Jenazah Allahyarham Shahfiq Irman & Mohd Firman Nordin, mangsa nahas di Muar, selamat dikebumikan
Jenazah dua lelaki warga Singapura yang meninggal dunia selepas satu kemalangan di Pagoh, Malaysia selamat dikebumikan di Pusara Aman sekitar 11.00 pagi pada Ahad (24 Mac).

(Gambar: Nurhelmy Hakim)
SINGAPURA: Jenazah dua lelaki warga Singapura yang meninggal dunia selepas satu kemalangan di Pagoh, Malaysia selamat dikebumikan di Pusara Aman sekitar 11.00 pagi pada Ahad (24 Mac).
Allahyarham Muhammad Shahfiq Irman dan Mohd Firman Nordin, meninggal dunia pada pagi Sabtu (23 Mac) selepas dilanggar sebuah lori kontena di tepi jalan Lebih Raya Utara-Selatan.
Sekitar jam 9.30 pagi tadi (24 Mac), kedua-dua jenazah disolatkan di Woodlands Memorial.
Menurut ibu kepada Allahyarham Shahfiq, Cik Norris Sanat, jenazah mereka sudah sampai ke Singapura sejak Sabtu malam (23 Mac).
"Pengurusan jenazah, bapanya dan abang sulungnya yang uruskan. Mereka lakukan 'post-mortem' di sana dan jenazah diambil daripada pengurusan jenazah di Malaysia untuk dimandikan dan dikafankan di tempat lain. Separuh jalan untuk masuk ke Singapura, dipindahkan pula ke van jenazah dari Singapura dan terus dibawa ke Woodlands Memorial. Kita dibenarkan tengok sehingga 1.00 pagi," kata Cik Norris.
Jenazah kedua-dua Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Aman dan dihadiri lebih 400 anggota keluarga dan sahabat handai.
"DIA MASIH BELUM BERBUKA PUASA DENGAN SAYA," KATA IBU ALLAHYARHAM SHAHFIQ
Selepas pengebumiannya, Cik Norris yang kelihatan sedih dan berduka, berkongsi beberapa kenangannya tentang anaknya itu.
Menjawab pertanyaan sama ada pihak keluarga tahu tentang perjalanan Allahyarham Shahfiq ke Johor Bahru, Cik Norris berkata, "Dia minta izin, memang selalu dia ingin keluar Singapura, kalau nak isi minyak pun dia akan minta izin."
Menurut beliau, Allahyarham Shahfiq keluar rumah selepas jam 11.00 malam pada Sabtu (23 Mac).
Cik Norris juga maklum tentang kumpulan konvoi yang ke Johor Bahru itu.
"Dia biasanya selalu keluar dengan rakan-rakan dari sekolah, mereka kawan-kawan dari kecil. Kawan dia begitu sahaja, dia tidak ada ramai kawan sangat," jelas Cik Norris.
Malangnya, pemergian Juara Anugerah 2017 itu meninggalkan kekosongan sangat besar di lubuk hati Cik Norris.
"Dia belum dapat buka dengan saya. Dia selalu bekerja. Sepatutnya dia cuti hari ini, berbuka hari ini dengan keluarga. Dia sudah minta saya masak, dia belum dapat buka dengan saya," kata Cik Norris sambil teresak-esak.
Cik Norris berkata bahawa seorang rakan arwah anaknya datang ke rumahnya pada sekitar 4.00 pagi hari Sabtu (23 Mac) untuk menyampaikan khabar tentang kemalangan yang terjadi itu.
"Anak lelaki sulung saya yang sambut. Dia beritahu bapanya tetapi mereka tidak beritahu saya yang dia sudah tiada. Mereka cuma katakan bahawa dia kemalangan. Saya hanya dapat tahu dia meninggal dunia pada 9.00 pagi," jelas beliau.
Anggota keluarga Allahyarham Firman pula enggan untuk diwawancara semasa ditemui pihak media di Pusara Aman pagi tadi (24 Mac).
"SAYA SEMPAT PEKIK TETAPI MEREKA TIDAK SEMPAT BERTINDAK," KATA MUHD MIRZA, RAKAN ALLAHYARHAM
Salah seorang anggota konvoi ke Johor Bahru bersama kumpulan itu, Muhd Mirza Zuraimi, juga berada di Pusara Aman pagi tadi.
Beliau merupakan kawan sekolah rendah Allahyarham Shahfiq dan mengenali Allahyarham Firman menerusi sebuah kumpulan motosikal.
Semasa ditemui wartawan Nurhelmy Hakim, beliau menceritakan tentang kejadian malam itu.
Mirza berkata, "Semua orang berhimpun di (stesen minyak) SPC Fajar pada sekitar jam 11 malam. Kita mulakan perjalanan dari sana. Rancangan asal adalah untuk bergerak ke Machap, Johor Bahru tetapi kita tukar rancangan untuk ke Pagoh. Kita rasakan bahawa ke Machap jaraknya agak dekat, jadi kita ingin kembara jauh sedikit."
Semasa perjalanan itu, Mirza mengatakan bahawa kumpulan itu menerima mesej bahawa salah satu rakan mereka sudah tertinggal di belakang kerana tayar motosikalnya bocor.
"Salah satu kawan kita kejar kita untuk maklumkan salah seorang kawan saya sudah tertinggal di belakang. Jadi kita pun tunggu dan berbincang di antara kita bertujuh. Tahu-tahu, ada lori besar yang ke arah kita."
Di antara sekumpulan tujuh rakan yang menunggu di tepi jalan itu, Mirza satu-satunya yang tidak mengalami kecederaan teruk.
Beliau sempat berlari ke kawasan rumput bersebelahan sebelum lori tersebut melanggar kawan-kawannya.
"Kalau bagaimana orang tanya saya dapat larikan diri, saya periksa 'blind spot' setiap 10 saat, periksa jalan. Saya nampak semua kejadian yang berlaku. Saya sempat pekik tetapi mereka tidak sempat bertindak," kata Mirza.
Selepas kejadian tersebut, Mirza membuat panggilan kepada bapanya untuk dibawa pulang ke Singapura.
Menurut beliau, kesemua motosikal milik beliau dan rakan-rakannya sudah remuk dan tidak lagi boleh ditunggang.
Menjelaskan tentang perjalanan mereka ke Johor Bahru itu, Mirza menceritakan, "Perjalanan ini sebenarnya 'impromptu' atau tidak dirancang. Secara kebetulan, semua orang ada waktu lapang."
"Boleh dikatakan dua tiga bulan sekali (kita ke Johor) untuk meluangkan masa bersama," tambah Mirza.
Dalam laporan awal, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mengatakan bahawa pemandu lori kontena ditahan reman tiga hari dari Sabtu (23 Mac) bagi membantu siasatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.