Jetstar akan beroperasi di T4 Changi mulai 22 Mac

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Jetstar Asia dan Jetstar Airways akan mula beroperasi di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi pada 22 Mac 2023, menurut Changi Airport Group (CAG) pada Khamis (1 Dis).
Diumumkan bulan lalu, bahawa Jetstar Asia akan memindahkan operasinya dari T1 ke T4 menjelang 25 Mac 2023.
Dalam kenyataan medianya pada Khamis (1 Dis), CAG mendedahkan bahawa penerbangan pertama Jetstar Asia yang akan tiba di T4 pada 22 Mac adalah dari Manila pada pukul 12.40 pagi, dengan satu lagi penerbangan ke Manila berangkat dari terminal yang sama pada pukul 6.15 pagi.
Penerbangan pertama Jetstar Airways yang beroperasi di T4 akan berangkat dari Singapura ke Melbourne pada pukul 10.10 malam pada hari yang sama. Penerbangan dari Melbourne pula akan tiba di Singapura pada pukul 8.10 malam keesokan harinya.
"Pemindahan ke T4 akan membolehkan Lapangan Terbang Changi untuk menggunakan sepenuhnya gerbang pesawat untuk memenuhi permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat, sambil mewujudkan ruang untuk Jetstar berkembang di hab sejagat itu," menurut CAG.
Buat pemulaan Jetstar Asia akan mengendalikan lebih 200 penerbangan keluar masuk T4, dari dan ke destinasi-destinasi utama Asia Tenggara setiap minggu, termasuk Bangkok, Jakarta dan Kuala Lumpur.
Jetstar Airways akan terus menyediakann khidmat penerbangan antara Singapura dengan Melbourne sehingga enam kali seminggu, dengan penerbangan itu menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner, membawa lebih 200,000 penumpang setiap tahun antara kedua-dua bandar tersebut.
Jetstar Asia, yang berpangkalan di Singapura dan adalah sebahagian Jetstar Group, dan turut merangkumi Jetstar Airways dan Jetstar Jepun.
Pada Julai, CAG menyatakan Jetstar Group dijadual berpindah ke T4 pada 25 Oktober 2022, menyertai syarikat perbangan lain seperti AirAsia Group, Cathay Pacific dan Korean Air.
Jetstar pada waktu itu menyatakan ia tidak "berniat untuk berpindah" dan keputusan untuk memindahkan operasi itu dibuat oleh satu pihak saja, iaitu CAG.
Kedua-dua pihak itu mengumumkan awal November bahawa Jetstar Asia akan memindahkan operasinya ke T4 menjelang 25 Mac 2023, menyusuli tinjauan bersama yang mengkaji keprihatinan Jetstar mengenai langkah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Jetstar Asia, Barathan Pasupathi, berkata langkah tersebut adalah "satu bab baru bagi Jetstar Group".
"Dengan pemindahan itu, dan disokong dengan keyakinan CAG, penumpang akan menikmati ketersambungan secara langsung, sambil kami terus melanjutkan tawaran produk yang hebat kepada rakan syarikat penerbangan premium kami," katanya.
Tambah Encik Barathan, syarikat tersebut akan meningkatkan operasi dan memperluaskan rangkaiannya.
Ketua Pegawai Operasi Jetstar Airways Matt Franzi berkata: "Jetstar membawa pelanggan dari Australia ke Singapura selama lebih 15 tahun dan sebagai sebahagian Qantas Group, kami merupakan salah satu kumpulan syarikat penerbangan terbesar yang beroperasi di Changi."
"Ramai pelanggan kami memanfaatkan rangkaian luas Jetstar Asia di Asia Tenggara dari hab sejagat ini dan oleh itu, penting bagi kami berpindah ke T4," kata Encik Franzi.
Dibuka pada 2017, T4 merupakan terminal terbaru Lapangan Terbang Changi dan mampu menampung 16 juta penumpang setiap tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.