Skip to main content

Singapura

Jerebu SG: Masjid kekal dibuka untuk solat harian, Jumaat; aturan mungkin disesuaikan jika keadaan memburuk

Masjid-masjid di Singapura akan terus dibuka untuk solat harian dan solat Jumaat meskipun keadaan berjerebu, namun aturan solat mungkin disesuaikan sekiranya mutu udara bertambah buruk.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Oct 2026 11:31AM Dikemas Kini : 06 Nov 2026 02:37AM
Singapore haze: Mosques remain open for daily and Friday prayers; arrangements may be adjusted if conditions worsen
  • The Islamic Religious Council of Singapore said mosques in Singapore remain open for daily and Friday prayers during the haze, but prayer arrangements may be adjusted depending on conditions, indoor amenities and health advice.
  • If the 24-hour PSI reading reaches 201 to 300, mosques will suspend non-essential outdoor programmes as a measure to reduce health risks to congregants.
  • Congregants are asked to reduce outdoor exposure, while seniors and individuals with pre-existing illnesses are advised to take additional precautions, including wearing suitable masks.
  • Mosque madrasahs and kindergartens must follow guidelines from MOE and ECDA, adjust activities, monitor students and staff, while the Islamic Religious Council of Singapore continues to work with Government agencies.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Masjid-masjid di Singapura akan terus dibuka untuk solat harian dan solat Jumaat meskipun keadaan berjerebu, namun aturan solat mungkin disesuaikan sekiranya mutu udara bertambah buruk.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyatakan langkah kesiapsiagaan menghadapi jerebu dipertingkat di masjid, madrasah dan tadika berasaskan masjid, sedang mutu udara di seluruh Singapura kekal pada paras tidak sihat pada Isnin (12 Okt).

Menurut MUIS, masjid-masjid akan terus dibuka dengan langkah berjaga-jaga yang sewajarnya.

Sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam mencapai paras sangat tidak sihat, iaitu antara 201 dengan 300, masjid-masjid akan menggantung program dan kegiatan luar yang tidak penting.

Aturan solat juga mungkin disesuaikan berdasarkan keadaan jerebu, kemudahan dalaman yang tersedia serta nasihat kesihatan kebangsaan.

JEMAAH DIGALAKKAN KURANGKAN PENDEDAHAN KEPADA JEREBU

MUIS menyatakan garis panduan menghadapi jerebu sudah diedarkan kepada masjid-masjid, merangkumi langkah berjaga-jaga mengikut tahap bacaan PSI.

Langkah tersebut selaras dengan nasihat kesihatan kebangsaan dan usaha pemerintah Singapura menangani jerebu.

Para jemaah digalakkan mengurangkan masa berada di luar bangunan bagi tempoh yang lama.

Warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada pula dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga tambahan, termasuk memakai pelitup yang sesuai ketika menghadiri solat berjemaah.

MADRASAH, TADIKA MASJID TURUT AMBIL LANGKAH BERJAGA-JAGA

Madrasah sepenuh masa dan tadika berasaskan masjid turut dinasihatkan supaya melaksanakan langkah pengurusan jerebu berdasarkan panduan Kementerian Pendidikan (MOE) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

Langkah tersebut termasuk menyesuaikan kegiatan luar, menyediakan aturan yang sesuai di dalam bangunan serta memantau kesejahteraan para pelajar dan kakitangan.

Ibu bapa akan dimaklumkan mengenai sebarang perubahan terhadap kegiatan atau aturan persekolahan.

MUIS menyatakan pihaknya akan terus memantau keadaan jerebu dengan teliti dan bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah berkaitan bagi menyemak serta menyesuaikan langkah yang diambil mengikut perkembangan semasa.

Pada Ogos lalu, MUIS memendekkan sementara tempoh khutbah Jumaat berikutan cuaca panas dan keadaan berjerebu.

Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita