JEREBU RENTAS SEMPADAN: Mutu udara SG kekal tidak sihat, PSI diramal cecah paras sangat tidak sihat
Orang ramai melintas di persimpangan di sebelah Raffles Hotel pada 10 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
- Singapore's air quality remained unhealthy on Sunday, with the 24-hour PSI over 100 in all places and PM2.5 levels mostly elevated across the country.
- NEA said haze from southern Sumatra and Kalimantan may continue to be carried by the wind to Singapore, although rain is forecast in some areas.
- Singapore's Inter-Agency Task Force on Haze has been activated, with N95 masks, air-conditioned shelters and limits on outdoor activities being prepared if the PSI exceeds 200.
- MOE may close schools if the PSI is forecast to reach hazardous levels, while organisers of the Formula 1 Grand Prix at Marina Bay are preparing emergency measures.
- Mutu udara Singapura kekal tidak sihat pada Ahad, dengan PSI 24 jam melebihi 100 di kesemua bahagian dan PM2.5 kebanyakannya tinggi di seluruh negara.
- NEA menyatakan jerebu dari selatan Sumatra dan Kalimantan mungkin terus dibawa angin ke Singapura, walaupun hujan diramal di beberapa kawasan.
- Pasukan Bertindak Jerebu Singapura diaktifkan, dengan pelitup N95, tempat perlindungan berhawa dingin dan had aktiviti luar disiapkan jika PSI melebihi 200.
- MOE boleh menutup sekolah jika PSI diramal berbahaya, sementara penganjur Grand Prix Formula 1 di Marina Bay menyediakan langkah kecemasan.
SINGAPURA: Mutu udara di seluruh Singapura kekal pada paras tidak sihat pada Ahad (11 Okt), sedang jerebu terus menyelubungi seluruh negara.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam berada pada paras tidak sihat di kesemua lima bahagian, manakala bacaan PM2.5 sejam kebanyakannya berada pada paras tinggi.
PSI 24 jam diramal berada pada paras tidak sihat hingga sangat tidak sihat dalam tempoh 24 jam akan datang, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada lewat Sabtu (10 Okt).
“Jerebu sederhana hingga tebal dari selatan Sumatra dikesan bergerak ke arah Singapura,” menurut NEA, sambil menambah bahawa jerebu turut dikesan di banyak kawasan Kalimantan.
Meskipun hujan diramal turun di beberapa kawasan di Singapura dan rantau sekitarnya, keadaan kering dijangka berterusan di beberapa kawasan di selatan Sumatra dan Kalimantan.
“Dengan tiupan angin timur-tenggara atau selatan pada masa ini, jerebu mungkin terus bergerak ke arah Singapura,” tambah agensi itu.
Mutu udara di seluruh Singapura turut berada pada paras tidak sihat pada Sabtu, meskipun bacaannya turun semalaman selepas mencecah paras tertinggi bagi musim jerebu tahun ini pada Jumaat.
Bahagian tengah mencatatkan PSI 192 pada 5.00 petang Jumaat, iaitu bacaan tertinggi bagi musim jerebu tahun ini.
Setakat pukul 2 petang, PSI 24 jam di seluruh negara berada pada tahap antara 114 hingga 152.
Bacaan PM2.5 sejam pula terus berada pada paras tinggi, antara 68 hingga 130.
NEA memberi amaran pada Jumaat bahawa PSI 24 jam boleh melebihi 200 dan memasuki paras sangat tidak sihat, sedang jerebu dari selatan Sumatra dan Kalimantan terus dibawa angin ke arah Singapura.
Pasukan Bertindak Jerebu Singapura, yang terdiri daripada 28 agensi pemerintah, telah diaktifkan. Beberapa langkah juga sudah disiapkan sekiranya mutu udara merosot lagi.
Jika PSI melebihi 200, pelitup N95 akan diagihkan kepada warga Singapura yang layak. Tempat perlindungan jerebu berhawa dingin juga akan dibuka di kelab masyarakat serta pusat jawatankuasa penduduk dan rangkaian penduduk terpilih.
Prasekolah mesti menghentikan kegiatan luar dan aktiviti lasak di dalam bangunan apabila mutu udara berada pada paras sangat tidak sihat. Kegiatan sukan luar juga boleh diubah suai atau digantung, manakala majikan dinasihatkan mengehadkan kerja di luar bangunan.
Sekolah boleh ditutup jika PSI 24 jam bagi hari berikutnya diramal melebihi 300 dan memasuki paras berbahaya.
Menteri Pendidikan Desmond Lee berkata pada Sabtu bahawa sebarang keputusan untuk menutup sekolah akan diumumkan sekitar 8.00 malam sehari sebelumnya melalui pihak sekolah dan saluran rasmi Kementerian Pendidikan (MOE).
“Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti setiap hari dan menilai sama ada sekolah harus dibuka atau ditutup pada hari berikutnya,” katanya dalam satu catatan media sosial.
Jerebu melanda ketika perlumbaan Grand Prix Formula 1 Singapura diteruskan di Marina Bay. Pihak penganjur menyatakan langkah kecemasan telah disediakan sekiranya mutu udara merosot.
<< LAPORAN BERKAITAN:
Pelitup N95 akan diagihkan kepada golongan lebih rentan apabila PSI 24 jam melebihi 200: Pasukan Petugas Jerebu
Rakyat SG mula pakai pelitup, kurangkan aktiviti luar apabila jerebu capai paras tertinggi tahun ini >>
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.