Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jika politik SG alami masalah, tadbir urus negara juga terjejas: PM Lee

Tadbir urus negara dan "kehidupan kita semua" akan terjejas jika politik Singapura mengalami masalah - iaitu sesuatu yang sudah berlaku di negara-negara lain, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (6 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tadbir urus negara dan "kehidupan kita semua" akan terjejas jika politik Singapura mengalami masalah - iaitu sesuatu yang sudah berlaku di negara-negara lain, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (6 Nov).

Berucap kepada lebih 3,000 anggota parti di persidangan dwitahunan Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Lee berkata parti itu tidak boleh memandang ringan tugasnya dan perlu terus berusaha untuk memperbaharui pengganti dan pucuk pimpinannya.

Pemerintah di negara-negara lain menjadi "lumpuh dan terganggu" manakala masyarakat "berpecah belah" apabila timbul perbalahan dalam politik, katanya.

Encik Lee memberi contoh Amerika Syarikat "yang melihat dirinya sebagai sebuah negara unggul, satu contoh kepada seluruh dunia tentang bagaimana sebuah negara harus ditadbir".

"Namun, politik negara itu semakin berpecah belah, menjadi lemah dan tidak berfungsi. Ramai rakyat Amerika tidak percaya lagi pada keputusan pilihan raya," katanya.

Encik Lee juga memberi contoh Britain, sambil berkata ia "baru-baru ini mengalami pergolakan politik yang sebelum ini dianggap tidak akan pernah berlaku di sana". Pada bulan lalu, negara itu melantik Rishi Sunak, perdana menterinya yang ketiga dalam tempoh dua bulan.

Encik Lee berkata: "Ada orang fikir ini tidak akan pernah berlaku di Singapura, hanya kerana sebab kita adalah rakyat Singapura, hal ini tidak akan berlaku kepada diri kita. Bahawa politik kita telah berfungsi dengan baik, seperti mana sejak 60 tahun lalu.

"Namun hakikatnya, apa yang kita ada hari ini bukanlah sesuatu yang semulajadi. Pemerintah sedemikian rupa jarang sekali boleh ditemui. Hampir di semua tempat lain, pemerintah jarang memikirkan menjangkau pilihan raya seterusnya."

Encik Lee berkata Singapura menjadi sedemikian "hasil kerja keras, titik peluh beberapa generasi", dan kerana "penduduk bekerja rapat dengan PAP untuk menghuraikan masalah, membaiki diri dan membangunkan apa yang dapat kita nikmati hari ini".

Beliau memberitahu anggota parti bahawa PAP tidak boleh memandang ringan tugasnya kerana apa jua boleh berubah  dengan mudah.

"Tiada sebarang unsur magik dalam tanah, air atau udara kita. Penduduk kita bukanlah lebih baik, atau bijak, atau lebih berakhlak mulia berbanding penduduk di negara-negara lain.

"Mungkin kita lebih bersatu padu tetapi tiada vaksin untuk melindungi diri kita daripada kuasa anasir kemarahan, rasa takut, perkauman dan xenofobia," kata Encik Lee.

PAP SUDAH KENAL PASTI 'CALON BERPOTENSI' BAGI PILIHAN RAYA AKAN DATANG

Beralih kepada isu peralihan dan pembaharuan pucuk pimpinan, Encik Lee berkata beliau baru-baru ini menerima seorang tetamu dari sebuah negara maju yang mana pimpinannya bertukar tangan setiap dua atau tiga tahun, kadangkala lebih kerap.

"Beliau memuji betapa teratur dan sistematik peralihan politik kami. Saya berkata bahawa ia bukanlah mudah untuk kita juga, tetapi kami bertekad untuk menjalankan tanggungjawab kami kepada generasi seterusnya sedaya updaya," kata Encik Lee.

Beliau berkata bahawa pasukan pemimpin generasi keempat atau 4G, telah memilih Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong untuk memimpin mereka.

Pengundian bagi anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) hari ini turut menyaksikan  pembaharuan dalam kepimpinan PAP, katanya.

Encik Lee mengucapkan terima kasih kepada pengerusi parti, Gan Kim Yong, yang tidak lagi  bertanding untuk dicalonkan semula untuk CEC.

"Kita perlu menarik lebih ramai individu berkebolehan ke dalam politik Singapura - individu dengan idea untuk membaiki kehidupan kita, dan jiwa untuk berkhidmat kepada penduduk dan memperjuangkan keprihatinan mereka," kata Encik Lee.

"Mereka yang boleh membentuk kumpulan Anggota Parlimen (AP) dan menteri yang berupaya, komited dan bersatu padu untuk memimpin Singapura. Individu yang akan membawa kejayaan Singapura hingga ke generasi seterusnya."

Encik Lee kemudian menyifatkan Pilihan Raya Umum (GE) sebelum ini, yang berlangsung pada 2020 semasa pandemik COVID-19, sebagai "detik perubahan besar pemimpin di tengah-tengah sebuah krisis". PAP membawa masuk 24 AP baru.

Menurutnya sejak itu, parti tersebut "sibuk mencari muka-muka baru yang berpotensi".

"Kami sudah mengenal pasti beberapa calon yang berpotensi dan lebih ramai lagi dalam pada masa akan datang," katanya.

"Saya yakin menjelang Pilihan Raya Umum seterusnya, kami sekali lagi dapat menampilkan calon-calon yang berbakat dan pelbagai, yang berpengalaman dan baru, dan bersedia untuk berusaha bersama pengundi dan memajukan Singapura."

Encik Lee menarik perhatian bahawa Pilihan Raya Umum akan datang  bertepatan dengan pembaharuan pucuk pimpinan  Singapura dan negara ini akan "diuji dari setiap penjuru, di dalam negara mahu pun  dari luar negara".

"Saya yakin negara-negara jiran kita akan mengikuti perkembangan secara teliti sama ada rakyat Singapura akan terus menyokong Pemerintah; sama ada Singapura dapat terus berfungsi dan catat kemajuan, seperti mana ia lakukan selama ini. Mari kita lakukan yang terbaik untuk memenangi pilihan raya seterusnya secara jelas," katanya.

Beliau menggesa anggota parti dan aktivis supaya bekerjasama dengan AP dan pengerusi cawangan untuk mendampingi dan "menambat hati dan minda" penduduk dan kumpulan serta "meyakinkan para pengundi bahawa sebuah pemerintah PAP adalah harapan yang terbaik bagi sebuah Singapura yang stabil dan berjaya".

"Pasukan saya dan saya - sama ada 3G, 4G atau 5G - akan menjalankan amanah yang diberikan," kata Encik Lee.

"Kami akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk rakyat. Kami tidak akan pernah mengelak daripada berdepan perkara-perkara yang sukar, dan kami akan berusaha dengan anda semua untuk memastikan kehidupan yang lebih baik untuk semua dan masa hadapan lebih cerah untuk generasi yang akan datang."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan