Skip to main content

Singapura

Jetstar Asia tamat operasi selepas 20 tahun, penerbangan terakhir dari SG

Jetstar Asia melakukan penerbangan terakhirnya dari Lapangan Terbang Changi pada Khamis (31 Jul), sekali gus menamatkan lebih 20 tahun operasi syarikat penerbangan tambang jimat tersebut yang berpangkalan di Singapura di bawah Qantas Group.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Jetstar Asia tamat operasi selepas 20 tahun, penerbangan terakhir dari SG

Kakitangan lapangan terbang melambai ketika penerbangan terakhir Jetstar Asia berlepas dari Lapangan Terbang Changi pada 31 Julai 2025. (Gambar: Jetstar Asia)

SINGAPURA: Jetstar Asia melakukan penerbangan terakhirnya dari Lapangan Terbang Changi pada Khamis (31 Jul), sekali gus menamatkan lebih 20 tahun operasi syarikat penerbangan tambang jimat tersebut yang berpangkalan di Singapura di bawah Qantas Group.

Penerbangan pada pukul 2.55 petang — 3K685 ke Kuala Lumpur — menandakan berakhirnya satu era bagi para kakitangan kabin dan kakitangan darat. Ramai antara mereka hadir untuk menandakan perpisahan terakhir itu.
Pramugari Flora Foo dan Jocelyn Chow kelihatan sebak pada hari terakhir perkhidmatan Jetstar Asia di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi pada 31 Julai 2025. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
“Apabila saya bangun pagi ini, saya tidak percaya. Hari ini adalah hari terakhir,” kata pramugari berusia 61 tahun, Jocelyn Chow, yang berkhidmat selama 13 tahun di syarikat itu. “Saya rasa sangat sedih kerana Jetstar Asia tidak lagi wujud, dan saya juga rasa bertuah kerana dapat mengendalikan penerbangan terakhir yang keluar dari Lapangan Terbang Changi.”

Cik Chow berkata beliau berharap dapat meninggalkan kenangan bermakna bagi para penumpang dalam penerbangan yang mungkin menjadi yang terakhir untuk dirinya sebagai seorang pramugari.

“Bagus untuk menutup bab ini. Saya selalu beritahu kakitangan saya bahawa bagaimana anda memasuki Jetstar (Asia), anda harus keluar dengan cara yang sama,” tambah beliau.

Seorang lagi pramugari, Flora Foo, 65 tahun, turut mengenang 14 tahun perkhidmatannya.

“Walaupun ia syarikat tambang jimat, perkara kecil dan permintaan ringkas yang dipenuhi itulah yang menjadikan penerbangan lebih selesa,” kata beliau. “Dan apabila mereka turun dan sekadar mengucapkan terima kasih, ia benar-benar menyentuh hati.”

Ketika pesawat terakhir Jetstar Asia berlepas dari Lapangan Terbang Changi, kakitangan lapangan terbang dilihat berdiri di sepanjang landasan sambil melambai.

SOKONGAN BAGI KAKITANGAN YANG DIBERHENTIKAN

Jetstar Asia mengumumkan pada Jun bahawa ia akan menamatkan operasi menjelang akhir Julai. Di bawah kumpulan yang sama ialah syarikat penerbangan tambang jimat Jetstar Airways — yang beroperasi di New Zealand dan Australia — serta Jetstar Japan, yang akan terus beroperasi.

Lebih 500 kakitangan diberhentikan susulan penutupan tersebut.

Daripada sekitar 900 permohonan kerja yang dikemukakan oleh kakitangan yang terjejas, 54 peratus daripadanya sudah mendapatkan tawaran kerja atau temu duga, kata Ketua Pegawai Eksekutif John Simeone pada Khamis. Beliau menambah bahawa sebahagian daripada mereka menerima tawaran untuk bekerja di ruang istirahat lapangan terbang atau dalam sektor pelancongan.

Sebagai contoh, Cik Chow akan bekerja di ruang istirahat sebuah syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Changi, manakala Cik Foo masih lagi mencari pekerjaan.

“Kami mungkin agak tidak sabar kerana kami mahu semua orang mendapatkan pekerjaan hari ini juga,” kata Encik Simeone.
Encik Nico Van Der Schyff, 56 tahun, ketua juruterbang bagi penerbangan terakhir Jetstar Asia dari Singapura, 3K685 ke Kuala Lumpur, di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi pada 31 Julai 2025. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Beliau menambah bahawa sebahagian daripada mereka yang masih belum mendapat tawaran kerja atau temu duga sedang berehat, meneroka kerjaya lain atau masih menunggu maklum balas.

Encik Simeone turut menghargai sokongan yang diberikan oleh rakan-rakan dari sektor penerbangan dan penginapan. “Industri ini tampil membantu dan cuba menyokong kakitangan di mana yang mampu,” kata beliau.

Beliau juga menyatakan bahawa hampir semua pelanggan sudah menerima bayaran balik untuk penerbangan yang dibatalkan.

"Kami mungkin hanya tidak dapat menghubungi beberapa pelanggan,” katanya. “Bilangan yang belum dihubungi amat kecil.”

UCAPAN SELAMAT JALAN DARI KOKPIT

Ketua juruterbang Nico Van Der Schyff, yang mengemudi penerbangan terakhir itu, berkata pengumuman pada Jun lalu amat mengejutkan.

“Ia mengambil masa untuk kami semua pulih… tetapi pada masa yang sama, di situlah ketahanan kami terserlah, dan ia menyatukan kami,” kata juruterbang berusia 56 tahun itu yang sudah berkhidmat bersama Jetstar Asia selama 15 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Jetstar Asia, John Simeone, bercakap kepada media sebelum penerbangan terakhir syarikat itu berlepas dari Terminal 4 Lapangan Terbang Changi pada 31 Julai 2025. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Sejak penutupan tersebut diumumkan, para kakitangan menerima sokongan kuat daripada penumpang dan rakan sekerja, kata beliau. Para penumpang turut memberikan kad tulisan tangan dan anak patung, serta meminta untuk bergambar bersama mereka.

“Pesanan berbentuk sokongan, galakan dan penghargaan terhadap apa yang telah kami lakukan… ia benar-benar luar biasa,” kata beliau. “Semoga pelanggan di Singapura merindui kami.”

Walaupun penuh emosi, Encik Van Der Schyff berkata tumpuannya kekal terhadap keselamatan operasi dan perkhidmatan pelanggan. “Kami mahu memastikan keselamatan penerbangan dan juga kepuasan pelanggan.”

Encik Simeone, yang menerajui syarikat itu selama 15 bulan, berkata beliau berada di ruang istirahat kakitangan seawal pukul 5.30 pagi untuk mengucapkan selamat jalan kepada para kakitangan. Beliau juga akan menyambut ketibaan penerbangan terakhir dari Manila pada pukul 9.30 malam.

Penumpang dalam penerbangan terakhir dari Labuan Bajo dan Manila akan menerima model kapal terbang Jetstar sebagai cenderamata. Satu perhimpunan tertutup untuk anak kapal dan kakitangan juga akan diadakan selepas ketibaan penerbangan tersebut.

PERALIHAN DAN PERUBAHAN LALUAN

Sekitar 70 kakitangan akan kekal sehingga Oktober untuk menyokong proses peraturan bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), manakala 30 lagi akan kekal hingga Disember untuk menguruskan hal pentadbiran dan penutupan pejabat.

Melihat kembali legasi Jetstar Asia, Encik Simeone menyifatkannya sebagai satu “operasi yang menakjubkan” yang memperluaskan akses perjalanan udara di Asia Tenggara.

“Ia benar-benar menawarkan perkhidmatan yang diperlukan ketika itu… membolehkan orang ramai mengembara ke destinasi baharu dan unik yang sebelum ini sukar diakses,” kata beliau.

Penutupan syarikat itu memberi kesan kepada 16 laluan, dengan empat daripadanya — Broome (Australia), Labuan Bajo (Indonesia), Okinawa (Jepun) dan Wuxi (China) — hanya dikendalikan oleh Jetstar Asia. Scoot dijangka memulakan perkhidmatan ke Okinawa dan Labuan Bajo seawal Ogos ini.

Encik Simeone berkata hari beliau mengumumkan penutupan Jetstar Asia merupakan hari paling sukar dalam kerjaya penerbangannya selama 27 tahun.

“Ia adalah hari yang sukar bagi semua pasukan kami, mesej yang berat untuk diterima, tetapi mereka tetap bersatu,” kata beliau.

“Mereka saling memberi sokongan, menjaga antara satu sama lain, dan saya rasa satu perkara yang pasti akan dirindui Singapura ialah sifat mesra kakitangan Jetstar Asia dan profesionalisme mereka.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita