Skip to main content

Singapura

Jerebu SG: Mutu udara di kawasan tengah kekal pada paras tidak sihat

Mutu udara di Singapura berada pada paras tidak sihat di kawasan barat, tengah dan timur pada awal Sabtu (5 Sep), sebelum beransur pulih sepanjang hari.

Anggaran Waktu Membaca:
Jerebu SG: Mutu udara di kawasan tengah kekal pada paras tidak sihat

Dua orang berpayung dalam keadaan berjerebu pada 4 September 2026, di Singapura. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 05 Sep 2026 07:27AM Dikemas Kini : 05 Sep 2026 02:35PM
  • Mutu udara di Singapura berada pada paras tidak sihat di beberapa kawasan pada awal Sabtu, dengan bacaan PSI melebihi 100 sebelum beransur pulih sepanjang hari.
  • NEA mula mengeluarkan nasihat jerebu harian sejak Jumaat selepas bacaan PSI melepasi paras tidak sihat buat kali pertama sejak Oktober 2023.
  • Nasihat harian ini bertujuan membantu orang ramai merancang kegiatan dan acara berdasarkan ramalan PSI 24 jam.
  • Agensi-agensi dalam Pasukan Bertindak Jerebu telah melaksanakan pelan tindakan untuk melindungi kesihatan awam akibat jerebu rentas sempadan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mutu udara di Singapura berada pada paras tidak sihat di kawasan barat, tengah dan timur pada awal Sabtu (5 Sep), sebelum beransur pulih sepanjang hari.

Setakat pukul 2.00 petang, Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam mencatat bacaan 111 di kawasan tengah, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Awal dari itu, pada pukul 6.00 pagi, kawasan barat dan timur turut mencatat mutu udara pada paras tidak sihat, dengan bacaan PSI masing-masing 103 dan 102.

Setakat pukul 2.00 petang, bacaan PSI di kawasan barat turun kepada 94, manakala di kawasan timur susut kepada 90.

Kawasan lain kekal dalam julat sederhana, dengan bacaan PSI 81 di utara dan 84 di selatan.

PSI 24 jam memasuki julat tidak sihat antara 101 dengan 200 pada pukul 7.00 pagi pada Jumaat, sekali gus menandakan kali pertama bacaan melepasi paras tersebut sejak 8 Oktober 2023.

Keadaan itu mendorong NEA pada Jumaat untuk mula mengeluarkan nasihat jerebu setiap hari, termasuk ramalan PSI 24 jam, bagi membantu orang ramai merancang kegiatan dan acara bagi hari berikutnya.

Dalam nasihat harian pertama yang dikeluarkan pada petang Jumaat, NEA menyatakan Singapura mungkin terus terjejas akibat jerebu rentas sempadan, dengan PSI 24 jam diramalkan berada antara paras sederhana yang lebih tinggi dengan pertengahan julat tidak sihat.

PSI 24 jam merupakan petunjuk mutu udara harian Singapura dan menjadi asas bagi nasihat kesihatan harian NEA. Ia dikira berdasarkan enam bahan pencemar udara – PM2.5, PM10, ozon, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan karbon monoksida.

Bacaan PM2.5 satu jam pula merupakan purata paras bahan pencemar PM2.5 bagi setiap jam. PM2.5 merupakan zarah halus berdiameter 2.5 mikrometer atau lebih kecil dan merupakan bahan pencemar utama jerebu yang boleh menjejas kesihatan.

PSI 24 jam merupakan purata bacaan sepanjang 24 jam lalu, manakala bacaan PM2.5 satu jam mencerminkan mutu udara pada suatu ketika.

Bacaan PSI 24 jam dianggap "sangat tidak sihat" apabila ia berada dalam julat 201 hingga 300 dan "berbahaya" apabila ia melebihi 300.

Dalam satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan bagi pihak agensi-agensi dalam Pasukan Bertindak Jerebu (HTF) sebelum ini, NEA menyatakan agensi-agensi berkenaan sudah melaksanakan pelan-pelan tindakan dan nasihat masing-masing bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan awam.

Nasihat jerebu harian NEA akan merangkumi ramalan PSI 24 jam yang boleh dimanfaatkan orang ramai untuk merancang kegiatan dan acara bagi tempoh 24 jam berikutnya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita