Jolovan Wham didenda S$3,000 sertai perhimpunan haram di luar mahkamah negara
Gambar yang menunjukkan Jolovan Wham melakukan perhimpunan haram. (Gambar: Facebook/ Jolovan Wham)
SINGAPURA: Aktivis dan pekerja sosial, Jolovan Wham Kwok Han pada Jumaat (25 Feb) didenda S$3,000 kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan haram di luar Mahkamah Negara pada tahun 2018.
Dia disabit kesalahan bulan lalu atas satu tuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan di kawasan larangan di bawah Akta Ketenteraman Awam.
Mahkamah daerah mendapati dia bercadang untuk mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman berkenaan.
Wham, 41 tahun, dilihat memegang sepanduk bertulis "Gugurkan pertuduhan terhadap Terry Xu dan Daniel De Costa" di luar Mahkamah Negara pada pagi 13 Disember 2018.
BACA: Jolovan Wham didakwa kerana anjur bantahan haram di luar bangunan lama Mahkamah Negara, Toa Payoh
"PESALAH TEGAR DAN TIDAK KESAL"
Timbalan Pendakwa Raya, Jane Lim dan Niranjan Ranjakunalan mengusulkan denda maksimum S$5,000 bagi tunjuk perasaan Wham di luar Mahkamah Negara.
Mereka menyifatkan Wham sebagai "pesalah yang tegar dan tidak menyesal sepenuhnya. Dia sudah
menunjukkan dengan jelas bahawa dia tidak mengambil endah undang-undang di Singapura".
Mereka menyatakan bahawa Wham sudah mendedahkan tindakannya dengan mengambil gambar tunjuk perasaan dan memuatnaikkannya ke akaun Facebook miliknya yang mempunyai kira-kira 8,300 pengikut pada masa itu.
"Mahkamah kami harus berwaspada terhadap kelakuan yang menyalahi undang-undang untuk mengekalkan sistem yang teratur."
Peguam bela Wham, Eugene Thuraisingam meminta agar dia dikenakan denda S$1,500.
Menyusuli hukuman itu, Encik Thuraisingam memberitahu mahkamah bahawa Wham berhasrat untuk meneruskan rayuan dan meminta pembayaran denda itu ditangguhkan. Ikat jamin sebanyak S$8,000 sudah diberikan.
Wham pada Januari 2019 dikenakan denda atas kesalahan menganjurkan perhimpunan awam tanpa permit, dalam acara yang dipanggil "Civil Disobedience and Social Movements" (Keingkaran Awam dan Gerakan Sosial).
Pada Februari 2021, dia didenda S$4,500 kerana menganjurkan perhimpunan awam tanpa permit di dalam MRT sempena memperingati "Operation Spectrum".
Dia memilih untuk menjalani hukuman penjara masing-masing 10 hari dan 18 hari, menurut pihak pendakwa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.