JEREBU RENTAS SEMPADAN: Mutu udara sangat tidak sihat di 3 bahagian SG; PM2.5 tinggi di barat, tengah
Blok-blok perumahan di Potong Pasir kelihatan diselubungi jerebu pada 16 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
- Singapore's air quality deteriorated on Friday (Oct 16), with the central, east and west regions recording 24-hour PSI readings at very unhealthy levels.
- Sport Singapore temporarily closed outdoor sports amenities and non-air-conditioned ActiveSG spaces nationwide, widening the closures due to the haze.
- Prime Minister Lawrence Wong said the Government is identifying companies linked to forest and peatland fires in Indonesia for possible action.
- MOH advised the public to refer to hourly PM2.5 readings, wear suitable masks if necessary, and limit outdoor activities, especially among vulnerable groups.
- Mutu udara Singapura merosot pada Jumaat, 16 Oktober, apabila bahagian tengah, timur dan barat mencatatkan PSI 24 jam pada paras sangat tidak sihat.
- Sport Singapore menutup sementara kemudahan sukan luar dan ruang tanpa hawa dingin ActiveSG di seluruh negara, memperluas penutupan akibat jerebu.
- Perdana Menteri Lawrence Wong berkata pemerintah sedang mengenal pasti syarikat berkaitan kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia untuk kemungkinan tindakan.
- MOH menasihatkan orang ramai merujuk bacaan PM2.5 setiap jam, memakai pelitup sesuai jika perlu, dan mengehadkan kegiatan luar terutama golongan rentan.
SINGAPURA: Mutu udara di seluruh Singapura semakin merosot sepanjang malam, dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam mencapai paras 'sangat tidak sihat' (very unhealthy) di tiga bahagian pada Jumaat (16 Okt).
Bahagian tengah Singapura menjadi kawasan pertama mencatatkan bacaan PSI pada paras 'sangat tidak sihat' seawal tengah malam. Bacaan PSI 24 jam di kawasan itu kemudian meningkat kepada 229 pada pukul 3.00 petang, paras tertinggi yang direkodkan tahun ini.
Bahagian timur dan barat pula mula mencatatkan paras 'sangat tidak sihat' pada pukul 10.00 pagi, dengan bacaan masing-masing 202 dan 201.
Menjelang pukul 3.00 petang, kedua-dua bahagian itu mencatatkan bacaan PSI sebanyak 205.
Mutu udara di dua lagi bahagian kekal pada paras 'tidak sihat' (unhealthy), dengan bacaan PSI 157 di utara dan 185 di selatan pada waktu yang sama.
Bacaan PM2.5 setiap jam pula berada pada paras tinggi di bahagian barat dan tengah, masing-masing 156 dan 182.
Kawasan lain mencatatkan bacaan PM2.5 yang 'meningkat' (elevated), iaitu antara 109 hingga 150.
Singapura kini mengalami mutu udara tidak sihat di sekurang-kurangnya satu bahagian selama hampir dua minggu.
Kali terakhir kelima-lima bahagian di Singapura mencatatkan mutu udara sederhana secara serentak adalah pada tengah malam 5 Oktober, apabila bacaan PSI 24 jam berada antara 77 hingga 100.
Kali terakhir mana-mana bahagian mencatatkan mutu udara sederhana pula adalah pada pukul 1.00 pagi, 9 Oktober, apabila bacaan PSI di utara berada pada paras 100.
Jumaat juga menandakan genap enam minggu sejak Singapura mencatatkan bacaan PSI 24 jam pada paras tidak sihat buat kali pertama tahun ini.
Pada petang Jumaat, agensi sukan negara Sport Singapore mengumumkan penutupan sementara semua kemudahan sukan luar dan ruang tanpa sistem hawa dingin di pusat sukan ActiveSG di seluruh Singapura akibat keadaan jerebu.
Langkah itu merupakan peluasan penutupan sebelum ini yang hanya melibatkan kemudahan ActiveSG terpilih.
PEMERINTAH PERTIMBANG TINDAKAN TERHADAP PIHAK BERTANGGUNGJAWAB
Perdana Menteri Lawrence Wong pada Khamis berkata Singapura sedang mengenal pasti syarikat yang mungkin bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia yang menyebabkan keadaan jerebu semakin buruk.
"Jika terdapat asas yang kukuh, kami akan mengambil tindakan di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura dan meneroka kemungkinan tindakan bersama negara-negara lain," katanya dalam satu catatan media sosial.
Kemerosotan mutu udara itu menyusuli peningkatan mendadak bacaan PM2.5 setiap jam di seluruh Singapura pada Rabu.
Di bahagian barat, bacaan PM2.5 kekal pada tahap sangat tinggi sepanjang sebahagian besar tempoh antara pukul 2.00 petang hingga 8.00 malam, dengan bacaan tertinggi mencecah 288.
Paras tersebut tidak pernah dicatatkan di Singapura sejak 2015.
Ketika jerebu teruk melanda pada Oktober 2015, bahagian barat mencatatkan bacaan PM2.5 sejam sebanyak 471 pada pukul 11.00 malam, 19 Oktober.
Angka itu kekal sebagai bacaan tertinggi dalam rekod PM2.5 setiap jam yang diterbitkan NEA, yang bermula sejak April 2014.
Keadaan jerebu pada 2015 berlarutan dari Ogos hingga Oktober, dengan bacaan PSI 24 jam mencapai tahap berbahaya, iaitu 322, pada 25 September.
Semua sekolah rendah dan menengah ditutup pada hari tersebut.
RUJUK BACAAN PM2.5 SETIAP JAM UNTUK TENTUKAN KEPERLUAN MEMAKAI PELITUP MUKA: MOH
Menyusuli keadaan jerebu yang semakin buruk, pemerintah pada Rabu mempercepatkan pengagihan pelitup muka secara berperingkat kepada golongan rentan di Singapura.
Langkah itu diambil selepas bacaan PM2.5 di bahagian barat mencapai paras sangat tinggi.
Menurut nasihat jerebu terkini Kementerian Kesihatan (MOH), orang ramai digalakkan merujuk bacaan PM2.5 setiap jam, dan bukannya PSI 24 jam, apabila menentukan sama ada mereka perlu memakai pelitup muka untuk kegiatan luar dalam masa terdekat.
Bacaan PM2.5 setiap jam memberikan gambaran lebih terkini mengenai mutu udara, manakala ramalan PSI 24 jam masih digunakan sebagai panduan untuk merancang kegiatan pada hari berikutnya.
MOH menasihatkan golongan rentan, termasuk warga emas, wanita hamil serta mereka yang menghidap penyakit jantung atau paru-paru kronik, supaya mengelakkan kegiatan luar apabila bacaan PM2.5 sejam berada pada tahap tinggi, iaitu antara 151 hingga 250.
Mereka yang perlu keluar rumah boleh memakai pelitup N95 yang sesuai dan menutup muka dengan rapat, atau pelitup setara, bagi mengurangkan pendedahan kepada zarah jerebu.
Apabila bacaan PM2.5 mencapai paras sangat tinggi, iaitu 251 dan ke atas, individu yang sihat juga dinasihatkan supaya mengurangkan semua kegiatan luar sebanyak mungkin.
Mereka yang perlu keluar rumah boleh memakai pelitup N95 sebagai perlindungan.
Bagaimanapun, MOH menjelaskan bahawa pelitup N95 secara amnya tidak diperlukan ketika berulang-alik antara rumah dengan sekolah atau tempat kerja, mahupun ketika berada di dalam bangunan.
Kementerian itu turut mengingatkan warga emas, wanita hamil dan mereka yang mengalami masalah jantung atau paru-paru yang serius serta menghadapi kesukaran bernafas supaya mendapatkan nasihat doktor sebelum memakai pelitup N95.
Mereka yang berasa tidak selesa ketika memakainya pula dinasihatkan supaya menanggalkan pelitup itu buat sementara waktu untuk berehat.
Selain N95, pelitup jenis KN95, FFP2 dan KF94 juga berkesan untuk mengurangkan pendedahan kepada zarah jerebu, menurut MOH.
Orang ramai boleh melayari laman web HazeMaskGoWhere untuk mendapatkan maklumat mengenai lokasi pengambilan pelitup muka serta kemas kini ketersediaannya di mesin layan diri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.