Skip to main content

Singapura

JEREBU RENTAS SEMPADAN: SG usul naikkan denda maksimum jerebu dari S$2 juta kepada S$20 juta

Anggaran Waktu Membaca:
JEREBU RENTAS SEMPADAN: SG usul naikkan denda maksimum jerebu dari S$2 juta kepada S$20 juta

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu berucap di parlimen pada 4 November 2026.

Diterbitkan : 04 Nov 2026 05:54PM Dikemas Kini : 04 Nov 2026 10:52PM
Singapore moves to raise maximum fine for haze from S$2 million to S$20 million
  • On Wednesday, Nov 4, the Government of Singapore tabled amendments to the Transboundary Haze Pollution Act after haze from Sep 4 to Oct 25 triggered unhealthy air quality for 33 days.
  • NEA had previously issued notices to 10 Indonesian companies and 10 companies registered in Singapore; the amendments would strengthen investigations into corporate links through private-sector expert assessors.
  • The maximum fine is proposed to rise from S$2 million to S$20 million, with additional penalties based on profits or losses avoided, as well as civil action that does not overlap with criminal penalties.
  • The Minister may designate entities without a conviction and restrict their business dealings, while companies in relevant sectors would need to review their supply chains to prevent burning and ensure those responsible are held accountable.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan jerebu rentas sempadan boleh dikenakan denda sehingga S$20 juta (serta sekatan ke atas urusan perniagaan, di bawah pindaan yang diusulkan terhadap undang-undang jerebu Singapura pada Rabu (4 Nov).

Rang Undang-Undang Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (Pindaan) telah dibentangkan dan dibaca buat kali kedua di bawah Sijil Urusan Mendesak yang jarang digunakan — yang ditandatangani oleh Presiden —menyusuli episod jerebu paling teruk di Singapura dalam tempoh lebih sedekad.

Sijil tersebut membolehkan sesuatu Rang Undang-Undang dibentangkan, dibahaskan, dan diluluskan melalui ketiga-tiga peringkat bacaan dalam satu persidangan parlimen yang sama.

Rang Undang-Undang terakhir yang diluluskan melalui kaedah ini ialah Rang Undang-Undang Insurans (Pindaan) pada 2024, yang menghalang syarikat insurans Jerman, Allianz, daripada memperoleh kepentingan dalam Income Insurance Singapore.

Dalam satu kenyataan media pada Rabu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan bahawa pindaan terhadap Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA)— yang digubal pada tahun 2014 — akan memberikan pihak berkuasa lebih banyak instrumen untuk menyiasat hubungan komersial dan memastikan entiti-entiti yang terlibat dipertanggungjawabkan. Pindaan ini juga akan membolehkan campur tangan lebih awal serta memudahkan penguatkuasaan.

Singapura mengalami jerebu dari 4 September hingga 25 Oktober, dengan mutu udara mencecah paras 'tidak sihat' selama 33 hari dan paras 'sangat tidak sihat' selama lima hari.

Menteri Kanan K Shanmugam dan Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu sebelum ini berkata bahawa pemerintah akan memperkukuh undang-undang jika perlu bagi menangani syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan jerebu.

Cik Fu memberitahu parlimen bahawa penguatkuasaan undang-undang terhadap aktiviti yang berlaku di luar negara adalah satu perkara yang rumit.

"Kita memerlukan bidang kuasa yang berkesan untuk melindungi rakyat Singapura dan memastikan entiti-entiti yang melanggar undang-undang dipertanggungjawabkan, sambil menghormati kedaulatan negara lain, menjunjung undang-undang antarabangsa, serta mengelakkan tindakan yang melampaui bidang kuasa negara lain," ujar beliau. Beliau menambah bahawa episod jerebu baru-baru ini menunjukkan bahawa keadaan sedia ada "tidak lagi boleh dikekalkan".

Singapura memerlukan cara yang lebih baik untuk mendapatkan dan mengesahkan maklumat, meneliti hubungan korporat yang rumit, serta mengenakan tindakan tegas yang bermakna terhadap entiti yang melanggar peraturan dan undang-undang, walaupun dalam situasi di mana pendakwaan jenayah sukar dilaksanakan. Beliau menambah, pemerintah juga perlu campur tangan sebelum jerebu sampai ke Singapura.

Bulan lalu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengeluarkan Notis Langkah Pencegahan di bawah Seksyen 9 Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) terhadap 10 syarikat Indonesia, yang mengarahkan mereka untuk memadamkan atau mencegah kebakaran, menghentikan kegiatan pembakaran, serta mengemukakan pelan tindakan.

NEA juga mengeluarkan notis di bawah Seksyen 10 terhadap 10 syarikat yang berdaftar di Singapura — kali pertama tindakan sedemikian diambil di bawah Akta tersebut. Notis-notis itu menuntut maklumat mengenai syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan mereka, konsesi tanah di Indonesia, serta langkah-langkah pencegahan kebakaran yang diambil.

Beberapa syarikat tersebut menyatakan pada awal minggu ini bahawa mereka telah menyerahkan kumpulan maklumat pertama.

PENILAI DARI SEKTOR SWASTA

Bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan bagaimana pelbagai pihak terbabit dengan kegiatan pembakaran tersebut, Ketua Pengarah Perlindungan Alam Sekitar boleh mengarahkan entiti di Singapura yang disyaki mempunyai kaitan dengan jerebu untuk melantik penilai pakar dari sektor swasta.

Ketua Pengarah akan menentukan siapa penilai tersebut serta terma penilaian melalui satu arahan, dan entiti berkenaan wajib melantik penilai tersebut dengan menanggung sendiri kosnya. Pihak penilai kemudian akan mengemukakan laporan kepada NEA bagi membantu agensi itu menetapkan fakta dan memutuskan tindakan lanjut, jika perlu.

"Perlu dijelaskan bahawa arahan untuk melantik penilai tidak semestinya bermaksud entiti tersebut telah melakukan atau disyaki melakukan kesalahan. Ia bertujuan untuk menetapkan fakta-fakta yang relevan," kata Cik Fu.

NEA menyatakan bahawa keputusan berhubung penguatkuasaan kekal di tangan pihak berkuasa yang relevan, manakala mahkamah akan terus menjadi penentu tanggungjawab terhadapnya.

HUKUMAN LEBIH BERAT 

Di bawah Seksyen 5 Akta semasa, sesebuah entiti yang sabit kesalahan menyebabkan atau menyumbang kepada pencemaran jerebu di Singapura — sama ada dari dalam negara atau luar negara —boleh didenda sehingga S$100,000 sehari, dengan had maksimum sebanyak S$2 juta.

Pindaan yang diusulkan akan meningkatkan jumlah ini kepada sehingga S$1 juta sehari, dengan had maksimum keseluruhan sebanyak S$20 juta. Cik Fu berkata bahawa hukuman asal adalah setara dengan hukuman bagi kesalahan pencemaran dalam negara, namun kemudaratan akibat jerebu rentas sempadan “perlu dibendung melalui hukuman dan denda yang lebih berat, bagi menekankan betapa seriusnya kesalahan sedemikian”.

Beliau turut menjelaskan bahawa peningkatan denda tersebut telah diselaraskan dengan merujuk kepada undang-undang sedia ada serta skala kewangan syarikat-syarikat yang terlibat.

Pindaan ini juga akan membolehkan mahkamah menilai keuntungan yang diperoleh atau kerugian yang dielakkan hasil daripada sesuatu kesalahan, dan mengenakan jumlah tersebut sebagai hukuman tambahan ke atas entiti yang sabit kesalahan.

Satu mekanisme hukuman awam juga akan diperkenalkan. Dengan persetujuan pendakwa raya, NEA boleh memulakan tindakan undang-undang di mahkamah, yang membawa denda maksimum sebanyak S$10 juta.

“Bagi memastikan entiti tidak dikenakan denda dua kali, sesebuah entiti tidak boleh dikenakan kedua-dua hukuman sivil dan jenayah bagi kes yang sama,” jelas agensi tersebut.

PERUNTUKAN ENTITI

Pemerintah juga mengusulkan tindakan kewangan dan komersial terhadap entiti atau individu yang dikaitkan dengan kesalahan di bawah Akta ini, tidak kira sama ada prosiding jenayah susulan diambil atau tidak.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran akan diberi kuasa untuk menetapkan entiti atau individu yang telah melakukan, atau disyaki melakukan, kesalahan; gagal mematuhi notis atau arahan; atau menerima laporan penilaian yang negatif. Sabitan jenayah tidak diperlukan untuk sesebuah entiti ditetapkan sedemikian.

“Penentuan ini akan membolehkan pemerintah mengeluarkan perintah yang menyekat urusan perniagaan dengan entiti atau individu yang telah ditetapkan,” kata Cik Fu.

Syarikat-syarikat mungkin disekat daripada membeli, menjual, atau terlibat dalam urusan lain dengan entiti yang telah ditetapkan, seperti memberikan pinjaman atau bentuk sokongan kewangan yang lain.

Bagi sekatan yang melibatkan perkhidmatan yang disediakan oleh institusi kewangan, menteri bertanggungjawab terhadap Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan menentukan dan menguruskan perintah-perintah tersebut, jelas beliau. “Kuasa untuk menetapkan status (entiti) dan mengenakan sekatan bertujuan untuk memberikan kesan ekonomi terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan pembakaran secara tidak bertanggungjawab, atau pihak yang mempunyai kaitan yang terbukti dengan aktiviti pembakaran sedemikian.

“Pada masa yang sama, larangan ini memastikan pihak lain tidak berurusan dengan entiti yang telah ditetapkan statusnya itu, termasuk melalui aturan perniagaan yang rumit atau struktur korporat tertentu,” kata Cik Fu.

Sungguhpun demikian, Cik Fu turut menambah bahawa penentuan status sahaja tidak mencukupi, memandangkan mungkin sukar bagi pemerintah untuk mengenal pasti setiap entiti yang terlibat dalam aktiviti pembakaran atau setiap firma dalam rantaian bekalan mereka.

“Sebaliknya, kami mungkin perlu mengambil tindakan secara langsung terhadap entiti korporat yang lebih besar yang mengawal entiti-entiti kecil ini,” ujar beliau.

Oleh itu, pindaan ini juga membolehkan pihak berkuasa mengeluarkan notis terhadap entiti tertentu, terutamanya yang beroperasi dalam sektor perhutanan dan pertanian. Entiti-entiti ini wajib memastikan aturan perniagaan dan rantaian bekalan mereka tidak melibatkan pihak yang menyebabkan atau menyumbang kepada kebakaran yang berisiko mengakibatkan jerebu di Singapura.

“Kewajipan ini bertujuan untuk memperkukuh proses usaha wajar (due diligence) serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab di sepanjang rantaian bekalan,” kata Cik Fu.

“Matlamatnya bukanlah untuk menuntut jaminan yang mustahil —bahawa tiada risiko akan timbul langsung —sebaliknya untuk memastikan syarikat-syarikat tidak membiarkan atau menutup mata terhadap amalan perhutanan dan pertanian yang tidak bertanggungjawab.”

Kegagalan mematuhi sekatan yang dikenakan atau notis yang dikeluarkan boleh membawa kepada denda maksimum sebanyak S$1 juta bagi setiap pelanggaran, serta denda tambahan sehingga S$100,000 bagi setiap hari pelanggaran tersebut berterusan.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) juga akan diberi kuasa untuk menerbitkan senarai entiti yang gagal mematuhi notis atau arahan yang diberikan.

“Berserta sekatan urus niaga yang boleh dikenakan terhadap entiti-entiti tersebut, perubahan ini secara signifikan memperkukuh aspek pencegahan di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA),” jelas NEA.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita