Skip to main content

Singapura

JEREBU RENTAS SEMPADAN: Kuasa memberkas, perbicaraan tanpa kehadiran tertuduh antara pindaan diusulkan terhadap undang-undang jerebu SG

Anggaran Waktu Membaca:
JEREBU RENTAS SEMPADAN: Kuasa memberkas, perbicaraan tanpa kehadiran tertuduh antara pindaan diusulkan terhadap undang-undang jerebu SG

Seorang lelaki dengan latar belakang bangunan Mahkamah Agung dan Bangunan Parlimen yang diselubungi jerebu pada 14 Oktober 2026. (Gambar arkib: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 04 Nov 2026 05:15PM Dikemas Kini : 04 Nov 2026 10:51PM
Arrest powers, trials in the accused’s absence among proposed amendments to Singapore’s haze laws
  • The NEA has proposed amendments to the Transboundary Haze Pollution Act to strengthen investigations and action against individuals and entities responsible for burning, including the possibility of arrests and trials in the accused’s absence.
  • The Bill was tabled and read a second time in Singapore on Nov 4 under a Certificate of Urgency, following haze from Sep 4 to Oct 25 that brought 33 days of unhealthy air quality.
  • Grace Fu said experience investigating haze showed the need for swift action because evidence could be lost or altered, while suspects might evade enforcement by remaining overseas.
  • The haze was caused by forest and peatland fires in Indonesia, but jurisdictional limits make action difficult; the amendments could increase the economic impact on offenders, but do not guarantee prosecutions or resolve the cross-border problem.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Singapura mungkin tidak lama lagi berupaya memberkas individu-individu yang disyaki melakukan kesalahan berkaitan jerebu, serta menjalankan perbicaraan tanpa kehadiran pihak tertuduh, menerusi pindaan yang diusulkan untuk memperkukuh undang-undang jerebu negara ini.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan pada Rabu (4 Nov) bahawa pindaan yang diusulkan itu bertujuan untuk menghalang pihak-pihak tertentu daripada menggagalkan dan mengelakkan penguatkuasaan dengan cara terus berada di luar Singapura.

Rang Undang-Undang Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (Pindaan) telah dibentangkan dan dibaca buat kali kedua pada Rabu (4 Nov) di bawah 'Certificate of Urgency' (Sijil Urusan Mendesak) yang ditandatangani oleh Presiden menyusuli episod jerebu paling teruk di Singapura dalam tempoh lebih sedekad.

Sijil tersebut membolehkan sesuatu Rang Undang-Undang dibentangkan, dibahaskan, dan diluluskan melalui ketiga-tiga peringkat bacaan dalam satu persidangan parlimen yang sama. Lebih daripada 20 Anggota Parlimen dijangka akan mengambil bahagian dalam perbahasan pada Rabu.

Dalam satu kenyataan media, NEA menyatakan bahawa pindaan pada Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) akan memperkukuh keupayaan Singapura untuk menyiasat kegiatan pembakaran yang tidak bertanggungjawab, menetapkan kebertanggungjawaban, serta mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap pihak-pihak yang melanggar undang-undang tersebut.

Singapura dilanda jerebu dari 4 September hingga 25 Oktober, dengan mutu udara mencecah tahap 'tidak sihat' selama 33 hari dan tahap 'sangat tidak sihat' selama lima hari.

Jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia telah menyelubungi sebahagian rantau ini sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada 25 Oktober, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu menegaskan bahawa Singapura tidak boleh sewenang-wenangnya melaksanakan kuasa penguatkuasaannya dalam bidang kuasa negara lain.

Malah selepas notis dikeluarkan, penguatkuasaan mungkin tetap sukar jika syarikat luar negara tersebut enggan mematuhi arahan dan tiada pegawainya yang memasuki Singapura.

Dalam ucapan pembukaannya bagi perbahasan tersebut, Cik Fu berkata bahawa pengalaman Singapura dalam menyiasat insiden jerebu telah memberikan pemahaman yang lebih baik mengenai cabaran praktikal yang terlibat, serta perubahan yang diperlukan untuk menjadikan undang-undang Singapura lebih berkesan.

Beliau turut berkata bahawa pemerintah perlu memperkukuh undang-undang dan bertindak dengan pantas, memandangkan terdapat risiko bahawa bukti daripada siasatan yang sedang dijalankan boleh hilang atau diubah dari semasa ke semasa.

“Pada masa yang sama, kita harus bersikap realistik. Episod jerebu pada tahun ini mengingatkan kita betapa rumitnya masalah ini untuk diselesaikan. Jerebu pada dasarnya merupakan masalah rentas sempadan,” tambah beliau.

“Kebakaran boleh berlaku di seluruh rantau Asia Tenggara. Keupayaan kita untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab akan terus terbatas oleh batasan bidang kuasa kita.”

Beliau turut memberi amaran bahawa pindaan yang dicadangkan itu tidak menjamin kejayaan tindakan pendakwaan, dan perundangan semata-mata tidak akan dapat menyelesaikan masalah jerebu.

“Namun, langkah-langkah ini akan memperkukuh keupayaan kita untuk bertindak demi melindungi rakyat Singapura, termasuk dengan mengenakan kesan ekonomi terhadap entiti-entiti yang melanggar peraturan, walaupun dalam situasi di mana pendakwaan sukar dilaksanakan,” kata Cik Fu.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita