Skip to main content

Singapura

JEREBU RENTAS SEMPADAN: PM2.5 di barat SG melonjak ke paras sangat tinggi 288

Anggaran Waktu Membaca:
JEREBU RENTAS SEMPADAN: PM2.5 di barat SG melonjak ke paras sangat tinggi 288

Pemandangan jerebu dari Marina Bay Sands yang menghadap daerah pusat bandar (CBD) dan Fullerton, pada pukul 1.20 tengah hari, 14 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 14 Oct 2026 03:19PM
  • Bacaan PM2.5 setiap jam di barat Singapura melonjak kepada 288 pada 2.00 petang Rabu, manakala PSI 24 jam seluruh negara kekal tidak sihat.
  • NEA melaporkan cuaca kering, tapak kebakaran di Kalimantan dan selatan Sumatra, serta risiko jerebu rentas sempadan masih berterusan.
  • Pasukan Petugas Jerebu berkata pelitup N95 dan ruang berhawa dingin akan disediakan untuk golongan rentan jika PSI melebihi 200.
  • MOE boleh menutup sekolah jika PSI melebihi 300, sementara orang ramai dinasihatkan mengurangkan atau mengelakkan aktiviti luar mengikut tahap risiko kesihatan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Bacaan PM2.5 setiap jam di bahagian barat Singapura melonjak kepada 288, memasuki tahap sangat tinggi pada pukul 2.00 petang Rabu (14 Okt), sedang mutu udara kekal tidak sihat di seluruh negara.

Bacaan di bahagian barat sebelum itu berada pada 195, pada tahap tinggi.

Pada pukul 2.00 petang, bacaan PM2.5 setiap jam berada di tahap tinggi di bahagian selatan (159), timur (195) dan tengah (206). Bacaan di bahagian utara meningkat kepada 125.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam berada dalam tahap tidak sihat di semua bahagian, antara 110 dengan 153.

Dalam nasihatnya pada pagi Rabu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan cuaca kering berterusan sepanjang malam di banyak bahagian selatan rantau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), kecuali bahagian utara Sumatra, Kalimantan dan Semenanjung Malaysia yang mengalami hujan.

“Tapak-tapak kebakaran dikesan di Kalimantan dan bahagian selatan Sumatra, manakala hanya beberapa tapak kebakaran dikesan di kawasan lain di bahagian selatan rantau ASEAN,” menurut NEA.

NEA menambah bahawa banyak stesen pemantauan mutu udara di Semenanjung Malaysia, Singapura, Kalimantan, Sumatra dan bahagian barat Sarawak melaporkan tahap mutu udara tidak sihat hingga berbahaya. Namun, litupan awan menghalang penilaian menyeluruh terhadap keadaan jerebu asap di beberapa bahagian rantau ini.

“Dalam beberapa hari akan datang, keadaan kering diramalkan berterusan di beberapa bahagian selatan rantau ASEAN, kecuali Semenanjung Malaysia serta bahagian utara dan tengah Sumatra dan Kalimantan, yang dijangka mengalami hujan,” menurut NEA.

“Walaupun keadaan tapak kebakaran dan jerebu asap mungkin bertambah baik di kawasan yang mengalami hujan, keadaan dijangka kekal pada paras tinggi di kawasan yang mudah terbakar dan mengalami keadaan kering berpanjangan, dengan risiko berterusan berlakunya jerebu rentas sempadan yang teruk.”

Angin yang bertiup di bahagian selatan rantau ASEAN dijangka datang terutamanya dari arah timur-tenggara hingga selatan.

Dalam nasihat jerebu pada Selasa, NEA meramalkan mutu udara di Singapura akan kekal tidak sihat pada Rabu.

Pemerintah sebelum ini mengumumkan beberapa langkah untuk melindungi orang ramai sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.

Pada Jumaat, Pasukan Petugas Jerebu menyatakan pelitup N95 akan diagihkan kepada golongan lebih terdedah apabila bacaan PSI 24 jam melebihi 200 dan memasuki julat sangat tidak sihat.

Golongan yang layak termasuk anggota Generasi Perintis dan Merdeka, pemegang kad biru dan jingga Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS), serta penerima Bantuan ComCare.

Wanita hamil, kanak-kanak berusia tujuh hingga 16 tahun dan individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma (semput) juga layak mengambil pelitup di balai rakyat dan kelab masyarakat Persatuan Rakyat (PA).

Bilik berhawa dingin di kelab masyarakat serta pusat jawatankuasa penduduk dan rangkaian penduduk terpilih juga akan disediakan sebagai tempat berlindung daripada jerebu apabila bacaan PSI melebihi 200.

Kementerian Pendidikan (MOE) akan mempertimbangkan langkah menutup sekolah jika ramalan mutu udara bagi hari berikutnya berada pada tahap berbahaya, dengan bacaan PSI 24 jam melebihi 300.

Pasukan petugas itu, yang terdiri daripada 28 agensi pemerintah dan diketuai NEA, turut mengeluarkan nasihat berkaitan sekolah, tempat kerja, institusi penjagaan kesihatan dan kegiatan sukan.

Orang yang sihat dinasihatkan supaya mengelakkan kegiatan fizikal di luar bangunan yang berpanjangan atau lasak, manakala warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak harus mengurangkan kegiatan di luar bangunan. Individu yang mempunyai penyakit kronik berkaitan jantung atau paru-paru pula harus mengelakkan kegiatan di luar bangunan.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita