Sumber : CNA/AQ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan