Skip to main content

Singapura

Jenazah kedua-dua mangsa nahas jalan raya di Tampines, selamat dikebumikan

Jenazah kedua-dua mangsa nahas jalan raya di Tampines pada Isnin (22 Apr), selamat dikebumikan di Pusara Aman petang tadi (23 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jenazah kedua-dua mangsa nahas jalan raya di Tampines pada Isnin (22 Apr), selamat dikebumikan di Pusara Aman petang tadi (23 Apr).

Ratusan anggota keluarga dan sahabat handai hadir untuk memberikan penghormatan terakhir mereka.

Awal sebelum itu, keluarga kedua-dua mangsa nahas di Tampines tiba di Hospital Besar Singapura sekitar jam 9.00 pagi untuk menunggu jenazah selesai menjalani proses bedah siasat.

Allahyarhamha Norzihan Juwahib, 57 tahun dan Afifah Munirah Md Azril, 17 tahun, meninggal dunia di hospital setelah kenderaan yang dinaiki mereka dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu laju.

ALLAHYARHAMHA NORZIHAN SEMPAT SAMBUT LEBARAN BERSAMA KELURGA DI RUMAH BAHARU

Keluarga Allahyarhamha Norzihan kini berserah kepada undang-undang bagi hukuman yang sewajarnya bagi pihak yang bersalah.

Adik ipar beliau, Encik Rosli berkata: "Anggota keluarga kita sangat sedih atas kemalangan serius ini. Semua tidak bersemangat, saya rasa ini tidak adil."

"Pada mulanya, memang kita rasa sedih, terperanjat kerana seorang ahli keluarga kita telah pergi menghadap Allah dan untuk perasaan marah ada tapi kita serah kepada undang-undang," ujar Encik Mohd Sani Juwahib, adik mangsa.

Beliau juga berharap para pengguna jalan raya mengambil iktibar daripada tragedi ini demi keselamatan semua.

"Pada saya, kepada semua pemandu di sana, kalau boleh, berhati-hatilah. Kita di jalan raya, kita hormat-menghormati antara satu sama lain. Bekerjasama dengan terbaik dan ingatlah nyawa, keluarga di rumah serta pengguna jalan raya yang lain," kata Encik Sani.

Menurut adik beradiknya, Allahyarhamha menjaga ibu mereka yang berusia 78 tahun seorang diri.

Allahyarhamha juga merupakan anak sulung daripada enam beradik.

Sebelum ini, Allahyarhamha Norzihan lama menetap di rumah sewa dan hanya tiga bulan lalu, Allahyarhamha dapat memenuhi impiannya untuk memiliki rumah sendiri apabila berpindah ke flat BTO dua bilik di Sengkang.

Anggota keluarga pekerja di syarikat kawalan haiwan perosak itu mengenang detik bermakna dapat menyambut lebaran bersama Allahyarhamha Norzihan dan berkunjung ke rumahnya.

Allahyarhamha Norzihan selamat dikebumikan di Pusara Aman sekitar 3.00 petang tadi.

ALLAHYARHAMHA AFIFAH SEORANG PELAJAR TEKUN, BAWA KECERIAAN

Jenazah seorang lagi mangsa, Allahyarhamha Afifah Munirah Muhd Azril dibawa pulang ke rumahnya di Pasir Ris untuk dimandikan sekitar jam 2.30 petang.
Jenazahnya kemudian dibawa ke Masjid Al-Istighfar untuk sekitar jam 4.30 petang sebelum dikebumikan di Pusara Aman sekitar 6.30 petang tadi (23 Apr).

Sekitar 200 orang termasuk anggota keluarga, rakan-rakan dan guru-guru sekolah hadir untuk memberikan penghormatan terakhir mereka.

Pemergian Allahyarhamha sangat terasa dan apabila cuba ditemu bual oleh kru Mediacorp, mereka terlalu sebak untuk mengeluarkan kata-kata.

Menerusi catatan di Facebook, Maktab Rendah Temasek menyifatkan Allahyarhamha Afifah sebagai pelajar yang sangat disayangi dan sentiasa membawa keceriaan dalam bilik darjah.

Guru-gurunya juga menyifatkannya sebagai seorang murid yang sangat tekun dalam pelajaran.

Afifah merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Perempuan Cedar.
Sementara itu, datuk Allahyarhamha Afifah, Encik Muhammad Kassim Yusoff, 71 tahun, mengesahkan bahawa menantunya, Muhammad Azril Mahmood yang terlibat dalam kemalangan tersebut masih lagi dirawat di unit jagaan rapi (ICU) Hospital Besar Changi.

Menurut beliau, pegawai pengawal pantai polis itu sudah selesai menjalani pembedahan untuk buah pinggang dan tulang belakang, namun masih di wad ICU.
Beliau juga sempat berkongsi bahawa Allahyarhamha Afifah lazimnya duduk di tempat duduk hadapan kereta apabila dihantar ke sekolah oleh ayahnya.

Namun, pada hari kejadian, cucunya itu berada di tempat duduk belakang kereta.

Beliau menjelaskan bahawa impak kemalangan lebih kepada bahagian belakang kereta sehingga menyebabkan Allahyarhamha tercampak keluar daripada kereta.

Nahas itu melibatkan enam kenderaan dan seorang pemandu berusia 42 tahun sedang membantu siasatan polis.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita