Skip to main content

Singapura

Jollibean didenda S$68,000, gagal bayar caruman CPF pekerja

Syarikat susu soya Jollibean Foods didenda S$68,000 oleh mahkamah pada Rabu (24 Sep) kerana gagal membayar caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi para kakitangannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Jollibean didenda S$68,000, gagal bayar caruman CPF pekerja

Cawangan Jollibean di Stesen MRT Lavender sudah diambil alih semula oleh SMRT Trains pada 30 Jun 2025, berdasarkan notis yang dilihat pada pintu premis itu pada 8 Julai 2025. (Gambar: CNA/Koh Wan Ting)

SINGAPURA: Syarikat susu soya Jollibean Foods didenda S$68,000 oleh mahkamah pada Rabu (24 Sep) kerana gagal membayar caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagipara kakitangannya.

Keseluruhan jumlah caruman CPF yang tertunggak adalah sebanyak S$212,295, mahkamah diberitahu.

Wakil Jollibean, Shahrul Nazrin, mengaku bersalah bagi pihak syarikat tersebut atas 34 tuduhan di bawah Akta CPF.

Syarikat itu gagal membayar caruman CPF bagi sekurang-kurangnya 16 pekerja antara lewat 2024 dan awal 2025.

Dalam perbicaraan sebelum ini, penangguhan terakhir diberikan boleh membolehkan pembayaran tunggakan dilakukan. Ketika itu, jumlah caruman CPF yang tertunggak adalah sebanyak S$199,301.

Pada ketika itu, Encik Shahrul berkata syarikat berkenaan berada di peringkat akhir rundingan bagi pengambilalihan syarikat.

Setelah pengambilalihan selesai, dana akan disalurkan dan tunggakan caruman CPF boleh diselesaikan, katanya.

Pada Rabu, dia memaklumkan kepada mahkamah: “Keadaan kami sekarang ialah – kami mempunyai seorang pelabur yang bersedia untuk membeli jenama ini. Tetapi nampaknya terdapat wartawan media di bilik mahkamah ini yang melaporkan kes tersebut, menyebabkan pelabur itu menarik diri.”

Encik Shahrul berkata “seberapa banyak yang saya berharap dapat menyelesaikan perkara ini dengan CPF", syarikat itu sedang berunding dengan pihak lain bagi tujuan pengambilalihan.

Beliau menambah, rundingan itu akan "dimuktamadkan pada bulan depan".

Beliau berkata hakim sebelum ini memberitahunya bahawa ia adalah sesi penangguhan terakhir jadi satu-satunya perkara yang boleh beliau lakukan adalah untuk mengaku bersalah dan melunaskan tunggakan caruman CPF selepas itu.

Pihak pendakwa CPF memberitahu mahkamah bahawa setakat ini, tiada bayaran diterima.

Hakim mengesahkan dengan Encik Shahrul bahawa beliau sedia maklum kedua-dua penangguhan yang diberikan sebelum ini ditandakan sebagai "muktamad", dan beliau bersetuju.

Pihak pendakwa berkata Jollibean pernah didenda sebanyak S$1,200 pada November 1998 atas kesalahan serupa.

Beliau berkata denda minimum adalah S$2,000 bagi setiap tuduhan dan maksimum adalah S$10,000.

Beliau menyerahkan hukuman itu kepada mahkamah.

Encik Shahrul bertanya jika sabitan lampau boleh diketepikan dalam menentukan, sambil berkata "syarikat ini baru diambil alih dua tahun lalu jadi kita tidak tahu menahu langsung mengenainya".

Namun pihak pendakwa berkata sabitan lama tetap diambil kira mengikut undang-undang.

Selain denda itu, hakim turut mengeluarkan sijil liabiliti bagi jumlah tunggakan CPF sebanyak S$212,295.

Encik Shahrul berkata beliau tidak dapat membuat bayaran pada Rabu dan memohon tempoh sebulan.

Hakim mengarahkan jumlah penuh S$68,000 itu dibayar selewat-lewatnya pada 22 Oktober.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita