Skip to main content

Singapura

JEREBU RENTAS SEMPADAN: Semua Kelab Masyarakat agih pelitup N95 kepada warga SG yang layak

Semua Kelab Masyarakat (CC) di seluruh Singapura akan mengagihkan pelitup N95 kepada warga Singapura yang layak, sedang keadaan jerebu di negara ini semakin buruk.

Anggaran Waktu Membaca:
JEREBU RENTAS SEMPADAN: Semua Kelab Masyarakat agih pelitup N95 kepada warga SG yang layak

Keadaan jerebu yang menyelubungi kawasan pusat bandar Singapura, dilihat dari Marina Bay Sands pada pukul 1.20 tengah hari, 14 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 14 Oct 2026 05:19PM Dikemas Kini : 14 Oct 2026 06:42PM
Transboundary haze: All Community Clubs to distribute N95 masks to eligible Singaporeans
  • All Community Clubs in Singapore will distribute N95 masks to eligible Singaporeans following the worsening haze situation.
  • Dinesh Vasu Dash said recipients include Pioneer Generation and Merdeka Generation seniors, CHAS cardholders, ComCare recipients, and holders of medical fee exemption cards.
  • Pregnant women, children aged seven to 16, and people with conditions such as asthma can also collect them from People’s Association premises with their Identity Card.
  • The move followed a decision by the Haze Task Force to help vulnerable groups when the 24-hour PSI exceeds 200; locations can be checked at gowhere.gov.sg/hazemask.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Semua Kelab Masyarakat (CC) di seluruh Singapura akan mengagihkan pelitup N95 kepada warga Singapura yang layak, sedang keadaan jerebu di negara ini semakin buruk.

Dalam satu catatan Facebook pada Rabu (14 Okt), Anggota Parlimen GRC East Coast merangkap Datuk Bandar Daerah Tenggara, Dinesh Vasu Dash, menyatakan bahawa golongan yang layak termasuk warga emas Generasi Perintis dan Merdeka, pemegang kad CHAS Jingga dan Biru, pemegang Kad Pengecualian Bayaran Perubatan serta penerima bantuan ComCare.

Wanita hamil, kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 16 tahun serta individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma juga boleh mendapatkan pelitup tersebut di premis Persatuan Rakyat (PA) dengan menunjukkan kad pengenalan masing-masing.

Pengumuman itu menyusuli kenyataan Pasukan Bertindak Jerebu pemerintah pada Jumaat lalu bahawa pelitup N95 akan diagihkan kepada golongan lebih mudah terjejas apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam melebihi 200, iaitu pada paras sangat tidak sihat.

Menurut pasukan bertindak itu, pengagihan tersebut bertujuan membantu warga Singapura yang lebih mudah terjejas akibat jerebu atau menghadapi kesukaran mendapatkan pelitup N95.

Para penduduk boleh mendapatkan maklumat mengenai pusat pengagihan terdekat menerusi laman web https://gowhere.gov.sg/hazemask.ls.

TEMPAT PERLINDUNGAN DARIPADA JEREBU DIBUKA

Sementara itu, tempat perlindungan daripada jerebu turut disediakan di Kelab-Kelab Masyarakat serta pusat Jawatankuasa Penduduk (RC) dan Rangkaian Penduduk (RN) terpilih, sedang pihak berkuasa mempercepatkan pelaksanaan langkah-langkah bagi menangani keadaan jerebu yang semakin buruk.

Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam kenyataan media terbaharunya, bilik-bilik berhawa dingin di lokasi tersebut akan dibuka kepada orang ramai yang ingin mendapatkan perlindungan sementara daripada jerebu.

Penduduk boleh menghubungi Kelab Masyarakat terdekat bagi mendapatkan maklumat mengenai lokasi dan waktu operasi tempat perlindungan tersebut.

Maklumat lanjut juga boleh didapati menerusi laman web https://go.gov.sg/pa-hazeshelters.

Sekiranya bacaan PSI 24 jam mencapai paras berbahaya, waktu operasi tempat perlindungan daripada jerebu di Kelab-Kelab Masyarakat akan dilanjutkan sehingga pukul 10.00 malam.

Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita