Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jingga tanda berani, bersatu bersama kakitangan barisan hadapan COVID-19

Meskipun Sistem Respons Keadaan Penularan Penyakit (DORSCON) di Singapura naik ke paras Jingga, kehidupan seharian tetap harus diteruskan seperti biasa.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Meskipun Sistem Respons Keadaan Penularan Penyakit (DORSCON) di Singapura naik ke paras Jingga, kehidupan seharian tetap harus diteruskan seperti biasa.

Apatah lagi amalan gaya hidup sihat sangat digalak sebagai langkah berjaga-berjaga di tengah-tengah penularan virus korona COVID-19.

Demikian ujar Timbalan Pengerusi MENDAKI Zaqy Mohamad ketika memulakan acara berjalan merata Singapura anjuran badan tersebut siang tadi (29 Feb).

Hampir 200 peserta One MENDAKI Orange Heart Walk berkumpul seawal 7.00 pagi lagi di beberapa lokasi untuk berjalan antara lapan hingga 10 kilometer melalui enam laluan berbeza sepanjang Laluan Pantai ke Pantai Lembaga Taman Negara (NParks).

Selain bersenam bagi menjaga kesihatan, tujuan mereka adalah untuk menunjukkan sokongan kepada kakitangan barisan hadapan yang tidak kenal erti penat, bertungkus-lumus membendung penularan virus korona COVID-19.

“Hari ini, kita bersama pegawai-pegawai MENDAKI berjalan untuk memberi penghargaan kepada pekerja barisan hadapan kita dalam memerangi virus COVID-19 ini.

“Kami ingin menunjukkan bahawa kita berdiri bersatu dengan mereka dalam usaha tersebut,” kata Encik Zaqy yang juga merupakan Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia.

JINGGA TANDA BERANI

Siap berbaju warna jingga, setiap daripada sekitar 10,000 langkah yang diorak peserta dalam menyelesaikan perjalanan masing-masing hari ini penuh bermakna.

Ia melambangkan kecekalan masyarakat Singapura untuk meneruskan kehidupan seharian tanpa dihambat COVID-19, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MENDAKI Rahayu Buang.

“Kita mahu menukar mesej negatif yang selalunya dikaitkan dengan DORSCON Jingga menjadi sesuatu yang positif.

“Jingga (yang kami pakai) menunjukkan daya ketahanan kita yang bertambah tinggi,” kongsi beliau yang turun padang bersama 40 peserta untuk berjalan lapan kilometer dari Taman Luxus Hills ke Kolam Air Lower Seletar.

Cik Hazleen Ahmad, 48 tahun yang memimpin rombongan itu turut bersetuju bahkan mahu menampilkan sifat berani dalam kalangan masyarakat untuk menempuhi tempoh yang mencabar ini.

(Cik Hazleen, tengah, memakai topi. Gambar: MENDAKI)

“Kita perlu berani sebagai satu masyarakat, bersatu padu keluar, jangan takut-takut duduk dalam rumah! Keluar untuk amalkan gaya hidup sihat seperti ini,” kata beliau yang turt tersentuh dengan sambutan yang diberikan kepada One MENDAKI Orange Heart Walk.

“Ada juga satu kumpulan, 10 hingga 15 orang yang akan berjalan 42 kilometer dari Jurong Lakeside ke Pulau Coney Punggol,” kongsinya.

JINGGA TANDA PERPADUAN

Malah terdapat kumpulan-kumpulan lain yang juga mengenakan baju jingga dan berjalan sebagai tanda perpaduan. Mereka turut memuat naik gambar atau video berserta garis miring #orangeheartwalk.

Antaranya adalah Anggota Parlimen GRC Jurong Rahayu Mahzam yang berlari-lari anak bersama rakan-rakan kerja rangkaian M³ (MESRA, MENDAKI dan MUIS).

“Kami menyokong wira-wira barisan hadapan kami yang dengan beraninya bekerja keras untuk menangani situasi COVID-19. Terima kasih atas dedikasi anda!” tulis beliau di Instagram.

Dalam pada itu, acara tersebut juga menyatukan para peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.

Misalnya, Jasper Tan, 45 tahun yang turut terdorong meluangkan pagi Sabtu bersama keluarganya untuk tujuan murni itu.

(Encik Jasper Tan berbaju merah jambu. Gambar: Said Mahadi)

“Saya betul-betul menghargai kesemua mereka di barisan hadapan yang berdepan virus itu sekarang. Bukan kakitangan perubatan saja tapi juga individu lain yang turut menyumbang.

“Seperti kami, mereka juga mempunyai keluarga masing-masing. Oleh itu, kami berdoa yang terbaik buat mereka dan berharap episod ini akan berlalu dengan secepat mungkin,” katanya.

Secara keseluruhan, kenam-enam rombongan yang memulakan perjalanan dari Taman Luxus Hills, Taman Tasik Jurong, Taman Semula Jadi Bukit Batok, Adam Road, Taman Bishan/Ang Mo Kio dan Tanah Paya Terapung Sengkang mencatat jarak perjalanan lebih 60 kilometer hari ini.

Di samping itu, mereka juga beramal jariah dengan yuran penyertaan acara disalurkan kepada Dana Ketabahan atau The Courage Fund yang dikendalikan oleh Dana Masyarakat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan