Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jiran mangsa pembunuhan di Yishun terkejut darah di merata koridor, tangga

Anggaran Waktu Membaca:
Jiran mangsa pembunuhan di Yishun terkejut darah di merata koridor, tangga

(Gambar: Navene Elangovan/TODAY)

Diterbitkan : 11 Oct 2022 11:03PM Dikemas Kini : 11 Oct 2022 11:03PM

SINGAPURA: Tidak pernah terlintas dalam fikiran Encik Farhan Shah, 31 tahun, apabila beliau pulang dari luar negara sekitar pukul 9.00 malam pada Isnin (10 Okt), beliau akan bersemuka dengan sesuatu yang "menggerunkan".

Lantai koridor di depan flatnya di tingkat lima Blok 653 Yishun Avenue 4, penuh dengan darah. 

Pengurus projek dalam industri IT itu dikejutkan lagi dengan berita bahawa jirannya dibunuh. 

Walaupun Encik Farhan pernah mendengar keluarga itu bergaduh sebelum ini, katanya, keadaan agak aman dalam tempoh enam bulan yang lalu dan beliau baru nampak mereka meluangkan masa bersama. 

Dalam kenyataan pada Isnin (10 Okt), polis menyatakan pihaknya menerima panggilan meminta bantuan dari sebuah unit di Yishun Avenue 4 sekitar 7.05 malam pada hari yang sama. Seorang lelaki 47 tahun ditemui terbaring tidak bergerak di luar unit kediaman itu dan disahkan mati oleh anggota paramedik. 

Mediacorp difahamkan bahawa mayat mangsa tidak ditemui di tingkat lima blok di mana beliau tinggal tetapi di tingkat empat. 

Encik Farhan yang tinggal di sebelah flat mangsa selama 12 tahun, memberitahu Mediacorp bahawa jirannya mempunyai seorang anak perempuan dan dua anak lelaki. Tambahnya, beliau tidak banyak berbual dengan mereka, tetapi pernah mendengar mereka bertengkar sebelum ini. 

Ketika Mediacorp mengunjungi blok tersebut sekitar pukul 11.00 pagi pada Selasa (11 Okt), tiga pekerja dari majlis bandaran estet tersebut sedang mencuci koridor dan mengecat kesan darah di tembok. 

Jiran-jiran lain yang ditemui Mediacorp berkata mereka tidak mendengar ataupun melihat sebarang kejadian berlaku, tetapi terkejut apabila mendapat tahu tentang pembunuhan yang berlaku. 

Sumber : Today/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa