Jenama & produk Hari Raya SG kian dapat perhatian di Malaysia
Pada usia 30 tahun sahaja, Cik Miza Nazili Ghazali sudahpun mempunyai lima syarikat di bawah namanya.
SINGAPURA: Pada usia 30 tahun sahaja, Cik Miza Nazili Ghazali sudahpun mempunyai lima syarikat di bawah namanya.
Antara syarikat terbaharunya ialah Naezily iaitu sebuah jenama fesyen wanita.
Walaupun baru dimulakan sejak dua tahun lalu, jenamanya kian mendapat sambutan di dalam dan luar negara atas keunikan yang ditawarkan.
Bagi meluaskan lagi demografi pelanggannya, Naezily melancarkan sebuah koleksi pakaian Hari Raya untuk kaum Adam buat pertama kalinya.
Lebih istimewa lagi, Cik Miza berkolaborasi dengan idolanya sejak 20 tahun lalu iaitu Taufik Batisah.
"Sudah 20 tahun saya jadi peminat dia. 20 tahun itu dan akhirnya jadi kawan. Pada masa saya itu saya kenal dia saya tidak ada perniagaan lagi, saya kecil lagi masa itu dan kemudian bila saya mulakan perniagaan saya lima tahun lalu, pasal masa itu pun Taufik sudah buat perniagaan dia sendiri 'Chix Hot Chicken' dan kemudian kita menyokong satu sama lain.
"Hanya pada tahun lepas, kita terserempak di Singapore EXPO. Dia tahu yang perniagaan saya sangat berjaya jadi dia mahu menghasilkan koleksi pakaiannya sendiri dan itulah di mana kita mengambil keputusan untuk berkolaborasi untuk 'Naezily x Taufik Batisah'," ujar Cik Miza.
Menampilkan lima jenis rekaan, koleksi itu juga sinonim dengan citarasa dan gaya juara pertama 'Singapore Idol' itu sendiri.
"Koleksi Taufik adalah koleksi yang dia sendiri pakai, koleksi yang nampakkan 'Taufik Batisah'. Jadi setiap koleksi yang kita reka adalah keunikan Taufik sendiri seperti macam satu baju kita ada cekak musang ada 'pocket square' dekat baju itu yang sangat mencerminkan Taufik Batisah sebab dia sendiri setiap kali dia membuat persembahan, dia akan pakai jaket dengan 'pocket square'. Jadi kita terapkan itu dalam baju raya. Jadi nampak macam bila orang tahu orang tengok baju itu orang tahu ini baju Taufik Batisah," jelas Cik Miza.
Sebagai rakan kongsi perniagaan untuk koleksi 'Naezily x Taufik Batisah' itu, Cik Miza berkata penyanyi itu juga turut terlibat dalam proses rekaan.
Beliau menambah: "Kita banyak bekerjasama. Saya dan pasukan saya akan reka dan kemudian akan cadangkan pada dia, dan dia akan tengok sekiranya rekaan itu sesuai baginya atau tidak. Tapi dia pun akan ada berikan saranan sedikit apa-apa rekaan yang harus ditukar. Kita juga letak logo 'TB' yang kita keluarkan logo khas untuk koleksi ini dan dia pun akan juga pilih kain untuk setiap rekaan jadi kita akan cadangkan dan dia akan pilih juga. Sama juga dengan warna kami dua akan duduk bersama dan pilih juga warna-warna tersebut."
GUNA PENGARUH SELEBRITI UNTUK TEMBUSI PASARAN LUAR
Menggunakan tarikan Taufik Batisah yang dikenali di seberang tambak merupakan antara strategi yang digunakan Cik Miza untuk tembusi pasaran di Malaysia dan serantau.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Usahanya ternyata berhasil kerana hasil penjualannya secara keseluruhan untuk lebaran tahun ini naik 40 peratus berbanding tahun lalu.
Sekitar 30 peratus pelanggannya adalah dari Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Bagi Cik Miza, beliau terdorong untuk membawa jenamanya ke seberang disebabkan potensi yang lebih besar di sana.
"Bila saya mulakan Naezily, benda yang pertama saya dah beritahu pada diri saya sendiri, saya memang nak masuk pasaran Malaysia. Sebabnya selalunya bila produk-produk Singapura bila dimasukkan dalam pasaran Malaysia, sambutan akan jadi lebih bagus kerana selalunya rakyat Singapura mengagumi produk-produk Malaysia. Mereka mengagumi jenama-jenama Malaysia juga. Sebenarnya sampai sekarang orang ingatkan jenama Naezily ini jenama Malaysia," kata Cik Miza.
Cik Miza juga berkongsi beberapa penyesuaian perlu dibuat untuk memikat pelanggan seberang.
"Kita kena ikut cara bahasa Melayu di Malaysia sebab cara bahasa Melayu Singapura dan Malaysia sangat berbeza. Juga kalau model-model yang kita pakai di Singapura, kita nak kena tukar untuk model-model di Malaysia. Kerana kadang-kadang orang tahu ini sebenarnya jenama Singapura. Jadi kita nak kena tukarlah juga kita kena lakukan penggambaran dengan model-model Malaysia.
"Citarasa di Singapura dan di Malaysia pun berbeza sedikit. Jadi ada yang koleksi yang kita peragakan untuk orang-orang di Malaysia dan ada yang kita reka untuk orang-orang di Singapura," katanya.
Sebagai pendatang baharu lebih-lebih lagi beliau tidak begitu fasih dengan undang-undang operasi perniagaan di Malaysia, Cik Miza akur terdapat banyak perkara yang perlu dipelajarinya sendiri.
"Tiada siapa sangat yang membimbing saya. Jadi saya mulakan semuanya dari bawah. Saya belajar sendiri, macam mana nak buat pemasaran di Malaysia. Bukan senang nak masuk pasaran Malaysia, tapi saya rasa saya belajar langkah-demi-langkah.
"Macam mana hendak buat pemasaran di TikTok dan di Instagram. Kita pun nak kena banyak belajar daripada jenama-jenama di Malaysia, Macam mana mereka boleh naikkan nama jenama-jenama mereka di Malaysia sepertinya mereka banyak menggunakan kolaborasi bersama selebriti," kongsi Cik Miza.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Selain itu, beliau juga menyertai pelbagai acara-acara bazar untuk mempromosikan produknya.
Buat masa ini, beliau mempunyai sebuah kilang penghasilan di Malaysia sementara pejabat di Singapura digunakan untuk mengendalikan kerja-kerja pemasaran.
"Di Malaysia, kami ada pasukan penghasilan. Kami juga ada pasukan rekaan di sana. Jadi di Malaysia lebih kepada teknikal walhal di Singapura, kami lebih kepada pemasaran dan bagaimana untuk memperbaiki pemasaran kami," jelasnya.
LEBIH 200,000 PENGIKUT, GLAZED LUASKAN PERNIAGAAN KE MALAYSIA
Satu lagi jenama yang juga mencuba kembangkan perniagaan di luar negara ialah Glazed.
Ia ditubuhkan seorang suri rumah, Cik Munira Bamadhaj, 44 tahun, yang mahir membuat kek.
Sejak mendaftarkan syarikatnya pada 2022, beliau mula menghasilkan lebih 10 jenis produk membuat kek dan juga biskut untuk Hari Raya.
"Media sosial banyak memainkan peranan dalam perkembangan Glazed. Sewaktu kita mula, ia hanya untuk berkongsi resipi dan tips macam mana nak buat kek. Daripada situ, saya perasan ramai orang lebih minat untuk menimba ilmu khususnya kalau ia percuma. Saya pun tak ada terfikir untuk membuat benda ini sebagai perniagaan. Ia lebih kepada perkongsian kepada para penonton pada masa itu dan dari situ mereka minta saya buat kelas," kata Cik Munira.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Hasil perkongsiannya, Cik Munira berjaya menarik lebih 200,000 pengikut di media sosial.
Bahkan, beliau juga pernah membuat kek untuk acara-acara kenamaan dihadiri oleh mantan Presiden Halimah Yacob, para menteri dan juga keluarga diraja Malaysia.
Atas dorongan pengikutnya dan keluarga, ibu tiga anak itu mengambil keputusan meluaskan operasinya ke Malaysia, tahun lalu.
"Malaysia mempunyai potensi yang luas. Di sana saya perasan memang banyak berkaitan dengan personaliti yang mempamerkan produk-produk. Kalau orang tidak mengenali anda, orang tidak akan percaya produk anda. Jadi saya ambil keputusan kita boleh buat benda ini tapi ia perlu memerlukan lebih banyak kerja. Jadi saya kena mula baliklah, jadi berkongsi resipi-resipi semula," jelasnya.
Di Malaysia, Cik Munira menubuhkan sebuah gudang untuk melancarkan operasi penghantaran barang-barang yang dipesan orang pelanggan di Malaysia.
Ini sangat membantu mengurangkan masa menunggu untuk para pelanggannya.
"Di Singapura, sebilangan peratusan pengikut kita adalah pengikut Malaysia. Di situ tiap kali mereka membuat pesanan di Singapura, mereka kena tunggu satu hingga dua minggu untuk dapatkan produk. Jadi saya fikir untuk memberikan lebih kemudahan di sana, kita bawa produk-produk kita, adakan stok di sana. Tiap kali mereka inginkan sesuatu, dalam dua, tiga hari mereka sudah dapat," tambahnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Dedikasi serta kerja keras beliau selama ini terbukti berhasil.
Bagi musim perayaan ini sahaja, kuih-kuih rayanya laris dan habis terjual dalam 24 jam!
Di tengah-tengah kesibukan mengemudi syarikatnya, Cik Munira berharap dapat terus berkongsi ilmu untuk mendorong para pengikutnya belajar buat kek dan yang lain, khususnya golongan suri rumah.
"Saya nak membantu pembuat kek di rumah, saya nak membantu suri rumah menjana pendapatan sampingan dan membantu mereka menaikkan taraf kebolehan mereka di dapur. Daripada tidak pandai masak, pandai masak. Daripada tidak pandai membuat kek, pandai membuat kek. Walaupun masak dan buat untuk keluarga atau pun buat untuk perniagaan sendiri. Itu saya punya objektif dari dulu," ujar Cik Munira.
Sejak mula dihasilkan pada 2022, permintaan bagi produk-produk Glazed juga sudah dipesan sejauh Jerman dan Amerika Syarikat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.