Skip to main content

Singapura

Jenama tempatan Aupen, pengasas diberi arahan POFMA atas dakwaan kuasa hak cipta intelek SG

Anggaran Waktu Membaca:
Jenama tempatan Aupen, pengasas diberi arahan POFMA atas dakwaan kuasa hak cipta intelek SG

Aupen dan pengasasnya Nicholas Tan diberikan arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA). (Gambar fail: Aupen, Facebook/Aupen)

Diterbitkan : 22 Sep 2025 03:15PM Dikemas Kini : 22 Sep 2025 03:16PM
SINGAPURA: Jenama beg tangan Singapura Aupen dan pengasasnya Nicholas Tan diberikan arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) atas dakwaan yang dibuat mengenai kuasa hak cipta intelek Singapura.

Encik Tan membuat pelbagai dakwaan mengenai Pejabat Hak Cipta Intelek Singapura (IPOS) di akaun Instagramnya pada 9 September, 15 September dan 16 September.

Catatan pada 15 September juga diterbitkan di halaman Instagram Aupen.

Catatan di Instagram serta Instastory tersebut mengandungi "kenyataan palsu" mengenai interaksi IPOS dengan pihak Aupen, pendirian IPOS terhadap perniagaan tempatan, dan reka bentuk undang-undang tanda dagangan Singapura, menurut Kementerian Undang-Undang pada Isnin (22 Sep).

Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Edwin Tong mengarahkan Pejabat POFMA untuk mengeluarkan arahan pembetulan kepada Encik Tan dan Aupen.

IPOS adalah badan berkanun di bawah Kementerian Undang-Undang.

"Catatan Encik Tan bukan sahaja mempunyai kesan yang menarik publisiti kepada dirinya dan Aupen, tetapi juga mencemarkan kesaksamaan dan kedudukan neutral IPOS, serta integriti IPOS dan pegawai-pegawainya," menurut rencana di laman semakan fakta pemerintah Factually.

"Jika tidak diperbetulkan, kepalsuan ini akan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap IPOS, undang-undang hak cipta intelek kita dan institusi awam kita secara umum."

Artikel itu menyatakan bahawa catatan yang dimaksudkan sudah diturunkan.

Arahan pembetulan memerlukan Encik Tan dan Aupen untuk mengeluarkan catatan baharu dengan pautan ke penjelasan pemerintah.

Namun, catatan tersebut masih belum dikeluarkan setakat tengah hari Isnin.

KEPALSUAN

Aupen ditubuhkan pada 2022. Jenama fesyen tersebut terkenal dengan beg tangan kulitnya, yang dibawa oleh beberapa selebriti, termasuk Taylor Swift, Beyonce dan Kylie Jenner.

Menurut artikel Factually, Aupen kemungkinan berdepan cabaran oleh peruncit Amerika Syarikat Target, terhadap permohonan tanda dagangan di Amerika oleh Aupen.

Catatan oleh Encik Tan dan Aupen menyampaikan kepalsuan berikut: IPOS memberitahu Encik Tan untuk tidak meneruskan pertikaian tanda dagangan dengan Target di Singapura, kerana terdapat kemungkinan besar untuk kalah dan undang-undang tanda dagangan Singapura direka untuk melindungi perniagaan asing dan bukan perniagaan tempatan.

Catatan tersebut juga mendakwa secara palsu bahawa IPOS memberitahu Encik Tan bahawa pembaharuan undang-undang untuk tidak membenarkan pendaftaran tanda dagangan berniat jahat di Singapura tidak boleh dilakukan; bahawa IPOS memberikan sokongan kepada syarikat asing, dan bukan syarikat tempatan, dalam pertikaian tanda dagangannya; dan dalam kenyataan media IPOS bertarikh 11 September, IPOS berubah pendirian mengenai nasihatnya kepada Encik Tan.

"Kepalsuan dalam penerbitan tersebut berisiko menghakis keyakinan awam terhadap kekuatan rejim cap dagang Singapura dan ketidakberpihakan IPOS sebagai pentadbir rejim tersebut dan Pejabat Pendaftar Tanda Dagangan, " menurut artikel Factually tersebut.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita