Skip to main content

Singapura

Jenama CNA akan diperkenalkan di Amerika, UK dan Kanada untuk penonton yang berminat dengan kandungan tentang Asia

Anggaran Waktu Membaca:
Jenama CNA akan diperkenalkan di Amerika, UK dan Kanada untuk penonton yang berminat dengan kandungan tentang Asia

Gambar: Jeremy Long/CNA

Diterbitkan : 19 Mar 2024 08:53PM Dikemas Kini : 19 Mar 2024 08:54PM
SINGAPURA: Jenama saluran berita dan ehwal semasa Mediacorp, CNA akan diperkenalkan tidak lama lagi di Amerika Utara, Kanada dan United Kingdom.

Ini akan dilakukan merentasi gabungan platform seperti perkhidmatan penstriman televisyen, YouTube dan edisi yang tersusun di laman web CNA. Pelancarannya akan dilakukan secara berperingkat sepanjang tahun ini.

Langkah itu akan memenuhi keperluan penduduk di rantau ini yang mencari berita terkini dan dokumentari bernas tentang Asia, khususnya China, Jepun dan Korea, umum pengerusi Mediacorp Niam Chiang Meng di sambutan ulang tahun ke-25 CNA di Capella Singapura pada Selasa (19 Mac).

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong, yang menghadiri majlis itu sebagai tetamu terhormat, berkata perjalanan yang mencabar menanti CNA ketika ia membina asasnya.

Encik Wong berkata: “Dalam landskap media yang sangat kompetitif dan berpecah-belah ini, akan ada tekanan untuk mengambil jalan mudah, mencipta kandungan untuk umpan netizen, kandungan sensasi hanya untuk menarik perhatian. Anda perlu menahan diri daripada godaan itu dan terus mengekalkan standard tinggi anda.

“Dan terutamanya ketika masa apabila penduduk di merata dunia semakin mengenali diri mereka dalam istilah etnik dan agama yang sempit, tinggal di ruang sedemikian dan membentuk 'suku kaum' mereka sendiri, adalah lebih penting bagi CNA untuk menceritakan kisah-kisah yang merapatkan jurang, yang mendidik kita tentang perspektif yang berbeza, dan akhirnya memastikan masyarakat kita kukuh.”

Dalam ucapan tahniah kepada CNA kerana mencapai mercu tanda ulang tahun ke-25, Encik Wong menyifatkan kerja yang dijalankan CNA sebagai "sukar" tetapi "juga amat memuaskan".

Kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan: "Kerja yang anda lakukan adalah penting kepada masyarakat kita. Untuk memenuhi misi anda, anda perlu terus berkembang, membangunkan keupayaan baharu dan melabur dalam kakitangan anda.

"Pemerintah akan terus menyokong anda, sedang anda mempelopori transformasi dalam industri ini, dan menyampaikan program jenama anda tersendiri yang unik, dipercayai, menarik dan relevan."

BULETIN BAHARU, LAMAN WEB BAHASA INDONESIA

Pengerusi Mediacorp Encik Niam turut mengumumkan buletin satu jam baharu, East Asia Tonight, yang akan disiarkan di CNA setiap hari kerja pada pukul 6.00 petang bermula April.

Sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan saluran itu dan untuk memperdalam pemahaman dan liputan berita berkaitan China di lapangan, CNA juga merancang untuk membuka biro baharu di Shenzhen, dan mungkin juga menempatkan lebih ramai korespondan di bironya di Beijing dan Shanghai.

Selain itu, untuk memanfaatkan profil penonton lebih dekat dengan Singapura, CNA melancarkan cna.id, sebuah laman web dalam Bahasa Indonesia. Ia menandatangani perjanjian kerjasama penyelidikan dengan Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR) untuk membangunkan alat terjemahan AI Bahasa Inggeris ke Bahasa Indonesia, kata Mediacorp dalam siaran medianya, sambil menambah bahawa sepasukan editor Bahasa Indonesia menyemak terjemahan serta laporan dan ciri berita asal sebelum menerbitkannya.

Untuk terus memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), CNA juga telah memperkenalkan ringkasan yang dijana AI - dikenali sebagai FAST - untuk artikel pada aplikasinya.

Encik Niam berkata: “Kami mahu hadir pada setiap detik kehidupan seseorang, melibatkan mereka melalui gabungan platform kami sendiri serta platform pihak ketiga.

"Dan pendekatan berbilang platform ini berpaksikan pada pemahaman tentang cara penduduk hari ini mendapatkan kandungan berita, yakni merentas platform, merentas peranti, merentas bahasa, merentas genre."
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita