Skip to main content

Singapura

Jenama 'Made For Families' dilancar bagi sokong keluarga semasa COVID-19

Syarikat-syarikat perusahaan, pertubuhan dan kumpulan masyarakat kini boleh menggunakan tanda jenama "Made For Families" untuk memupuk nilai kekeluargaan di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Jenama 'Made For Families' dilancar bagi sokong keluarga semasa COVID-19

(Gambar: Heybaby SG/Facebook)

Diterbitkan : 22 Jun 2020 09:33AM Dikemas Kini : 22 Jun 2020 09:36AM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat perusahaan, pertubuhan dan kumpulan masyarakat kini boleh menggunakan tanda jenama "Made For Families" untuk memupuk nilai kekeluargaan di Singapura.

Inisiatif oleh Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) dalam Kumpulan Strategi Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu dilancarkan pada Sabtu (20 Jun) dan akan dilaksanakan secara bertahap-tahap di merata negara.

Matlamat Made For Families adalah untuk memberi jaminan kepada keluarga-keluarga di sini mengenai sokongan yang disediakan Pemerintah dan masyarakat sedang negara ini bangkit semula daripada krisis COVID-19, menurut NPTD.

"Program-program Pemerintah yang membantu pasangan mendirikan rumah tangga juga akan dikenal pasti sebagai sebab-sebab mengapa Singapura sesuai buat keluarga,” menurutnya lagi.

Syarikat-syarikat perusahaan, pertubuhan dan kumpulan masyarakat juga boleh mengambil bahagian dalam cabaran #WeAreMadeForFamilies bagi menunjukkan usaha mereka menyokong ibu bapa dan keluarga.

NPTD menyatakan bahawa entiti-entiti boleh menunjukkan bagaimana mereka menerapkan nilai-nilai kekelurgaan menerusi saluran media sosial masing-masing dengan mengetengahkan program, dasar, produk dan khidmat yang mesra keluarga.

Pertubuhan-pertubuhan juga digalak menunjukkan sokongan mereka dengan mengamalkan serta memaparkan tanda jenama Made For Families di laman, barangan dan inisiatif mesra keluarga masing-masing.

NPTD juga akan bekerjasama dengan Majlis Keluarga untuk Seumur Hidup (FFL) bagi mendampingi lebih banyak pertubuhan supaya menyokong jenama Made For Families. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita