Skip to main content

Singapura

Jollibean hadapi tuduhan hutang caruman CPF pekerja lebih S$199,000

Syarikat Jollibean Foods berhutang lebih S$199,000 dalam bentuk caruman kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan berdepan beberapa tuduhan akibat perkara tersebut, berdasarkan prosiding mahkamah pada Rabu (27 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Jollibean hadapi tuduhan hutang caruman CPF pekerja lebih S$199,000

Cawangan Jollibean di Stesen MRT Lavender sudah diambil alih semula oleh SMRT Trains pada 30 Jun 2025, berdasarkan notis yang dilihat pada pintu premis itu pada 8 Julai 2025. (Gambar: CNA/Koh Wan Ting)

Diterbitkan : 27 Aug 2025 08:10PM Dikemas Kini : 27 Aug 2025 09:41PM
SINGAPURA: Syarikat Jollibean Foods berhutang lebih S$199,000 dalam bentuk caruman kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan berdepan beberapa tuduhan akibat perkara tersebut, berdasarkan prosiding mahkamah pada Rabu (27 Ogos).

Mediacorp sebelum ini melaporkan pada Julai bahawa beberapa cawangan Jollibean sudah ditutup tahun lalu, dengan pekerja mendakwa bahawa mereka tidak menerima gaji selama beberapa bulan serta caruman CPF.

Wakil syarikat, Shahrul Nazrin, hadir bagi sebutan lanjut kes terhadap Jollibean pada Rabu.

Dia tidak diwakili peguam.

Jollibean berdepan 28 tuduhan, dan Mediacorp sudah memperoleh butiran bagi lapan daripada tuduhan-tuduhan tersebut.

Berdasarkan lapan tuduhan di bawah Akta CPF, syarikat berkenaan didakwa gagal membayar caruman CPF kepada lima pekerja bagi Disember 2024, Januari 2025 dan Februari 2025.

Mediacorp sudah membuat permintaan kepada CPF dan badan kehakiman untuk mendapatkan butiran tentang baki tuduhan lain terhadap Jollibean.

Pendakwa CPF memberitahu mahkamah bahawa penangguhan akhir diberikan pada prosiding sebelumnya bagi pembayaran tunggakan CPF berjumlah S$199,301.

Namun, tiada bayaran dibuat berhubung jumlah itu, tambahnya.

Hakim memberitahu Encik Shahrul bahawa dia sepatutnya membayar tunggakan itu sepenuhnya menjelang Rabu. Hakim turut bertanya sama ada sebarang bayaran sudah dibuat.

Encik Shahrul berkata beliau faham bahawa perkara tersebut sudah berlarutan selama beberapa bulan.

“Keadaan syarikat, seperti yang dimaklumkan kepada saya oleh pihak berkepentingan, ialah kami berada di peringkat akhir rundingan bagi pengambilalihan syarikat,” katanya.

“Sepatutnya ia diselesaikan pada akhir bulan ini, atau menjelang tarikh sebutan ini, namun kini kami sudah berada di peringkat kontrak.”

Dia memohon mahkamah memberikan penangguhan terakhir, sambil mengakui bahawa penangguhan sebelum ini sepatutnya adalah yang “muktamad”.

Menurutnya lagi, dana akan dimasukkan sebaik sahaja pengambilalihan selesai.

Dia juga menambah bahawa syarikat berhasrat untuk menyelesaikan tunggakan sepenuhnya setelah dana dipindahkan ke syarikat selepas proses pengambilalihan selesai.

Hakim bertanya tentang garis masa untuk membuat pembayaran kepada CPF, dan Encik Shahrul berkata beliau “amat yakin” semuanya boleh diselesaikan dalam tempoh empat minggu.

Apabila ditanya sama ada dia boleh membuat sedikit bayaran sementara itu, Encik Shahrul berkata bahawa syarikat “tidak mempunyai dana”.

Pendakwa CPF bersetuju dengan penangguhan selama empat minggu.

Jika bayaran tidak dibuat pada waktu itu, Encik Shahrul berkata dia akan mengaku bersalah bagi pihak syarikat.

Pendakwa CPF kemudian berkata bahawa syarikat itu adalah pesalah berulang, maka ia berdepan denda minimum S$2,000 dan maksimum S$10,000 bagi setiap tuduhan.

Kes itu ditangguhkan ke bulan September.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita