Jenama Mashizan banggakan S'pura; ukir nama di bandar-bandar utama Paris, London dan New York
Dalam masa enam tahun sahaja sejak ia dilancarkan, jenama kasut dan beg mewah tempatan Mashizan sudahpun melebarkan sayap ke Paris, London, New York dan Hong Kong.
SINGAPURA: Dalam masa enam tahun sahaja sejak ia dilancarkan, jenama kasut dan beg mewah tempatan Mashizan sudahpun menebarkan sayap ke Paris, London, New York dan Hong Kong.
Lebih mengagumkan, kasut jenama Mashizan juga pernah dipakai para pelakon Hollywood seperti Taryn Manning dari siri televisyen 'Orange Is The New Black', Katheryn Winnick dari siri televisyen 'Vikings' dan pelakon Vivica A. Fox dari filem 'Kill Bill: Volume 1' dan 'Kill Bill: Volume 2'.
Penyanyi La Toya Jackson. (Gambar: Mashizan Official/Instagram)
Para personaliti lain juga termasuk para penyanyi Sara Bareilles, La Toya Jackson dan Solange Knowles (adik Beyonce) serta penyampai televisyen Jeannie Mai.
Malah mulai bulan ini, jenama Mashizan akan cuba menembusi pasaran di Shanghai pula.
Pengasas jenama tersebut, Mashizan Masjum, berkongsi bahawa beliau yakin terhadap bakat yang ada di Singapura.
(Gambar: Mashizan Official/Instagram)
"Saya berharap masyarakat global terus menyedari bakat yang ada dari Singapura. Kami mempunyai banyak bakat tetapi untuk sampai ke peringkat global, kami memerlukan sokongan dan dorongan daripada orang tempatan terlebih dahulu."
Mashizan adalah jenama Singapura pertama yang dipaparkan BERITAmediacorp dalam siri khas jenama-jenama Singapura berjudul 'Buatan Singapura', yang sudahpun mencapai pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa.
Siri khas tersebut diterbitkan sempena Hari Kebangsaan yang bakal tiba tidak lama lagi.
ANTARA S$540 HINGGA S$620
Bergantung kepada jenis kasut 'flats', 'sneakers' atau kasut tumit tinggi, kasut-kasut Mashizan berharga antara S$540 hingga S$620.
Setiap pasang kasut juga adalah buatan tangan yang dilakukan dengan teliti oleh tukang kasut yang berpengalaman, berbanding trend 'fast fashion'.
(Gambar: Mashizan Official/Instagram)
Kumpulan pelanggannya pula adalah para karyawan wanita berusia 30-an hingga 50-an tahun, yang mahukan "keselesaan dan gaya yang cukup anggun", jelas Mashizan.
Barangan jenama Mashizan juga dijual secara langsung kepada pelanggan menerusi acara tertutup yang diadakan untuk memperagakan koleksi produk atau 'Trunk Show' serta sesi persalinan bersama klien dan media sosial.
(Gambar: Mashizan Official/Instagram)
Namun disebabkan pandemik COVID-19 tahun lalu, 'Trunk Show' jenamanya hanya dapat dijalankan di Singapura dan Paris sahaja.
"SANGAT ISTIMEWA" SETIAP KALI PULANG KE S'PURA
Namun setiap kali Mashizan, yang kini menetap di Paris, kembali ke Singapura untuk melakukan 'Trunk Show', ia suatu yang "sangat istimewa" buat dirinya kerana di sinilah tanah lahir beliau.
"Saya harap saya dapat terus membuat Singapura bangga dengan jenama kami yang berada di tahap antarabangsa. Tentu saja, kami berdiri “next to giants” (jenama-jenama besar) tetapi saya harap lebih ramai akan mengenali jenama-jenama Singapura yang cuba meneroka pasaran antarabangsa.
(Gambar: Mashizan Official/Instagram)
"Tetapi yang paling penting, saya harap saya dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak orang Singapura, dan khususnya, orang Melayu Singapura untuk menyedari bahawa mereka dapat mencapai prestasi hebat di pentas antarabangsa," kongsi beliau, yang kini mengikuti pengajian Sarjana Eksekutif di sebuah sekolah fesyen ternama di Paris, Institut Français de la Mode.
Bahkan pada bulan Oktober nanti, Mashizan juga akan membantu memperluaskan jenama-jenama tempatan.
(Gambar: Mashizan Official/Instagram)
Beliau akan membuat persembahan 'pop-up' di Paris bagi sebilangan pereka fesyen dan jenama Singapura, dengan harapan ia dapat menampilkan lebih banyak jenama Singapura di persada antarabangsa.
"Dalam bidang apa sahaja, sama ada dalam fesyen, media atau sains dan teknologi, jangan takut untuk menakluki dunia dan sentiasa percaya pada diri sendiri," ujar Mashizan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.