JEREBU RENTAS SEMPADAN: Firma tersenarai di Bursa SG disiasat Indonesia, disyaki bersihkan tanah dengan membakar
Pengeluar minyak sawit yang tersenarai di Bursa Singapura, Kencana Agri, sedang disiasat pihak berkuasa Indonesia berhubung kejadian kebakaran di kawasan anak syarikatnya di Kalimantan Utara.
Seorang anggota pasukan kawalan kebakaran hutan dan tanah menyembur air untuk memadamkan kebakaran di Pulang Pisau, Kalimantan Tengah, Indonesia, pada 12 Ogos 2026. (Gambar fail: Reuters/Ajeng Dinar Ulfiana)
SINGAPURA: Pengeluar minyak sawit yang tersenarai di Bursa Singapura, Kencana Agri, sedang disiasat pihak berkuasa Indonesia berhubung kejadian kebakaran di kawasan anak syarikatnya di Kalimantan Utara.
Beberapa syarikat lain yang tersenarai di Bursa Singapura (SGX), termasuk Golden Agri-Resources dan Wilmar International, pada Jumaat (16 Okt) turut tampil menjelaskan bahawa operasi mereka tidak menyebabkan kebakaran dan jerebu yang sedang berlaku.
Sebagai menjawab pertanyaan anak syarikat Bursa Singapura, SGX RegCo, pada Khamis (15 Okt) mengenai kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia serta jerebu rentas sempadan, Kencana Agri mengesahkan bahawa pihak berkuasa Indonesia sudah memulakan siasatan awal terhadap kejadian kebakaran di kawasan anak syarikatnya.
Siasatan itu melibatkan kegiatan membersihkan tanah menggunakan api yang disyaki berlaku berhampiran sempadan antara tanah milik kumpulan tersebut dengan tanah milik pihak ketiga.
Dalam kenyataannya kepada SGX, Kencana Agri menyatakan bahawa berdasarkan maklumat yang tersedia setakat ini, anak syarikatnya tidak menjalankan kegiatan membersihkan atau menyediakan tanah di kawasan yang terjejas.
Menurut syarikat itu, para penyiasat sudah menjalankan pemeriksaan di kawasan berkenaan pada September, manakala anak syarikatnya telah menyerahkan maklumat yang diminta.
Kencana Agri menegaskan siasatan masih dijalankan dan pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Syarikat itu turut menyatakan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang pertanyaan, dakwaan, notis atau permintaan maklumat lain daripada pihak berkuasa, media atau pihak berkepentingan berhubung kebakaran baru-baru ini.
Kencana Agri menegaskan pihaknya tidak menggunakan kaedah pembakaran untuk membersihkan atau menyediakan tanah, selaras dengan dasar syarikat dan peraturan pemerintah.
Berdasarkan semakan operasi dalaman, pihak pengurusan berpendapat maklumat yang ada setakat ini tidak menunjukkan bahawa kegiatan kumpulan tersebut menyumbang secara ketara kepada kebakaran hutan dan tanah gambut atau jerebu rentas sempadan.
Syarikat itu menyatakan bahawa pihaknya menguatkuasakan dasar larangan pembakaran sepenuhnya dan menjalankan pemantauan untuk mengelakkan api merebak ke kawasan ladangnya.
Kencana Agri mempunyai ladang dan kilang di Sumatra, Kalimantan dan Sulawesi, dengan jumlah kawasan tanaman seluas kira-kira 67,862 hektar.
Syarikat itu merekodkan beberapa kejadian kebakaran dalam kawasan konsesi yang dikendalikan anak syarikatnya di Kalimantan Utara dan Timur.
Kebakaran tersebut menjejas kawasan dianggarkan seluas 62 hektar, iaitu kurang 0.09 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman kumpulan itu.
Menurut penilaian awal dalaman Kencana Agri, kebakaran itu dipercayai tidak bermula dalam kawasan operasi kumpulan tersebut, sebaliknya merebak dari kawasan bersebelahan.
Syarikat itu menyatakan bahawa kebakaran ditangani pasukan pemadam kebakaran anak-anak syarikatnya dengan kerjasama pihak berkuasa dan masyarakat setempat.
Dron dan menara pemantauan kebakaran turut digunakan untuk mengenal pasti kawasan api yang masih aktif serta membantu mengarahkan pasukan pemadam kebakaran di lapangan.
Kencana Agri menyatakan keadaan kini terkawal, namun pemantauan dan langkah berjaga-jaga masih diteruskan.
Syarikat itu turut menegaskan pihaknya mempunyai prosedur pencegahan, pengesanan dan respons kecemasan terhadap kebakaran di semua kawasan perladangannya di Indonesia.
Lembaga pengarah Kencana Agri menyatakan pihaknya akan terus memantau perkembangan siasatan, selain memperketat langkah pencegahan dan pemantauan sepanjang musim kering.
Sementara itu, Perdana Menteri Lawrence Wong pada Khamis (15 Okt) berkata Singapura sedang mengenal pasti syarikat-syarikat yang mungkin bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia yang menyebabkan keadaan jerebu memburuk.
Dalam satu catatan media sosial, beliau menyatakan Singapura akan mengambil tindakan di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan jika terdapat asas yang kukuh, selain meneroka kemungkinan tindakan bersama negara-negara lain.
Beberapa syarikat lain turut memberikan maklum balas kepada SGX RegCo berhubung kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia serta jerebu rentas sempadan.
Syarikat minyak sawit Golden Agri-Resources menyatakan pihaknya tidak mengetahui sebarang maklumat yang menunjukkan bahawa operasi atau kegiatannya menyebabkan atau menyumbang kepada jerebu baru-baru ini.
Menurut syarikat itu, dasar larangan pembakaran sudah dilaksanakan sejak 1997, manakala dasar tidak menggunakan tanah gambut berkuat kuasa sejak 2010.
Kedua-dua dasar tersebut turut dikenakan terhadap para pembekalnya.
Golden Agri-Resources menyatakan pihaknya akan terus memantau dan mengesahkan kejadian kebakaran serta bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan apabila perlu.
Sementara itu, Wilmar International menyatakan pihaknya menguatkuasakan dasar larangan pembakaran yang ketat di seluruh operasinya sejak 2006.
Dasar itu melarang penggunaan api untuk membersihkan, menyediakan atau membangunkan kawasan tanah.
Wilmar turut menyatakan bahawa pihaknya tidak menjalankan sebarang penanaman kelapa sawit baharu di ladang miliknya di Indonesia sejak 2013.
Sejak itu, kegiatan perladangannya di Indonesia hanya melibatkan penanaman semula di kawasan sedia ada menggunakan kaedah mekanikal tanpa pembakaran.
Wilmar mengakui kebakaran dikesan di beberapa kawasan kecil dalam konsesi ladangnya di Indonesia.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan di lapangan setakat ini menunjukkan kebakaran tersebut bermula sama ada di luar sempadan tanah milik syarikat atau di kawasan yang diusahakan masyarakat setempat dalam konsesinya, sebelum merebak ke kawasan di bawah pengurusannya.
Sebuah lagi syarikat minyak sawit, PT Salim Ivomas Pratama, yang merupakan anak syarikat Indofood, menyatakan bahawa pihaknya secara konsisten melaksanakan dasar larangan pembakaran yang ketat.
Syarikat itu menggunakan kaedah mekanikal untuk membersihkan kawasan ladang yang tidak lagi produktif.
Menurutnya, tapak kebakaran dipantau menggunakan data satelit daripada Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) serta NASA.
Langkah itu membolehkan syarikat mengenal pasti dan bertindak terhadap kemungkinan kebakaran di kawasan ladangnya.
PT Salim Ivomas Pratama turut menyatakan kebakaran hutan dan tanah baru-baru ini tidak memberikan kesan ketara terhadap kegiatan atau kelangsungan perniagaannya.
SYARIKAT LAIN TURUT NAFIKAN PELIBATAN
Sebelum ini, First Resources dan Bumitama Agri, dua lagi pengeluar minyak sawit yang tersenarai di Bursa Singapura, turut mengaitkan kebakaran dengan fenomena El Nino tahun ini serta api yang merebak dari kawasan di luar operasi mereka.
Dalam kenyataan kepada SGX pada Khamis (15 Okt), First Resources menyatakan bahawa terdapat kejadian kebakaran yang bermula di luar sempadan ladangnya sebelum merebak ke kawasan di bawah pengurusannya.
Menurut syarikat itu, sesetengah kebakaran terlalu besar dan merebak terlalu pantas sehingga tidak dapat dibendung sepenuhnya walaupun usaha pemadaman sudah dijalankan.
Bumitama Agri pula menyatakan bahawa beberapa kebakaran dipercayai bermula di luar kawasan yang dikendalikan secara langsung oleh kumpulan itu sebelum merebak ke kawasan sekeliling.
Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bumitama Agri, Lim Gunawan Hariyanto, berkata berdasarkan pemerhatian dalaman dan siasatan awal, tiada bukti yang menunjukkan operasi kumpulan itu mencetuskan kebakaran yang sedang disiasat atau menyebabkan jerebu berkenaan.
Kedua-dua syarikat itu, bersama First Borneo Plantations, sebelum ini dinamakan dalam laporan Greenpeace bertarikh 5 Oktober sebagai mempunyai kaitan dengan syarikat-syarikat yang kawasan konsesi perladangannya menyumbang kepada jerebu.
Sementara itu, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Jumaat (16 Okt) mengumumkan bahawa Singapura akan mengeluarkan notis langkah pencegahan kepada tujuh syarikat di Indonesia yang dikenal pasti bertanggungjawab atas kebakaran yang menyebabkan jerebu ketika ini.
Notis tersebut akan dikeluarkan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan berdasarkan hasil siasatan Singapura.
Tujuh syarikat berkenaan ialah PT Bumi Andalas Permai, PT Bumi Mekar Hijau, PT Paramitra Mulia Langgeng, PT Sumatera Alam Anugerah, PT SBA Wood Industries, PT Hutan Lestari Raya dan PT Bangkanesia.
Menerusi notis itu, syarikat-syarikat terbabit diwajibkan menghantar pasukan pemadam kebakaran untuk memadamkan kebakaran atau menghalang kebakaran daripada merebak di kawasan tanah milik atau di bawah pengurusan mereka.
Mereka juga perlu menghentikan sebarang kegiatan pembakaran, tidak memulakan pembakaran baharu serta menyerahkan pelan tindakan kepada NEA untuk memadamkan kebakaran dan mencegah kejadian serupa daripada berulang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.