Jenazah Biduanita Nona Asiah selamat dikebumikan, anak-anak dan cucu ratapi pemergiannya
Sikap penyayang Allahyarhamha Asiah Aman atau lebih dikenali dengan nama Nona Asiah akan dirindui oleh keluarganya.
SINGAPURA: Sikap penyayang Allahyarhamha Asiah Aman atau lebih dikenali dengan nama Nona Asiah akan dirindui oleh keluarganya.
Arwah Mak Nona menghembuskan nafas terakhirnya pada awal pagi Selasa (30 Jul) akibat pelbagai komplikasi kesihatan.
Anak Allahyarhamha Encik Abdul Mutalib Ismail yang baharu pulang dari Australia semalam selepas menghadiri sebuah acara keluarga terkenang akan detik-detik manis bersama ibunya semasa hayatnya.
"Kadang-kadang itu saya datang ke rumahnya dan duduk di sebelahnya dan bertanya kepada ibu: “'Mummy' sihat? "Ya, ok,” Arwah boleh tanya saya kembali “Kamu anak siapa?” Itu yang buat lucu.
"Lalu saya berkata “Saya anak 'Mummy'” “Anak 'Mummy' yang ke berapa?” “Saya yang kedua” “Ok”. Nanti dalam 15-20 minit dan (adik saya) Indra ada di sana nanti dia bertanya “Indra, Talib mana?” “Mummy, Talib itu ada di sebelah 'Mummy'”. Nanti dia pusing. “Arwah tanya Talib 'bila kamu datang'?"
"Untuk saya yang sedih, nanti kalau kami datang ke rumah, arwah ibu sudah tidak ada lagi," kata anaknya, Encik Abdul Mutalib Ismail kepada wartawan Syawal Yusoff.
Allahyarhamha mempunyai lima orang cahaya mata - empat lelaki dan seorang perempuan.
Anak sulungnya, maestro muzik Iskandar Mirza Ismail meninggal dunia pada 2014.
Encik Abdul Mutalib berkongsi pesanan ibu pernah untuk terus perkukuhkan ikatan keluarga.
"Itu semua sudah ditulis oleh ibu. Untuk kami adik beradik sentiasa erat bersama dan menjaga satu sama lain," ujarnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Allahyarhamha Nona Asiah meninggal dunia di Hospital Besar Changi (CGH) pada usia 94 tahun.
Sepanjang Allahyarhamha dimasukkan ke hospital, anak-anaknya tidak putus-putus menziarahi dan menjaganya.
Anak ketiga Allahyarhamha, Encik Mubarak Ismail sedu kerana terkilan tidak dapat berada di sisi arwah ibu buat kali terakhir.
"Saya hari-hari di hospital bersama arwahnya. (Saya akan rindukan) kasih sayangnya, walaupun arwah 'bising' itu macam biasalah. Beliau adalah ibu yang terbaik," ujar Encik Mubarak sambil menahan sebak.
Darah seni turut mengalir dalam diri beberapa orang cucu-cucunya.
Antaranya ialah pelakon Imam Shah yang terkenang akan sikap ramah nenek tercinta.
"Setiap kali saya jumpanya, arwah suka bercerita. Beliau suka bercerita tentang kisah-kisah (tentang) perjalanan hidupnya. Itulah satu perkara yang pasti kami sekeluarga akan rindu," kata Imam Shah, anak kepada Encik Abdul Mutalib.
Beliau yang sudah menetap di Malaysia sempat berjumpa dengan Allahyarhamha tahun lalu.
Apabila mendapat berita daripada bapanya, beliau segera pulang ke tanah air dengan ditemani, isterinya Hannah Delisha.
"Sangat sedih sebab saya di Malaysia dan semalam baharu (kami) mendapat tahu. Ayah saya telefon dan beritahu bahawa nenek sudah pergi. Ia kehilangan yang besar buat kita semua satu keluarga," ujar Imam Shah.
Selain berbakat dalam bidang nyanyian dan lakonan, Allahyarhamha juga gemar bercucuk tanam.
"Kalau boleh lihat di rumahnya, kebun beliau merupakan kebanggaan serta kegembiraannya. Saya sendiri bertugas dalam industri itu. Saya selalu nampak arwah menjaga kebunnya," kata seorang lagi cucu Allahyarhamha, Encik Khairee Abdul Mutalib.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Lebih 50 ahli keluarga, saudara dan kenalan rapat hadir untuk memberi penghormatan terakhir buat jenazah Allahyarhamha yang dibawa ke Masjid Ba'alwie pada Rabu (31 Jul) untuk disembahyangkan.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Aman sekitar 11.15 pagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.