Skip to main content

Singapura

JENDELA 2026: Bina hidup bermutu dalam era SG lampau usia

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Jan 2026 10:26PM Dikemas Kini : 30 Jan 2026 05:24PM
SINGAPURA: Pada usia 28 tahun, Norazim Azami menjaga kedua-dua ibu bapanya - dengan bantuan seorang pembantu rumah.

Ibunya pesakit sawan.

Bapanya pula perlu bergantung kepada anggota keluarga sejak diserang angin ahmar pada 2019.

"Sekarang ini bapa saya dia tidak boleh berdiri, jadi aktiviti seperti mandi, berjalan ini semua agak terhad. Banyak berehatlah kerana dia banyak penyakit. Penyakit angin ahmar, penyakit kayap ular menjejas pergerakan dia. Aktiviti seperti duduk pun mengambil usaha yang banyak dan tenaga yang banyak," kongsi Norazim kepada BERITA Mediacorp.
Related article image
Norazim Azami bersama bapanya. (Gambar: Petikan dari video)
Saban hari, kehidupan Norazim semakin tertumpu kepada urusan menjaga ibu bapa selain perlu memikul tanggungjawab sebagai satu-satunya pencari nafkah bagi keluarga mereka.

Beban itu bukan hanya bersifat fizikal - ia turut menekan emosi dan menuntut kesabaran setiap hari.

Apabila ibu bapa sakit, seluruh keluarga belajar hidup dalam satu realiti baharu.
Related article image
Norazim Azami, 28 tahun, merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi isi rumahnya. (Gambar: Petikan dari video)
"Secara jujur, apabila kes angin ahmar berlaku, ia mengambil masa yang agak lama untuk keluarga kita menerima hakikatnya. Apabila ibu bapa sakit, mereka juga menjadi orang yang baharu. Ia juga memerlukan kita untuk menjadi ibu bapa juga, kita (pula) nak kena menjaga mereka," ujar Norazim, anak bongsu daripada empat beradik.

Apabila sakit menjadi rutin, yang datang bersamanya adalah kos bagi membiayai dan menampungnya.

Bukan satu bil besar semata-mata, tetapi bil yang datang berkali-kali, untuk penyakit yang berbeza, rawatan yang berbeza, dan keperluan harian yang tidak putus-putus.

"Harga perubatan di Singapura ini memang mahal, sekali ibu saya jatuh sahaja, kena kepala, bil hospital boleh mencecah S$3,000. S$3,000 ini bukan kos yang boleh dibayar dengan MediSave. Banyak juga yang perlu dari segi wang tunai," kata Norazim lagi.

Sekalipun demikian, Norazim bersyukur kerana masih ada adik-beradik yang membantu, meskipun tinggal berasingan.
Related article image
Norazim bersama keluarga. (Gambar: Ihsan Norazim Azami)
Namun beliau akur, tidak semua keluarga ada sokongan yang sama.

Dan kadangkala cabaran yang “besar” bukan hanya kewangan - tetapi bagaimana untuk mendapatkan bantuan yang sudah disediakan.

"Kalau nak dapatkan bantuan kewangan daripada pemerintah, banyaklah bantuan kewangan. Mungkin proses ini nampak sangat mudah tetapi hakikatnya tidak. Untuk saya sahaja, saya sudah menghadapi cabaran untuk mengendalikan (pelbagai) borang-borang apatah lagi warga emas lain," tambah beliau.

WARGA SENJA KEKAL AKTIF DI AAC

Keluarga seperti Norazim tidak terkecuali.

Menjelang 2026, Singapura melangkah ke status masyarakat lampau usia atau 'super-aged' apabila lebih ramai rakyatnya berumur 65 tahun ke atas.

Maka persoalannya ialah: Apabila kita hidup lebih lama, bolehkah kita hidup lebih sihat dan meniti usia senja dengan lebih bermaruah?

Bagi sesetengah warga emas, “menua dengan tenang” bukan sekadar berusaha untuk mengelak daripada wad hospital.

Ia tentang rasa berguna dan ada tempat untuk terus hidup dengan tujuan yang bermakna.
Related article image
Encik Mohamed Hussein Mohamed Ibrahim aktif selama 12 tahun di AAC di kolong bloknya. (Gambar: Petikan dari video)
Bagi Encik Mohamed Hussein Mohamed Ibrahim, 80 tahun, Pusat Penuaan Aktif (AAC) di kolong bloknya menjadi tempat untuk kekal bergaul dan terus menyumbang.

"Saya selalu sudah biasa dengan ini (aktif), jadi saya teruskanlah aktif untuk tolong mereka. Bantu mereka (kakitangan Pusat Penuaan Aktif). (Datang ke Pusat Penuaan Aktif) memang membantu saya kuatkan mental saya, kesihatan saya," kata warga emas yang sudah 12 tahun menyumbang tenaga dan sentuhan daya kreatif menghias Pusat Penuaan Aktif di Blok 5 Toa Payoh Lorong 7 bagi setiap musim perayaan.
Related article image
Encik Mohamed Hussein di AAC di kolong bloknya. (Gambar: Petikan dari video)
Apabila ditanya tentang petua meniti usia senja, Encik Hussein menekankan satu pesanan mudah: "Jangan tunggu sakit untuk mula bersedia."

"Harus jaga kesihatan lebih awal sebelum tua. Sebab apa, nyawa itu tak boleh cakap. Hari ini entah besok. Kalau dia ingat dia muda, tak ingat masa akan datang, saya tak tahu apa akan jadi," tambah beliau.

PENYAKIT KRONIK SEMAKIN DIKESAN PADA USIA MUDA

Nasihat itu seiring dengan apa yang dilihat Dr Shariffa Syahidah Chishty, seorang doktor keluarga dan pembimbing kesihatan, yang banyak melihat pola penyakit kronik semakin dikesan pada usia lebih muda.

Ini “tanda amaran” yang tidak boleh dipandang ringan.
Beliau memberitahu BERITA Mediacorp, satu kajian Universiti Nasional Singapura (NUS) yang diterbitkan pada 2025, menunjukkan trend masa kini dari segi penyakit kronik antara kaum di Singapura dan data itu dipertimbangkan untuk mengambil kira penduduk Singapura yang semakin menua.

Dapatan kajian itu menimbulkan kebimbangan beliau terutama sekali bagi masyarakat Melayu/Islam tempatan.

Ini kerana pada tahun 2050 masyarakat Melayu/Islam dijangka terpaksa menanggung kos jagaan kesihatan sepanjang hayat.

Tempoh sepanjang hayat itu paling singkat dalam masyarakat Melayu/Islam berbanding kaum-kaum lain, tambah beliau, dan ini sebabnya:

"Kita ada jangka hayat yang terendah sekali. Maksudnya, kita akan mengalami pelbagai penyakit kronik dalam masa muda kita. Lebih muda dari sekarang dan kita akan hidup dengan lebih tidak berupaya."
Related article image
Dr Shariffa Syahidah Chishty, seorang doktor keluarga dan pembimbing kesihatan. (Gambar: Petikan dari video)
Bagi Dr Shariffa, punca 'besar' adalah gaya hidup kurang baik yang bermula awal - dan tabiat yang dianggap kecil, akhirnya menghantui kita.

Menurut Dr Shariffa, usaha pencegahan kini berada pada tahap genting.

Tabiat harian perlu dibentuk ketika kita masih sihat.

ANTARA SUBSIDI 2026

2026 menjadi titik penting untuk sistem jagaan kesihatan dan sokongan sosial mendekati rakyat.

Matlamatnya satu: Supaya penjagaan tidak jatuh sepenuhnya pada bahu keluarga dan bantuan dapat diperolehi ketika ia paling diperlukan.

Antara yang menjadi tumpuan adalah memperkukuh penjagaan dalam masyarakat, meringankan beban kos penjagaan jangka panjang dan membolehkan lebih ramai keluarga mendapat bantuan dengan had kelayakan yang dipertingkat.

Ini termasuk:

1) CareShield Hayat:
 
Dipertingkat termasuk bayaran kadar pertumbuhan dari 2 peratus kepada 4 peratus setiap tahun

2) MediSave:

Had pengeluaran bagi imbasan seperti CT atau MRI untuk pesakit luar digandakan kepada S$600 setahun

3) Geran Penjagaan di Rumah:

Bayaran bulanan sehingga S$600 berbanding S$400 sebelum ini

Bantuan kini merangkumi keluarga dengan pendapatan bulanan isi rumah per kapita antara S$3,600 hingga S$4,800

4) Subsidi jagaan jangka panjang dipertingkat:

Had kelayakan pendapatan isi rumah naik kepada S$4,800

Kadar subsidi sehingga 80% bagi penjagaan di rumah

Kadar subsidi sehingga 95% bagi penjagaan di rumah atau masyarakat
MASYARAKAT MELAYU/ISLAM DIGESA JALANI PEMERIKSAAN KESIHATAN

Menteri Negara Kesihatan, Rahayu Mahzam, menekankan bahawa cara terbaik untuk masyarakat Melayu/Islam sama-sama melangkah sebagai sebuah masyarakat lampau usia bermula dengan kesedaran tentang betapa pentingnya menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Jumlah masyarakat kita yang menjalani saringan kesihatan itu kurang dan kita lihat apabila kita tidak pergi saringan kesihatan kita tidak dapat mengetahui keadaan mereka dengan lebih awal, kemampuan kita untuk membantu mereka kurang sedikit," kata beliau.

"Saya dengar, saya lihat banyak pesakit saya, walaupun ada usaha negara, pemerintah ada banyak inisiatif percuma, untuk membuat ujian saringan percuma, atau lebih bersubsidi, mereka tak ingin. Ada banyak sebab kenapa," kata Dr Shariffa, menyokong apa yang ditekankan oleh Cik Rahayu.
Related article image
Menteri Negara Kesihatan, Rahayu Mahzam. (Gambar: Petikan dari video)
Dr Shariffa menambah, "dari segi pencegahan" penyakit, masyarakat Melayu/Islam perlu lebih proaktif.

Lantaran itu, untuk mencapai aspirasi menua dengan mutu hidup yang baik, ia memerlukan usaha seluruh masyarakat untuk mengambil langkah proaktif dari peringkat awal.

"Penting untuk kita pastikan bukan sekadar untuk usianya yang lanjut tetapi keadaan diri itu kekal sihat, kekal aktif sejauh mungkin. Saya tahu ini bukan sesuatu yang mudah dan kita perlukan disiplin. Tentu sekali pemerintah berikan sokongan menyediakan infrastruktur, kita juga perlu rakan kerjasama mengadakan orang kata ‘the software’, program-program, aktiviti. Kita perlu adakan doktor keluarga yang menggalakkan, yang memberitahu mereka bagaimana kita dapat mencegah sesuatu yang buruk berlaku pada diri kita.

"Harus individu itu sendiri (juga) punya keinginan untuk menjaga kesihatan mereka agar dapat terus kekal aktif dalam kehidupan mereka, dapat menjaga keluarga mereka, dapat melakukan amanahlah sebagai seorang individu. Penting untuk tingkatkan kesedaran, beritahu masyarakat kita lebih awal kenapa kita perlu lakukan hal ini agar apabila kita lebih lampau usia, semuanya walaupun tua, sihat dan aktif," ujar Cik Rahayu.

Menua bukan pilihan tetapi cara kita menua, itu pilihan yang boleh dibentuk dari sekarang.

Pemerintah boleh menyediakan sistem, masyarakat pula boleh menjadi tempat berpaut.

Dan kita, sebagai anak, sebagai ibu bapa, sebagai jiran, boleh mula dengan satu perkara:

Jaga kesihatan dari sekarang supaya apabila tiba usia tua, kita bukan setakat hidup lebih lama, tetapi hidup lebih bermakna.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita