Skip to main content

Singapura

Joki, penjaga kuda di Turf Club hadapi masa depan tidak menentu

Anggaran Waktu Membaca:
Joki, penjaga kuda di Turf Club hadapi masa depan tidak menentu

Seorang penjaga kuda di Singapore Turf Club. (Gambar: Chew Hui Min/CNA)

Diterbitkan : 09 Jun 2023 09:28AM Dikemas Kini : 09 Jun 2023 10:30AM

SINGAPURA: Ramai joki dan penjaga kuda, yang tidak digajikan secara langsung oleh Singapore Turf Club, menimbulkan persoalan tentang mengapa mereka tidak ditawarkan sebarang pampasan menyusuli pengumuman penutupan kemudahan tersebut pada tahun depan.

Pihak media bertemu lebih 10 jurulatih kuda, joki dan penjaga kuda pada pagi Khamis (8 Jun). Mereka merupakan pekerja bebas atau kakitangan kandang kuda, dan bukan pekerja Singapore Turf Club.

Mereka kelihatan pasrah dengan khabar Turf Club akan ditutup tetapi bingung mengapa mereka tidak dihulurkan sebarang bentuk sokongan. Kumpulan pekerja itu tidak tergolong dalam kira-kira 350 pekerja Turf Club yang akan menerima pampasan pemberhentian kerja dan bantuan untuk menjalani latihan semula dan mendapat kerja baru.

"Kami tidak dapat apa-apa, tapi kami yang menggerakkan semuanya di sini... Kami siapkan kuda, latih kuda... Kami perlu menjaga kuda, tidak kira hujan atau panas," kata Encik Zairi Othman, seorang penolong jurulatih kuda. "Tetapi faedah (pemberhentian kerja), kita tak dapat."

Encik Zairi, seperti joki dan penjaga kuda lain di Singapore Turf Club, berkata mereka bahkan terpinga-pinga apabila pemerintah mengumumkan bahawa kelab kuda itu akan mengadakan perlumbaan terakhirnya pada Oktober tahun depan, dan tanah itu akan diserahkan kembali kepada pihak berkuasa untuk pembangunan semula kawasan tersebut.

Penutupan Turf Club, satu-satunya kemudahan bagi perlumbaan kuda di sini, juga menandakan berakhirnya kegiatan seperti itu di Singapura.

Zyrul Nor Asman, 35 tahun, yang menjadi joki profesional tiga tahun lalu, menghabiskan 13 tahun bekerja dengan kuda-kuda. Beliau malah sebak semasa bercakap dengan media mengenai penutupan Turf Club.

"Berita ini sangat menyedihkan... Saya ada keluarga baru, isteri saya tidak dapat tidur lena," katanya, sambil bergenang air mata.

"Kemahiran kami sangat unik, kami sudah lakukan ini selama lebih 10 tahun... tidak ada kelab kuda lain. Ada pusat menunggang tetapi ia jauh berbeza sama sekali... kami tidak dilatih untuk melakukan itu."

Encik Zyrul juga bimbang beliau tidak akan mendapat pekerjaan lain dengan gaji setimpal sekarang, iaitu sekitar S$6,000 sebulan, tidak termasuk hadiah wang tunai selepas menang perlumbaan.

"Saya tinggal di flat HDB empat bilik... kami bukan hidup mewah," katanya lagi. "Saya perlu menanggung keluarga dengan dua anak kecil dan saya benar-benar tidak tahu apa yang harus saya lakukan."

Sebahagian besar joki di sini adalah warga asing, dan terdapat sekitar 30 joki dari Singapura dan Malaysia yang berpangkalan di padang lumba kuda Kranji. Jumlah joki profesional tempatan tidak melebihi 10 orang, kata mereka yang ditemui media.

Termasuk penjaga dan kakitangan lain, terdapat beberapa ratus pekerja yang terjejas.

Para pekerja yang ditemui Mediacorp berkata semangat mereka luntur dan semuanya sugul sejak pengumuman pada Isnin (5 Jun). Di samping itu, mereka prihatin terhadap kebajikan kuda-kuda di bawah jagaan mereka.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap Singapore Turf Club menyatakan ia akan memudahkan akses para jurulatih kepada seorang konsultan sumber tenaga manusia supaya sokongan seperti mendapat kerja dan latihan kemahiran juga dapat dihulurkan kepada para kakitangan mereka.

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita