Skip to main content

Singapura

Jerebu SG: Mutu udara kembali sederhana di seluruh negara; risiko jerebu masih ada

Mutu udara di seluruh Singapura kembali ke paras sederhana pada malam Sabtu (3 Okt), beberapa jam selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam di bahagian tengah memasuki julat tidak sihat.

Anggaran Waktu Membaca:
Jerebu SG: Mutu udara kembali sederhana di seluruh negara; risiko jerebu masih ada

Keadaan berjerebu dilihat dari Bishan Towers pada 29 September 2026. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 03 Oct 2026 11:46PM
  • Mutu udara Singapura kembali sederhana pada malam Sabtu selepas PSI 24 jam di bahagian tengah naik ke 102 pada 11.00 pagi, kemudian turun kepada 100 pada 11.00 malam.
  • NEA melaporkan semua bahagian mencatat PSI sederhana, manakala bacaan PM2.5 sejam di lima bahagian berada pada paras normal.
  • Risiko jerebu masih ada kerana asap dari selatan Sumatra dan kebakaran Kalimantan dikesan, dengan cuaca kering diramal berterusan pada Ahad.
  • NEA menasihatkan kumpulan rentan mengurangkan atau mengelakkan aktiviti luar berat jika udara tidak sihat, serta menggunakan bacaan PM2.5 dan ramalan PSI untuk merancang kegiatan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mutu udara di seluruh Singapura kembali ke paras sederhana pada malam Sabtu (3 Okt), beberapa jam selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam di bahagian tengah memasuki julat tidak sihat.

Setakat 11.00 malam, bacaan PSI 24 jam di bahagian tengah turun kepada 100.

Bacaan di bahagian timur pula ialah 93, barat 89, selatan 83 dan utara 76.

Bacaan PM2.5 sejam, yang memberikan gambaran lebih terkini mengenai mutu udara, turut berada pada paras normal di kelima-lima bahagian Singapura.

Pada 11.00 pagi, mutu udara di bahagian tengah memasuki julat tidak sihat apabila PSI 24 jam meningkat kepada 102, manakala empat bahagian lain kekal sederhana.

RISIKO JEREBU MASIH ADA

Dalam kemas kini pada Sabtu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan kepulan asap sederhana hingga tebal dari selatan Sumatra dikesan bergerak ke arah Singapura dan kawasan sekitarnya.

Jerebu asap akibat kebakaran di Kalimantan turut dikesan.

NEA sebelum ini melaporkan jerebu asap rentas sempadan pada paras sederhana meliputi sebahagian Semenanjung Malaysia, Singapura serta bahagian selatan dan tengah Sumatra.
Cuaca kering dijangka berterusan di Singapura dan kawasan sekitarnya pada Ahad (4 Okt), dengan angin dari arah tenggara atau barat daya dijangka bertiup lebih kencang.

Menurut NEA, masih terdapat risiko jerebu menjejas Singapura, dengan PSI 24 jam diramalkan berada antara paras tinggi dalam julat sederhana hingga paras rendah dalam julat tidak sihat.

Jika mutu udara berada pada paras tidak sihat, individu sihat dinasihatkan supaya mengurangkan kegiatan fizikal luar yang berpanjangan atau berat.

Warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak pula harus mengurangkan kegiatan sedemikian, manakala mereka yang menghidapi penyakit paru-paru atau jantung kronik harus mengelakkannya.

Bagi kegiatan luar yang akan dilakukan dalam masa terdekat, orang ramai boleh merujuk kepada bacaan PM2.5 sejam.

Ramalan PSI 24 jam dan nasihat kesihatan NEA pula boleh digunakan untuk merancang kegiatan luar bagi hari berikutnya.

Bacaan PSI antara 51 hingga 100 berada dalam julat sederhana, manakala bacaan antara 101 hingga 200 dianggap tidak sihat.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita