Skip to main content

Singapura

Jolovan Wham didakwa anjur perhimpunan di Mahkamah Negara, sertai acara nyalaan lilin dekat Penjara Changi

Aktivis Jolovan Wham dikenakan lima tuduhan baharu pada Isnin (7 Sep) kerana menganjurkan satu perhimpunan di Mahkamah Negara, menyertai acara menyalakan lilin berhampiran Penjara Changi dan enggan menjawab soalan polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Jolovan Wham didakwa anjur perhimpunan di Mahkamah Negara, sertai acara nyalaan lilin dekat Penjara Changi

Aktivis Jolovan Wham tiba di Mahkamah Negara pada 7 September 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 07 Sep 2026 01:02PM
  • Jolovan Wham, seorang aktivis Singapura, dikenakan lima tuduhan baharu kerana menganjurkan dan menyertai perhimpunan awam tanpa permit serta enggan menjawab soalan polis.
  • Beliau didakwa menganjurkan perhimpunan di Mahkamah Negara pada Februari 2025 dan menghadiri acara menyalakan lilin berhampiran Penjara Changi pada November 2024 dan Januari 2025.
  • Wham sebelum ini pernah didenda atas kesalahan serupa dan kini masih berdepan dua tuduhan berkaitan perhimpunan pada 2022.
  • Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga S$10,000, bergantung kepada jenis kesalahan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Aktivis Jolovan Wham dikenakan lima tuduhan baharu pada Isnin (7 Sep) kerana menganjurkan satu perhimpunan di Mahkamah Negara, menyertai acara menyalakan lilin berhampiran Penjara Changi dan enggan menjawab soalan polis.

Wham, seorang warga Singapura berusia 46 tahun, dituduh menganjurkan satu perhimpunan bagi mengetengahkan gesaan supaya hukuman mati dimansuhkan di Singapura pada pukul 10.20 pagi, pada 3 Februari 2025, di Mahkamah Negara.

Kawasan tersebut merupakan kawasan larangan.

Wham turut dituduh menyertai beberapa perhimpunan awam dengan menghadiri acara menyalakan lilin bagi memperingati pelaksanaan hukuman mati terhadap banduan berhampiran Penjara Changi pada 22 dan 29 November 2024, serta 23 Januari 2025.

Ketika disoal siasat di Divisyen Polis Bedok pada 28 November 2024 berhubung acara yang diadakan enam hari sebelumnya, Wham dikatakan enggan menjawab soalan seorang inspektor balai.

Wham sebelum ini didenda S$10,500 pada Mei atas kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam kerana menghadiri acara menyalakan lilin bagi memperingati pelaksanaan hukuman mati terhadap para banduan.

Selain tuduhan baharu yang dikemukakan pada Isnin, dia masih berdepan dua lagi tuduhan kerana menyertai beberapa perhimpunan awam pada 2022 yang berkaitan dengan pelaksanaan hukuman mati terhadap seorang pesalah dadah.

Kes tersebut ditangguhkan bagi satu persidangan praperbicaraan pada lewat September.

Jika sabit kesalahan menganjurkan perhimpunan awam di kawasan larangan, Wham boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan enggan menjawab soalan kakitangan awam yang diberi kuasa untuk menyoalnya, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan menyertai perhimpunan awam tanpa permit, dia boleh didenda sehingga S$5,000.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita