Skip to main content

Singapura

Jerebu rentas sempadan selubungi SG, sebahagian Semenanjung Malaysia: NEA

Anggaran Waktu Membaca:
Jerebu rentas sempadan selubungi SG, sebahagian Semenanjung Malaysia: NEA

Keadaan berjerebu dilihat dari pusat beli-belah VivoCity pada 29 September 2026. (Gambar fail: CNA/Ili Mansor)

Diterbitkan : 03 Oct 2026 06:28PM

Jerebu asap rentas sempadan pada paras sederhana dikesan meliputi sebahagian Semenanjung Malaysia, Singapura serta bahagian selatan dan tengah Sumatra pada Sabtu (3 Okt).

  • NEA melaporkan pada Sabtu, 3 Okt, jerebu asap rentas sempadan sederhana meliputi sebahagian Semenanjung Malaysia, Singapura, selatan dan tengah Sumatra.
  • Jerebu sederhana hingga tebal turut dikesan di Kalimantan dan Sarawak, dengan beberapa stesen di Borneo dan Sumatra mencatat mutu udara tidak sihat hingga berbahaya.
  • Di Singapura, bahagian tengah memasuki julat tidak sihat apabila PSI 24 jam mencecah 102 pada 11.00 pagi, sementara kawasan lain kekal sederhana.
  • Risiko jerebu dijangka berterusan kerana cuaca kering di selatan ASEAN, walaupun hujan di beberapa kawasan mungkin membantu mengurangkan tompok panas dan asap.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Jerebu asap rentas sempadan pada paras sederhana dikesan meliputi sebahagian Semenanjung Malaysia, Singapura serta bahagian selatan dan tengah Sumatra pada Sabtu (3 Okt).

Menurut kemas kini keadaan cuaca dan jerebu serantau oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada 5.20 petang, jerebu asap rentas sempadan pada paras sederhana hingga tebal turut dikesan meliputi banyak kawasan di Kalimantan dan Sarawak.

Beberapa stesen pemantauan mutu udara di Borneo dan Sumatra melaporkan bacaan antara paras tidak sihat hingga berbahaya.

Sebahagian stesen pemantauan di Semenanjung Malaysia dan Singapura pula melaporkan mutu udara pada paras tidak sihat.

Tompok panas bertaburan dikesan di Kalimantan dan Sumatra, manakala beberapa tompok panas dikesan di kawasan lain di selatan rantau ASEAN.

Bagaimanapun, keadaan sebenar tompok panas tidak dapat ditentukan sepenuhnya disebabkan jerebu asap tebal dan litupan awan.
Mutu udara di bahagian tengah Singapura memasuki julat tidak sihat pada pagi Sabtu (3 Okt) apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam meningkat kepada 102 pada 11.00 pagi.

Kawasan timur, barat, selatan dan utara Singapura pula kekal dalam julat sederhana.

RISIKO JEREBU RENTAS SEMPADAN BERTERUSAN

Dalam beberapa hari akan datang, keadaan kering dijangka melanda banyak kawasan di selatan rantau ASEAN.

Namun, hujan diramalkan di bahagian utara dan tengah Sumatra, Semenanjung Malaysia serta utara Borneo.

Keadaan tompok panas dan jerebu asap mungkin bertambah baik di kawasan yang mengalami hujan.

Namun, ia mungkin kekal ketara di kawasan yang mengalami cuaca kering berpanjangan, dengan risiko jerebu rentas sempadan dijangka berterusan.

Angin di selatan rantau ASEAN diramalkan bertiup dari arah timur hingga barat daya.

Di utara rantau ASEAN pula, cuaca lembap dijangka berterusan kecuali di bahagian tengah Vietnam, yang diramalkan lebih kering.
Sumber : Others/NEA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita