Skip to main content

Singapura

Jenazah pelakon Aloysius Pang dalam perjalanan pulang ke S'pura

Jenazah askar kerahan Aloysius Pang kini dalam perjalanan pulang ke Singapura setelah meninggalkan Lapangan Terbang Auckland pada Jumaat (25 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Jenazah pelakon Aloysius Pang dalam perjalanan pulang ke S'pura

Jenazah askar kerahan Aloysius Pang kini dalam perjalanan pulang ke Singapura setelah meninggalkan Lapangan Terbang Auckland. (Gambar: Aqil Haziq Mahmud)

Diterbitkan : 25 Jan 2019 10:15AM Dikemas Kini : 25 Jan 2019 10:53AM

AUCKLAND: Jenazah askar kerahan Aloysius Pang kini dalam perjalanan pulang ke Singapura setelah meninggalkan Lapangan Terbang Auckland pada Jumaat (25 Jan).

Jenazahnya meninggalkan tempat menyimpan mayat di Hospital WaiKato pada malam Khamis (24 Jan) setelah pihak pihak berkuasa bersetuju untuk tidak menjalankan bedah siasat atas permintaan keluarga mendiang, menurut seorang kakitangan kemudahan itu yang enggan identitinya didedahkan.

Korporal Kelas Pertama (Kerahan) Pang, 28 tahun, meninggal dunia awal pagi Rabu setelah mengalami kecederaan parah semasa menjalani latihan tentera Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di New Zealand.

Sementara itu, polis New Zealand memberitahu Mediacorp bahawa siasatan awal berhubung insiden itu sedang dijalankan setelah pihaknya dimaklumkan mengenai kematian Pang.

"Kematian itu tidak dianggap sebagai mencurigakan dan pihak polis menyampaikan rasa simpati kepada rakan-rakan dan keluarga Aloysius Pang Wei Chong," menurut Inspektor Detektif Brent Matuku.

Semasa sidang media pada Khamis (24 Jan), para komander kanan SAF mendedahkan bahawa mendiang dihimpip antara laras meriam dan kabin kenderaannya setelah Pang "tidak dapat mengundurkan diri" semasa laras meriam diturunkan.

Pada Khamis malam, jenazah Pang dibawa ke rumah mayat Sincere Funeral Services, yang terletak lapan minit dari hospital.

Seorang kakitangan memberitahu Mediacorp bahawa jenazah Pang dibawa ke Lapangan Terbang Auckland pada jam 7.30 pagi pada Jumaat (2.30 pagi, waktu Singapura).

Di terminal korporat Lapangan Terbang Auckland, sekumpulan lelaki - seorang daripadanya memakai seragam Tentera Singapura - bertanya sekiranya wartawan Mediacorp berada di sana untuk "majlis pengebumian".

Pada sekitar 11.15 pagi, sekumpulan lelaki dan wanita yang memakai seragam tentera New Zealand meninggalkan terminal korporat dan menaiki sebuah van.

Sejurus kemudian, sebuah kenderaan Sincere Funeral Services meninggalkan terminal itu, disusuli dengan sebuah van penumpang yang kosong.

Pada waktu tengah hari, kelihatan jet Angkatan Tentera Udara Singapura K-135 berlepas menuju ke arah timur.

Menurut Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dalam satu catatan Facebook, jet KC-135 dikerahkan ke New Zealand untuk membawa pulang jenazah Pang.

Pengurus Pang, Encik Dasmond Koh memberitahu para wartawan bahawa ada rancangan untuk mengadakan upacara memperingati mendiang supaya "semua para peminat dan orang yang disayanginya dapat mengucapkan selamat tinggal". 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita