Skip to main content

Singapura

JENDELA 2026: Lebih banyak kemudahan sukan untuk masyarakat, kukuhkan status sebagai tuan rumah acara sukan antarabangsa

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sukan 'Pickleball' mula menarik perhatian ramai tahun lalu dan masih popular hingga kini.

Aidan NurArieff juga tidak terkecuali.

'Kaki Pickleball' itu malah bermain sukan itu dua kali seminggu bersama isteri, keluarga ataupun rakan-rakannya.

Dengan semakin ramai yang minat dengan sukan ini, ruang untuk bersukan pula menjadi terhad.

Belum lagi raket dihayun, penduduk Punggol itu sudah mula berpeluh mencari gelanggang.

Encik Aidan berkata: "Setahu saya Punggol tidak ada gelanggang di kawasan perumahan HDB yang boleh main Pickleball - tak pernah nampak. Selalunya saya main di kemudahan-kemudahan Pickleball. Kadang-kadang kemudahannya pun penuh ditempah. Jadi saya perlu pergi ke kawasan seperti Yishun, Changi dan kekadang di kawasan bandar juga."
Related article image
Penggiat sukan Pickleball, Aidan NurArieff
Kemudahan yang dimaksudkan Encik Aidan adalah kemudahan-kemudahan milik syarikat-syarikat seperti Play! Pickle, atau PickleChoo Arena.

Bahkan, ada juga kemudahan-kemudahan awam seperti di gelanggang di dewan-dewan sukan ActiveSG.

Namun, slot yang terhad juga menjadi satu cabaran.

"Kalau nak tempah slot, terutamanya pada waktu sibuk, kalau nak main pada waktu-waktu itu, kita perlu tempah seminggu atau dua minggu sebelumnya," jelas beliau.
Menurut jurucakap SportSG, sebelum fenomena Pickleball itu melanda, tempahan gelanggang ActiveSG dianggarkan kurang daripada 20 tempahan setiap bulan sejak 2014.

Namun, jumlah itu melonjak dengan ketara dengan hampir 8,000 tempahan setiap bulan merentasi semua kemudahan ActiveSG pada separuh pertama tahun lalu.

Hal itu belum termasuk kos - yang boleh mencecah hampir S$40 sejam untuk kemudahan swasta dan sekitar S$7 untuk tempahan satu jam di gelanggang sekolah-sekolah di bawah naungan ActiveSG.

LEBIH BANYAK PILIHAN BERMAIN SUKAN PADA MASA AKAN DATANG, TUJU KE ARAH VISI 2030 NEGARA

Mujur bagi penduduk Timur Laut seperti Aidan, kemudahan baharu Sports ARINA bakal dibuka di Sengkang menjelang suku pertama tahun ini.

Kemudahan itu bakal menawarkan gelanggang-gelanggang sukan Pickleball serta juga untuk sukan bola keranjang dan futsal.
Related article image
(Gambar: Facebook / Ng Chee Meng)
Pusat Sukan Punggol ActiveSG juga sedang dibangunkan, menjanjikan pelbagai kemudahan untuk para penduduk bersenam di lokasi lebih dekat dengan rumah.
Related article image
Pusat Sukan Punggol ActiveSG (Gambar: Petikan gambar Mediacorp)
Encik Aidan berkata, " Ia membantu masyarakat untuk sama ada mula bersukan atau bagi mereka yang dah memang selalu buat sukan, lebih mudah untuk mereka pertimbangkan lebih banyak pilihan bersukan seperti berenang."

Kesemua pembangunan itu selari dengan visi jangka panjang pemerintah agar para penduduk boleh berjalan ke kemudahan sukan dalam 10 minit dari rumah.

Penolong Profesor di Universiti Nasional Singapura, Dr Tan Shin Bin berkata: "Apabila anda berfikir di mana kedudukan Singapura sekarang ini, kita sedang menghadapi beberapa cabaran seperti masyarakat yang semakin menua, cabaran kesihatan yang berkait rapat dengannya serta juga penyakit-penyakit kronik yang meningkat serta juga kadar kegemukan berlebihan."

"Semua perkara ini boleh dibantu dengan lebih banyak senaman atau kegiatan fizikal. Jadi ia pastinya satu manfaat yang ketara untuk menggalak orang ramai untuk bersenam menerusi pembinaan lebih banyak kemudahan sukan," tambahnya.
Related article image
(Gambar: ActiveSG Pasir Ris Sports Centre/Facebook)
Lantaran itu, pelbagai kemudahan sukan - baharu dan dinaik taraf - juga sedang dibangunkan di seluruh Singapura termasuk Dover, Ang Mo Kio-Hougang dan Tampines.

Kebanyakannya dijangka siap pada tahun ini.

Dr Tan berkata: "Apabila kemudahan-kemudahan ini dibangunkan di kawasan-kawasan perumahan HDB, ia memberikan sekumpulan besar masyarakat akses yang baik, tempoh masa bergerak yang lebih singkat serta keperluan kos yang berkurangan untuk bersukan dan melakukan kegiatan. Itu sesuatu yang positif yang dapat merapatkan jurang untuk masyarakat bersenam."

PERHEBATKAN LAGI KEMUDAHAN-KEMUDAHAN SUKAN UNTUK JADI TUAN RUMAH KEPADA PERTANDINGAN ANTARABANGSA

Jalur Kallang Alive juga akan menyaksikan penambahbaikan infrastruktur besar tahun ini, seiring dengan penganjuran beberapa acara sukan dan hiburan bertaraf dunia.

Ini termasuk kembalinya kejuaraan ragbi HSBC Sevens, Tenis Terbuka Singapura serta kejohanan bola keranjang FIBA 3x3.
Related article image
Countdown 2026 di The Kallang akan menjadi acara pertama anjuran The Kallang Group di bawah nama korporat baharunya. (Gambar: The Kallang)<br /> &nbsp;
Semua pertandingan itu bakal menghimpunkan atlet elit antarabangsa dan peminat sukan ke Singapura.

Penganjuran acara-acara itu juga mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap keupayaan Singapura sebagai tuan rumah, daripada aspek prasarana, penganjuran hinggalah pengalaman penonton.

PIALA DUNIA 2026 KEMBALI, DIADAKAN DI TIGA NEGARA

Dari gelanggang tempatan ke pentas dunia — kejuaraan bola sepak Piala Dunia bakal kembali pada Jun 2026.

Bagi kaki-kaki bola seperti Encik Abdul Rohim Sarip dan Encik Zaki Ma’arof, ia merupakan peluang keemasan untuk menonton perlawanan-perlawanan secara langsung.
Related article image
Encik Zaki Ma'arof (kiri) dan Encik Adbul Rohim Sarip (kanan) (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Ia juga kali pertama kejohanan yang diadakan sekali setiap empat tahun itu diadakan di tiga negara serentak - Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Encik Abdul Rohim berkata: "Ini sesuatu suasana yang seronok untuk saya nikmati. Kalau di rumah, tonton di televisyen, tidak dapat suasana sebegitu."

"Suasana Piala Dunia kalau kita tak merasakan, belum lagi lengkaplah dari apa yang kita harapkan," kata Encik Zaki pula.

Meski akan berlangsung dalam masa enam bulan, namun banyak kontroversi sudah melanda kejohanan itu.

Misalnya, larangan perjalanan yang dikenakan pemerintah Amerika Syarikat tahun lalu menghambat para penyokong dari negara Afrika, Senegal dan Ivory Coast untuk menghadiri kejohanan itu.

Lagi satu kontroversi ialah berkaitan harga tiket.

Encik Abdul Rohim berkata: "Memang berbeza berbanding dengan Piala Dunia tahun-tahun sudah di Qatar. Harga mungkin AS$ 400-600 untuk peringkat kalah mati atau selanjutnya tapi sekarang dari peringkat pertama dah mencecah AS$400-600 untuk satu tiket."

Lantaran itu, FIFA menawarkan tiket serendah AS$60 selepas menerima kritikan terhadap harga yang melambung tinggi.
Related article image
(Gambar: Reuters/David Swanson)
Namun, bagi penyokong tegar seperti mereka, faktor lain turut menjadi pertimbangan dan persiapan sudah bermula berbulan-bulan lebih awal buat mereka berdua.

"Yang ketara adalah tiket penerbangan. Saya bukan pergi ke ketiga-tiga negara - terlalu jauh. Terlalu banyak masa akan diperlukan. Jadi saya akan fokus 1 negara sahajalah mungkin di Mexico untuk 3, 4 perlawanan," ujar Encik Abdul Rohim.

Encik Zaki pula menambah: "Bila jadual sudah keluar tarikh perlawanannya, stadium di mana. Kita pun dah ada persiapan. Stadium ini dekat dengan hotel ini, 'Eh (tarikh perlawanan) ini dengan jadual penerbangan yang kita sudah tempah'. Saya ingin tonton perlawanan-perlawanan suku akhir dan separuh akhir. Itu yang saya kalau boleh saya nak kejar."

Sama ada di gelanggang kejiranan atau di pentas dunia, 2026 menandakan setahun lagi di mana sukan menggerakkan masyarakat sekali gus menghubungkan Singapura dengan dunia.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita