Skip to main content

Singapura

Jenayah pancing maklumat peribadi lonjak 30 kali ganda

Jumlah penipuan pancing maklumat yang dilaporkan dalam lima bulan pertama 2020 meningkat kepada 266 kes iaitu hampir 30 kali lebih tinggi berbanding sembilan kes yang dilaporkan pada tempoh yang sama tahun lalu. Demikian menurut polis pada Selasa (9 Jun). 

Anggaran Waktu Membaca:
Jenayah pancing maklumat peribadi lonjak 30 kali ganda

Petikan skrin pesanan SMS phishing yang mengarahkan mangsa ke sebuah laman web palsu yang menyamar sebagai SingPost. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 09 Jun 2020 08:42PM Dikemas Kini : 09 Jun 2020 08:45PM

SINGAPURA: Jumlah penipuan pancing maklumat yang dilaporkan dalam lima bulan pertama 2020 meningkat kepada 266 kes iaitu hampir 30 kali lebih tinggi berbanding sembilan kes yang dilaporkan pada tempoh yang sama tahun lalu. Demikian menurut polis pada Selasa (9 Jun).

Sekurang-kurangnya 221 aduan dilaporkan sejak Januari 2020, dedah Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media.

“Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan seumpama ini akan menerima kiriman emel atau pesanan mesej yang kononnya dihantar oleh sebuah syarikat yang mereka ketahui atau percayai seperti bank, agensi pemerintah, kesatuan sekerja seperti NTUC atau firma-firma seperti SingPost, StarHub, Netflix dan PayPal," terang polis.

Mesej itu biasanya termasuk tawaran atau tuntutan palsu untuk memperdaya penerima supaya mereka menekan sesuatu pautan. Ada di antaranya meminta penerima untuk membuat bayaran bagi penghantaran bungkusan atau mengesahkan akaun mereka bagi mengelakkan gangguan perkhidmatan. Selain itu, penerima juga diminta memberikan butiran mereka untuk mendapatkan bayaran balik atau mengambil kesempatan sesuatu promosi.

Setelah menekan pautan-pautan itu, mangsa akan diarahkan ke laman web palsu di mana mereka dikehendaki membubuhkan maklumat kad kredit atau debit dan kata laluan sekali sahaja (OTP).

Menurut polis, kebanyakan mangsa hanya menyedari mereka ditipu apabila mendapati urus niaga tidak dibenarkan dibuat menggunakan kad kredit atau debit mereka.

Bulan lalu, pihak berkuasa menyaksikan 151 kes penipuan sedemikian dilaporkan dengan syarikat-syarikat diyakini seperti StarHub dan SingPost dalam kalangan firma teratas yang digunakan untuk menyamar diri.

Polis menasihati orang ramai supaya mengikut langkah-langkah pencegahan jenayah berikut ini:

  • Jangan tekan pautan URL yang diberikan dalam emel atau pesanan mesej yang tidak diminta.
  • Sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat dengan laman web atau sumber rasmi.
  • Jangan mendedahkan butiran peribadi atau perbankan Internet serta OTP kepada sesiapa.
  • Laporkan sebarang caj kad kad kredit atau debit palsu yang dilakukan ke atas akaun bank anda dan membatalkannya dengan segera.

Mereka yang ingin memberikan sebarang maklumat berkaitan dengan penipuan yang memancing maklumat peribadi boleh menghubungi polis di talian
1800 255 0000 atau menyerahkan butiran itu secara online di https://www.police.gov.sg/iwitness.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan antipenipuan di 1800 722 6688 atau melayari http://www.scamalert.sg untuk meminta nasihat berhubung penipuan.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita