Jerebu SG: Mutu udara semua 5 bahagian kekal tidak sihat; PSI cecah 160 di barat
Mutu udara di kelima-lima kawasan Singapura kekal pada paras tidak sihat pada pagi Khamis (8 Okt), dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam tertinggi sebanyak 161 dicatatkan di kawasan barat pada 6.00 pagi.
Keadaan berjerebu dilihat dari kawasan Upper Cross Street menghadap Bras Basah Road pada 7 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), bacaan PSI 24 jam di seluruh Singapura berada antara 112 di bahagian utara hingga 160 di bahagian barat, yang paling teruk terjejas.
Mutu udara di seluruh Singapura mula mencapai paras tidak sihat pada 12.00 tengah hari Rabu (7 Okt) dan kekal pada paras tersebut hingga pagi Khamis.
Pada 6.00 pagi, bahagian barat Singapura mencatatkan bacaan PSI 161, manakala bahagian tengah mencatatkan 147, timur (128), selatan (120) dan utara (113).
LEBIH 1,200 TITIK PANAS DI INDONESIA
Sementara itu, keadaan jerebu terus menjejas beberapa bahagian Asia Tenggara berikutan kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan di Indonesia.
Menurut pihak berkuasa Indonesia, lebih 1,200 titik panas kebakaran hutan dan tanah masih dikesan di seluruh negara itu.
Sekitar 180 titik panas dikesan di Kalimantan Tengah, jumlah tertinggi antara enam wilayah yang diberi keutamaan dalam usaha menangani kebakaran.
TINDAKAN UNDANG-UNDANG BERHUBUNG KEBAKARAN HUTAN
Dalam perkembangan berkaitan, perbicaraan awal satu saman berkumpulan berhubung kebakaran hutan di Kalimantan bermula di sebuah mahkamah di Pontianak pada Rabu (7 Okt).
Empat pihak plaintif, terdiri daripada pertubuhan masyarakat Orang Asli dan masyarakat sivil, memfailkan saman terhadap Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Gabenor Kalimantan Barat serta lapan defendan lain.
Mereka dituduh melakukan kecuaian serius kerana didakwa gagal mengambil langkah mencukupi untuk menangani kebakaran hutan dan masalah jerebu.
NASIHAT KESIHATAN NEA
NEA sebelum ini menyatakan bahawa kepulan asap sederhana hingga tebal dari selatan Sumatra dikesan bergerak ke arah Singapura, manakala jerebu turut dikesan dari kawasan titik panas di Kalimantan.
Orang ramai dinasihatkan supaya merujuk kepada ramalan PSI 24 jam dan nasihat kesihatan sebelum merancang kegiatan luar.
Apabila bacaan PM2.5 sejam berada pada paras meningkat, individu sihat dinasihatkan supaya mengurangkan kegiatan fizikal berat di luar rumah.
Warga emas, wanita hamil, kanak-kanak serta mereka yang menghidapi penyakit jantung atau paru-paru kronik pula dinasihatkan supaya mengelakkan kegiatan sedemikian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.