Johor usul RTS kedua hubungkan Tuas dan Iskandar Puteri semasa bertemu PM Wong
Kerajaan negeri Johor mengusulkan kemungkinan adanya laluan Sistem Gerak Cepat (RTS) kedua yang menghubungkan Tuas dan Iskandar Puteri untuk lebih meningkatkan pergerakan rentas sempadan.
Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong bersama Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi semasa pertemuan mereka di Istana pada 31 Julai 2025. (Gambar: MDDI)
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, berkata beliau sudah mengemukakan beberapa "cadangan strategik" semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong.
"Selaras dengan hasrat Pemangku Sultan Johor, saya telah mengemukakan beberapa cadangan strategik, termasuk menghubungkan Tuas ke Iskandar Puteri melalui sistem RTS2," katanya dalam catatan di Facebook pada Khamis (31 Jul).
Tarikh sasaran Disember 2026 ditetapkan untuk RTS Link Johor Bahru-Singapura yang pertama memulakan operasinya. Kerja-kerja pemasangan untuk sistem kereta api itu sudah siap 56 peratus setakat akhir Jun.
Encik Wong juga menulis tentang pertemuan itu dalam catatan Facebook, dan walaupun beliau tidak menyebut tentang cadangan RTS2, beliau memuji "kerjasama mendalam dan sudah lama terjalin" antara Johor dengan Singapura.
"Kami sedang mencapai kemajuan yang baik dalam inisiatif utama seperti RTS Link Johor Bahru-Singapura dan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura. Projek-projek ini akan meningkatkan aliran rentas sempadan, mengukuhkan hubungan ekonomi kami, dan mencipta lebih banyak peluang untuk rakyat kita," katanya.
Perdana Menteri itu menyatakan hubungan erat antara Johor dengan Singapura dalam bidang seperti ekonomi dan alam sekitar, dan mengalu-alukan kerjasama yang lebih erat untuk "memberikan manfaat sebenar di kedua-dua belah Koswe".
ZON EKONOMI KHAS JOHOR-SG
Encik Onn Hafiz berkata pelbagai perkara berkaitan kerjasama antara Johor dan Singapura sudah dibincangkan semasa pertemuan yang berlangsung hampir sejam di Istana.
Pertemuan itu bukan sahaja lambang hubungan erat antara Singapura dan negeri Johor, tetapi juga cerminan komitmen bersama mereka untuk meningkatkan kerjasama ke "tahap yang lebih strategik dan menyeluruh".
"Semasa perbincangan, saya berkongsi kemajuan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, termasuk peranan Pusat Kemudahan Invest Malaysia Johor, yang kini merupakan fasilitator utama untuk pelaburan dan penyelarasan dasar," kata Encik Onn Hafiz.
"Sehingga kini, Johor sudah menerima lebih 577 pertanyaan pelaburan, dengan 70 pelabur menunjukkan minat yang serius, termasuk 11 syarikat yang dirujuk terus oleh agensi pelaburan Singapura."
Zon itu menjanjikan gabungan kekuatan Singapura dalam penyelidikan dan pembangunan dengan keupayaan industri dan keluasan tanah Malaysia – jika cabaran rentas sempadan tertentu dapat diselesaikan.
Beliau juga berkata ekonomi negeri itu sudah berkembang sebanyak 6.4 peratus – "tertinggi di Malaysia" – dan menyebut pelaburan bernilai RM30.1 bilion (S$9.1 bilion) untuk suku pertama 2025.
Encik Onn Hafiz berkata Encik Wong mengalu-alukan kemajuan SEZ Johor-Singapura dan yakin tentang kerjasama yang lebih kukuh dalam bidang seperti tenaga dan logistik.
Beliau menambah bahawa Encik Wong menyatakan keterbukaan untuk mengkaji secara membina inisiatif-inisiatif yang dicadangkan.
"Secara keseluruhannya, perbincangan ini sangat positif dan saya yakin bahawa pertemuan ini membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Johor-Singapura," tambahnya.
Encik Onn Hafiz sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Singapura, yang berakhir pada Jumaat (1 Ogos), atas jemputan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.