Johor, SG perkukuh kerjasama pengangkutan rentas sempadan
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi bersama Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow pada hari ketiga lawatan rasmi beliau ke Singapura. (Gambar: BERNAMA)
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menerusi catatan di Facebook semalam (1 Ogos) berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow pada hari ketiga lawatan rasmi beliau ke Singapura.
Beliau berkata, antara fokus utama perbincangan ialah kemajuan Sistem RTS Link yang dijadualkan mula beroperasi pada Januari 2027 termasuk aspek penyelarasan jadual operasi, struktur tambang serta integrasi sistem pengangkutan awam antara Johor dan Singapura.
"Beberapa cadangan dikemukakan bagi melancarkan mobiliti rakyat dan merangsang pertumbuhan ekonomi kedua-dua pihak secara mampan seperti cadangan penyelarasan waktu operasi serta penambahan bilangan bas rentas sempadan.
"Ini melibatkan lima pengendali utama iaitu SBS Transit, Causeway Link, SMRT Buses, Transtar Travel dan Bas AC7 yang disyorkan beroperasi lebih awal berbanding waktu semasa iaitu pukul 5.00 pagi bagi menangani kesesakan dan melancarkan aliran trafik di Tambak Johor dan Kompleks Imigresen," katanya lagi.
Encik Onn Hafiz berkata, cadangan kedua melibatkan inisiatif perkhidmatan kereta sewa privet rentas sempadan yang menawarkan pilihan mobiliti lebih fleksibel dan mengikut keperluan pengguna selain berpotensi mengurangkan kesesakan serta membuka peluang pendapatan kepada pemandu tempatan.
"Ia juga dilihat mampu menjadi pemangkin kepada sistem pengangkutan lebih mesra pengguna, selamat dan berdaya saing di samping memperkukuh integrasi antara mod pengangkutan awam kedua-dua negara," katanya lagi.
Selain itu, perbincangan turut menumpukan cadangan pelaksanaan kajian khusus potensi khidmat feri Tuas sebagai alternatif kepada pengangkutan rentas sempadan termasuk menilai tahap permintaan sebenar dan mengenal pasti keperluan serta impaknya sebagai pelengkap kepada sistem pengangkutan sedia ada.
Beliau berkata, inisiatif itu dilihat berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada Tambak Johor dan Linkedua, sekali gus membuka lebih banyak pilihan perjalanan yang fleksibel, selesa dan efisien.
"Kerajaan Johor kekal komited menyokong pembangunan infrastruktur dan sistem pengangkutan yang efisien serta mesra rakyat. Semoga pertemuan ini akan membuka laluan kepada perancangan bersama yang lebih tersusun demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi serantau," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.