Skip to main content

Singapura

Jenama tempatan dapat sambutan hangat dalam pasaran Amerika Syarikat

Anggaran Waktu Membaca:
Jenama tempatan dapat sambutan hangat dalam pasaran Amerika Syarikat

(Gambar: Facebook/IRVINS Singapore)

Diterbitkan : 04 Apr 2023 10:11PM
SINGAPURA: Jenama tempatan seperti Killiney Kopitiam dan Irvins Salted Egg mendapat sambutan menggalakkan dalam pasaran makanan dan minuman (F&B) Amerika Syarikat.

Walaupun Irvins baru memasuki pasaran Amerika sekitar dua tahun lalu, penjualannya dijangka naik seganda berbanding di Singapura menjelang 2027.

Bagi kita, Kopi-c dan teh-o merupakan slanga yang biasa digunakan untuk memesan minuman panas di Singapura.

Namun, nampaknya sebilangan kakitangan Amerika di San Francisco juga sudah terbiasa dengan slanga itu.

Menurut Killiney Kopitiam, terdapat permintaan tinggi untuk jenama Singapura.

"Pada awalnya kami tarik minat orang Asia atas dasar percaya. Warga Singapura kenal jenama ini. Sekarang ramai sudah mula kembali ke pejabat dan bersedia mencuba makanan-makanan baru," kata Nora Haron, Pengarah Kulinari Singapore Kopitiam.

"Terutama warga Amerika yang pernah ke Singapura dan kenal tentang makanan Singapura. Jadi kenapa tidak kita tawarkan yang sama? Lebih murah untuk makan di sini daripada terbang ke Singapura," katanya.

Bagaimanapun, Cik Nora berkongsi bahawa bukan mudah untuk membuka sebuah kedai di Amerika Syarikat.

Seluruh proses mengambil masa sekitar dua tahun, iaitu enam kali lebih lama berbanding di Singapura.

"Kita berdepan dengan banyak halangan, pelbagai cabaran dengan pihak majlis bandaran, jabatan kesihatan. Semua pemeriksaan perlu diselesaikan dan ia tidak berlaku sepantas yang kami inginkan," tambak Cik Nora.

Namun demikian, Kiliney bakal membuka satu lagi cawangan di Santa Clara tahun depan.

Jenama Irvins yang terkenal dengan kulit ikan salmon berperisa telur asin melalui pengalaman yang berbeza.

"Masalahnya, kami tidak dapat bekalkan dengan pantas. Permintaan begitu tinggi untuk produk-produk kami, kami sukar penuhi. Matlamat utama kami adalah mahu membuka kilang di AS, jadi produk kulit ikan salmon dibuat di sini dan diedarkan ke pasaran Amerika, Kanada dan Mexico," kata Alex Uoo, Naib Presiden Kanan (AS) Irvins Salted Egg.

Irvins ingin menembusi pula pasaran New York dan Seattle dalam bulan-bulan mendatang.

Syarikat-syarikat F&B Singapura tersebut malah ingin menggalak lebih banyak jenama tempatan supaya bertapak di Amerika Syarikat, dan memanfaatkan budaya makanan Singapura yang memang sudah cukup terkenal.
Sumber : CNA/IQ/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita