Jerebu jejas perniagaan F&B, jualan merosot sehingga 50 peratus
Sejak jerebu melanda Singapura sekitar tiga minggu lalu, sebilangan perniagaan makanan dan minuman (F&B) menyaksikan kemerosotan pada penjualan mereka.
Rumah Makan Minang di Kandahar Street antara perniagaan F&B yang terjejas akibat keadaan berjerebu. (Gambar: Petikan dari video)
- Sejak jerebu melanda Singapura sekitar tiga minggu lalu, sekitar 10 perniagaan F&B di kawasan Tengah, Timur dan Utara melaporkan pelanggan susut 10 hingga 50 peratus.
- Rumah Makan Minang di Kandahar Street paling terjejas, dengan Encik Hazmi Zin berkata pelanggan mengelak ruang luar apabila PSI melebihi 100, terutama selepas waktu Zohor.
- Untuk mengurangkan kesan, restoran itu memasak sekitar 80 peratus sahaja, memantau bacaan NEA setiap hari, sementara pesanan online meningkat sekitar 10 peratus.
- Di Pasar Geylang Serai dan Simpang Bedok, peniaga seperti Cik Seri Megawati Djaya dan Supa Deck turut melihat jualan merosot, terutama pada hari PSI tidak sihat.
SINGAPURA: Sejak jerebu melanda Singapura sekitar tiga minggu lalu, sebilangan perniagaan makanan dan minuman (F&B) menyaksikan kemerosotan pada penjualan mereka.
Ini lebih-lebih lagi apabila Indeks Pencemaran Udara (PSI) berada di julat tidak sihat iaitu melebihi bacaan 100.
Sekitar 10 perniagaan di kawasan Tengah, Timur dan Utara yang ditemui BERITA Mediacorp mencatatkan penurunan jumlah pelanggan antara 10 peratus hingga 50 peratus sejak keadaan berjerebu pada awal bulan ini.
PERNIAGAAN MEROSOT SEHINGGA 50 PERATUS, TEMPAHAN ONLINE MENINGKAT
Antara yang terjejas termasuk Rumah Makan Minang di Kandahar Street, yang mencatatkan kemerosotan perniagaan sekitar 50 peratus.
Keadaan itu paling ketara dirasakan apabila bacaan PSI melebihi 100 di kawasan Tengah sekurang-kurangnya tiga kali pada minggu lalu.
Menurut pemiliknya, Encik Hazmi Zin, pelanggan kini lebih cenderung meminta tempat duduk di dalam restoran berbanding di ruang terbuka pada hari-hari di mana keadaan jerebu berada di paras tidak sihat.
Malah pada waktu makan tengah hari, ada pelanggan yang sanggup menunggu sehingga meja di dalam restoran tersedia.
Encik Hazmi berkata: "Untuk makan tengah hari, kita selalunya ada tiga gelombang. Yang pertama, mereka yang datang untuk makan awal. Gelombang kedua, kumpulan mereka yang dari pejabat. Kalau gelombang terakhir, selalunya para jemaah yang datang selepas solat Zohor di Masjid Sultan, tetapi sejak jerebu, memang kurang.
"Gelombang pertama dan kedua seperti biasa, tetapi gelombang terakhir, berkurangan sebanyak 50 peratus. Selalu kita nampak keluarga yang tidak mahu melalui kesesakan waktu makan tengah hari," tambah beliau.
Keadaan itu memberi kesan khususnya kepada cawangan tersebut, yang mempunyai ruang makan di luar.
Cawangan itu boleh menampung kira-kira 50 pelanggan di ruang luar, dan 50 lagi pelanggan di bahagian dalam tingkat dua.
"Selalunya kita tidak benarkan tempahan meja, kita inginkan para pelanggan masuk ke kedai dan dapatkan meja. Masalahnya mereka datang dalam kumpulan besar, kita perlu atur meja. Jadi mereka harus menunggu, dan kalau ada meja kosong baharu mereka boleh makan. Kalau kumpulan besar, kesian, kerana mereka perlu tunggu dua tiga meja untuk dikosongkan," ujar Encik Hazmi.
Sebaliknya, Encik Hazmi berkata cawangan-cawangan Rumah Makan Minang di dalam ruang tertutup seperti di Hab Tampines Kita dan di Kelab Masyarakat The Frontier, tidak terjejas.
Memandangkan keadaan jerebu bukan sesuatu hal yang pertama kali dialami, Encik Hazmi juga sudah memikirkan operasi harian agar tidak terlalu teruk terjejas oleh kekurangan pelanggan.
"Isunya semasa jerebu, kakitangan kita pun sakit. Kita juga bimbang, kalau lebih ramai yang sakit, ia akan menjejas operasi. Kita ambil langkah untuk tidak memasak 100%, mungkin 80% sahaja. Kita pantau menerusi sistem NEA setiap hari, pantau tahap (dan sesuaikan masakan)," kongsi Encik Hazmi.
Namun perubahan tabiat pelanggan turut membawa sedikit peningkatan kepada segmen lain perniagaannya.
Menurut Encik Hazmi, pesanan menerusi online pula meningkat sekitar 10 peratus ketika keadaan berjerebu.
GERAI DI PASAR GEYLANG SERAI TURUT RASA TEMPIAS KESAN JEREBU
Kesan kekurangan pelanggan serupa turut dirasakan sebahagian peniaga makanan di Pasar Geylang Serai.
Antara gerai yang terjejas termasuk Haji Mahmuda Nasi Padang.
Peniaga gerai itu, Cik Seri Megawati Djaya berkata: "Selalunya waktu tengah hari, ramai yang datang makan. Tetapi sejak jerebu, boleh lihat kurang orang. Biasanya contohnya 100%, tetapi sejak jerebu kurang 30%. Di seluruh Pasar Geylang, perniagaan pun agak kurang, bukan kedai saya sahaja. Pelanggan berkurang."
Namun, Cik Megawati akur bahawa para pelanggan dilihat lebih kurang daripada biasa hanya pada hari-hari apabila bacaan PSI melebihi 100, iaitu di julat Tidak Sihat.
Tinjauan BERITA Mediacorp ke atas beberapa lagi gerai di Pasar Geylang Serai juga menunjukkan ada sedikit kemerosotan dari segi penjualan sehingga 10 peratus.
Di bahagian lain di Timur Singapura pula, seperti di Simpang Bedok, gerai-gerai seperti Supa Deck juga melihat perniagaan merosot sedikit, tidak melebih 10 peratus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.