Skip to main content

Singapura

JENDELA 2026: Masyarakat Melayu/Islam SG dalam era kepimpinan baharu

Tahun 2025 menyaksikan perubahan pucuk kepimpinan di Singapura pasca-Pilihan Raya Umum (GE2025) pada Mei lalu.
Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tahun 2025 menyaksikan perubahan pucuk kepimpinan di Singapura pasca-Pilihan Raya Umum (GE2025) pada Mei lalu.

Bukan sahaja di peringkat nasional, malah perubahan kepimpinan juga berlaku dalam masyarakat Melayu/Islam.

Bahagian kedua siri JENDELA 2026 mengupas kesan perubahan kepimpinan tersebut terhadap masyarakat Melayu/Islam Singapura dan apa yang boleh dijangkakan pada 2026.

Melangkah ke 2026, Singapura mempunyai barisan kepimpinan yang baharu di peringkat nasional dan di dalam masyarakat Melayu/Islam.

Pada masa yang sama, pemerintah pimpinan Perdana Menteri Lawrence Wong bertekad untuk mewujudkan mobiliti sosial, mengukuhkan jaringan keselamatan dan memupuk semangat perpaduan bagi membina negara yang memberi tumpuan kepada belia dan generasi masa depan.

"Kita memerlukan ekonomi yang kuat untuk mendapatkan hasil kewangan, membiayai semua program-program ini. Maka ekonomi kita mesti berdaya saing dan bertenaga," kata Zamil Kanan Adjung RSIS, Mohammad Alami Musa.

Selain itu, perkembangan geopolitik juga dipertimbangkan.

"Perang dagang serta kemajuan teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI) punya kesan besar ke atas masa depan kita.

"Bergerak ke hadapan, saya rasa mencipta peluang, ekonomi serta menyediakan rakyat Singapura untuk peluang-peluang ini akan menjadi kunci utama," kata Profesor Madya dari Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Terence Ho.

Antara kursus teknologi yang dihadiri Cik Fatimahwati Md Murset dalam kelas dan secara online merupakan kursus Kecerdasan Buatan Generatif atau Generative AI yang dianjurkan oleh NTUC Learning Hub.

"Kecerdasan Buatan (AI) dapat membantu untuk mengurangkan masa. Untuk kita lebih produktif dan lebih strategik dalam perancangan," kata pengurus cawangan pusat pendidikan, Fatimahwati Md Murset.

Ibu dua orang anak yang berusia 36 tahun itu turut mengalu-alukan rancangan pemerintah untuk memperkukuh jaringan keselamatan demi menghadapi ekonomi yang berubah-ubah dan semakin mencabar.

"Jurang pencapaian sosial ini akan melunturkan ikatan sosial. Akan menjejas kesatuan negara. Kita perlukan idea-idea yang radikal, yang besar untuk cuba merapatkan jurang pencapaian sosial," kata Encik Mohammad Alami.

"Subsidi ataupun bantuan daripada agensi-agensi pemerintah sendiri sangat membantu untuk kami juga terus bekerja dan menyumbang kepada ekonomi Singapura. Dalam masa yang sama tidak terlalu beri tekanan juga untuk kami fikirkan, mengimbangi tanggungjawab antara menjaga warga emas yakni ibu bapa kami dengan anak-anak kami yang masih kecil," kata Cik Fatimahwati.

Mengambil alih kepimpinan ehwal masyarakat Islam ialah Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

"Prof. Faishal berupaya untuk membangunkan dan menguatkan rangkaian hubungan di antara pemerintah dan masyarakat Melayu/Islam. Dan juga harapan bahawa Prof Faishal itu aktif, giat untuk menyuarakan isi hati masyarakat Melayu/Islam," kata Encik Mohammad Alami.

Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Mohamed Feroz Akber turut melafazkan kepercayaan terhadap kepimpinan Dr Muhammad Faishal.

"MENDAKI dan diri saya sendiri percaya kepimpinan beliau akan memperkukuhkan semangat bersatu padu, semangat kerja bersama dan memperluaskan kesan program-program yang bermanfaat kepada warga masyarakat Melayu/Islam di Singapura," kata beliau.

Di samping itu, Perdana Menteri Lawrence Wong turut melantik sembilan pemegang jawatan politik baharu, termasuk Encik Zhulkarnain Abdul Rahim yang menyandang jawatan sebagai Menteri Negara bagi Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga mulai Khamis (1 Jan).

Dr Syed Harun Alhabsyi pula dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pembangunan Negara merangkap Pendidikan.

"Mereka merupakan bekas pemimpin-pemimpin badan-badan Melayu/Islam.Jadi mereka rapat dengan masyarakat dan mereka mesra rakyat.

"Dan saya lihat bahawa mereka sangat berpotensi untuk dibangunkan pada masa depan sebagai penjawat-penjawat politik yang lebih tinggi lagi," kata Encik Mohammad Alami.

3 TUMPUAN KEUTAMAAN DI BAWAH KEPIMPINAN DR FAISHAL IBRAHIM

Dr Faishal turut menggariskan tiga tumpuan utama Masyarakat Melayu/Islam untuk beberapa tahun mendatang.

Ini termasuk memperkukuh pencapaian sosial, ekonomi masyarakat serta kehidupan beragama masyarakat Islam dalam suasana berbilang kaum.

"Apa yang saya dan masyarakat ingin melihat ialah lebih banyak sokongan,lebih banyak mungkin bantuan kewangan juga untuk setiap anggota mengejar cita-cita mereka. Jadi ini satu sistem meritokrasi yang lebih inklusif," kata Encik Mohammad Alami.

Satu lagi tumpuan adalah untuk melestarikan seni, budaya dan warisan Melayu sebagai sebahagian penting daripada identiti nasional.

"Warisan budaya ini satu bidang yang baru. Ini satu bidang yang penting. Kalau warisan budaya lemah, maka akan terjejas jati diri masyarakat Melayu/Islam. Dan jati diri masyarakat Melayu/Islam itu penting untuk kewujudan masyarakat," kata beliau.

KEPIMPINAN MENDAKI DIPERSEGAR DI BAWAH KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF BAHARU

Pembaharuan kepimpinan turut berlaku dalam badan Melayu/Islam MENDAKI.

Encik Zaqy Mohamad dilantik sebagai pengerusi Yayasan MENDAKI sejak 23 Mei lalu.

"Encik Zaqy memberi strategi untuk hala tuju bagaimana MENDAKI harus menjalankan usaha-usahanya. Dan ini sangat memberi kesinambungan juga dengan apa yang Prof Faishal (lakukan) untuk masyarakat Melayu/Islam," kata Encik Mohamed Feroz Akber.

Mantan Kolonel SAF itu menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu MENDAKI mulai 1 November 2025.

"Saya memimpin dengan berdasarkan nilai apa saya panggil 3P – “purpose”, “professionalism” and “people” ataupun matlamat yang jelas, etika profesionalisme dan juga mendahulukan masyarakat," kata beliau.

Usaha MENDAKI juga seleras dengan misi pihak pemerintah demi memperkukuhkan kedudukan masyarakat Melayu/Islam Singapura melalui pendidikan dan peningkatan kemahiran.

"MENDAKI akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) dan juga pihak pihak pemerintah yang lain dalam meneruskan usaha-usaha kami yang telah dijalankan.

"Usaha kami dalam pendidikan akan terus dapat membuat masyarakat Melayu/Islam Singapura terus maju," tambah beliau.

MENDAKI turut mempertingkatkan kerjasama dengan badan-badan Melayu/Islam dalam menjalankan usaha-usaha dibawah struktur M3.

"Apa yang lebih penting kepada M3, adalah bagaimana agensi-agensi M3 boleh bersambung. Kita memberi tumpuan dan pelaksanaan program-program supaya lebih ramai lagi masyarakat Melayu/Islam boleh manfaat daripada pendekatan dan kerjasama antara badan-badan M3," kata beliau.

KEPIMPINAN NEGARA PASTIKAN SG RELEVAN, BERINOVASI MENERUSI BELANJAWAN

Sokongan bagi usaha-usaha yang menjadi tumpuan pemerintah Singapura dalam melakar negara bagi tahun-tahun mendatang dijangka menjadi tumpuan dalam perbentangan Belanjawan pada Februari serta di dalam parlimen di bulan-bulan mendatang.

"Belanjawan adalah berkenaan bagaimana kita boleh mencari nafkah untuk Singapura. Bagaimana kita boleh kekal relevan dan ini termasuk mencipta peluang melalui innovasi," kata Dr Ho.

"Kaedah luar biasa memerlukan kaedah dan solusi-solusi, jalan keluar penyelesaian yang tidak biasa, yang tidak konvensional.

"Saya ingin lihat golongan pemikir yang wujud, yang akan ke depan dari pemerintah, dari jemaah menteri untuk memikirkan Singapura pada masa depan. Kita memerlukan idea kedua yang besar untuk Singapura," kata Encik Mohammad Alami.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita