Jerebu, bau terbakar jika kebakaran di Johor berterusan
Satu lagi tompok panas sudah dikesan di Johor sekitar 50 kilometer ke arah timur dan timur laut Singapura, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Rabu (27 Feb).
Gambar fail blok HDB.
SINGAPURA: Satu lagi tompok panas sudah dikesan di Johor sekitar 50 kilometer ke arah timur dan timur laut Singapura, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Rabu (27 Feb).
Asap dari tompok panas itu, yang dikesan pada Selasa, ditiup ke arah barat daya oleh angin timur-laut, menurut NEA. Menurut agensi tersebut lagi, ia menerima maklum balas daripada orang awam pada hari itu mengenai bau asap di beberapa bahagian di Singapura.
Dalam satu kemas kini, NEA turut menyatakan bahawa tompok panas yang dikesan awal minggu ini iaitu 30 kilometer timur Singapura, berlaku disebabkan oleh kebakaran di ladang minyak kelapa sawit di Johor.
"Jabatan Sekitaran Johor sudah memaklumkan kami bahawa terdapat kebakaran di Punggai, berdekatan Bandar Penawar, di sebuah kawasan ladang minyak kelapa sawit," menurut NEA. Agensi itu turut menambah bahawa kebakaran berpunca dari cuaca panas di beberapa kawasan di Johor.
"Anggota bomba dari Bandar Penawar dan para pekerja ladang baru dapat memadamkan kebakaran, setelah berusaha memadamkan kebakaran itu sejak beberapa hari lalu. Usaha ini juga dibantu oleh hujan pada 26 Feb 2019, meskipun 20 peratus kawasan itu masih kelihatan berasap.
"Sekiranya kebakaran di Johor itu berterusan, ia mungkin menyebabkan sedikit bau asap dan keadaan jerebu di Singapura," menurut agensi itu.
NEA menambah bahawa Februari lazimnya adalah bulan kering di sekeliling rantau ini dan tempoh cuaca kering yang berlanjutan boleh mengakibatkan kebakaran hutan dan belukar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.