Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jiran tetangga yang bertelingkah diwajibkan jalani proses pengantaraan, didenda jika gagal hadir: Edwin Tong

Anggaran Waktu Membaca:
Jiran tetangga yang bertelingkah diwajibkan jalani proses pengantaraan, didenda jika gagal hadir: Edwin Tong

(Gambar: TODAY/Ooi Boon Keong)

SINGAPURA: Jiran tetangga yang bertelagah dalam kes-kes tertentu seperti melibatkan bunyi bising akan dikehendaki untuk menjalani proses pengantaraan wajib. Malah, mereka akan dikenakan denda, andai gagal menghadirinya.

Menteri Kedua Undang-undang Edwin Tong berkata demikian pada Isnin (27 Feb).

Langkah-langkah tersebut sebahagian daripada usaha Kementerian Undang-Undang untuk meningkatkan kadar pengantaraan dalam kalangan jiran yang bertelingkah, pada peringkat awal.

Mereka yang gagal menghadiri sesi pengantaraan wajib itu juga tidak akan dapat membawa kes mereka ke Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat (CDRT), yang mendengar kes-kes mengenai pertikaian jiran.

Pengantaraan dilakukan oleh Pusat Pengantaraan Masyarakat CMC yang berusaha untuk menghuraikan pertikaian sebelum ia mencapai tahap yang memerlukan penghukuman tribunal.

Dalam sesetengah kes, pertikaian antara jiran mungkin timbul semula sekalipun setelah ia dihuraikan oleh CMC atau isu-isu baru berkemungkinan bangkit berhubung pertikaian asal.

Dalam hal sedemikian, CMC juga boleh mewajibkan pihak-pihak terlibat untuk menjalani proses pengantaraan sekali lagi, kata Encik Tong ketika berucap semasa perbahasan mengenai belanjawan Kementerian Undang-Undang di Parlimen pada Isnin (27 Feb).

Beliau menambah, Kementerian Undang-Undang akan mensyaratkan jiran yang bertikai untuk menjalani proses pengantaraan sebelum mereka boleh memfailkan tuntutan kepada CDRT.

Ini akan mencegah kes pertikaian itu daripada dibawa ke mahkamah selagi tidak perlu berbuat demikian.

Encik Tong akur bahawa dengan mewajibkan syarat bagi jiran yang bertikai untuk menjalani proses pengantaraan, kadar penyelesaian keseluruhan bagi CMC berkemungkinan akan merosot daripada kadar sedia ada iaitu 80 peratus. Ini kerana tidak semua orang akan ingin melalui proses pengantaraan yang diwajibkan.

"Walaubagaimana pun, adalah penting untuk menyediakan platform bagi semua pihak untuk mendapatkan penyelesaian secara baik dan ia masih boleh menjadi sangat berkesan di tangan seorang pengantara yang baik dengan beberapa pengalaman pendidikan awam," jelasnya.

Menjawab pertanyaan Encik Dennis Tan, Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja Hougang, mengenai kategori kes yang tertakluk kepada syarat wajib menjalani proses pengantaraan, Encik Tong berkata salah satu daripadanya termasuk kes yang berkaitan dengan bunyi bising. Ini memandangkan kes sedemikian membentuk sebilangan besar kes mengenai pertikaian tetangga.
Data menunjukkan bahawa menjalani proses pengantaraan "sebilangan besarnya berkesan", meskipun kes yang melibatkan jiran tetangga menghadiri sesi pengantaraan secara sukarela, yang ditangani CMC hanya mewakili sebilangan kecil daripada kes pertikaian itu.

Ini kerana kebanyakan tetangga yang bertelingkah tidak berusaha untuk menyelesaikan pertikaian mereka dengan menjalani sesi pengantaraan. 30 peratus daripada kesemua kes yang menyebabkan pertelingkahan tetangga, melibatkan mereka yang menghadiri sesi pengantaraan secara sukarela di CMC, dedah Encik Tong.

Bagi kes yang masih tidak dapat dihuraikan, CDRT akan terus berfungsi sebagai jalan huraian terakhir.

Tambahan pula, terdapat langkah yang lebih kukuh bagi menghindari sebarang tindakan yang tidak mematuhi arahan CDRT.

Kementerian Undang-Undang juga akan terus mengkaji bagaimana untuk menangani kes di mana tindakan mengganggu ketenteraman awam mungkin mempunyai kaitan dengan kondisi kesihatan mental seseorang.
Sumber : Today/LL/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan