Skip to main content

Singapura

Jemaah umrah SG batalkan perjalanan ke Baitulmakdis, agensi pelancongan sediakan destinasi alternatif

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para jemaah umrah yang terjejas perjalanan mereka ke Baitulmakdis ekoran pergolakan Israel-Hamas sedih dan kesal tidak dapat melawat masjid ketiga paling suci selepas melaksanakan ibadah umrah mereka.

Namun mereka akur dan faham dengan keputusan syarikat pelancongan untuk melencongkan perjalanan mereka selepas Makkah dan Madinah.

Seramai 29 jemaah TravelConnect.sg yang kini berada di Madinah sepatutnya berangkat ke Baitulmakdis pada Khamis (12 Okt).

Gambar: TravelConnect.sg

Mereka dijadualkan berada di sana selama lima hari selepas 10 hari di Makkah dan Madinah.

Melihat pergolakan Israel-Hamas yang semakin meruncing, syarikat TravelConnect.sg mengambil keputusan hari ini (10 Okt) untuk menukar destinasi bagi para jemaah terjejas.

Selepas perbincangan yang dilakukan, syarikat itu memutuskan untuk menyediakan alternatif iaitu lawatan ke Turki di Istanbul dan Bursa, menurut Pengarahnya, Ustaz Nafis Rahman.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Pada permulaannya pihak pengurusan TravelConnect usahakan untuk pulang ke Singapura daripada melanjutkan perjalanan ke Baitulmakdis. Akan tetapi apabila kita memberitahu kepada pihak penerbangan dan membuat permintaan untuk tempat duduk dan sebagainya, mereka memberitahu kepada kami bahawa sepanjang lima hari ini, penerbangan penuh," kongsi Ustaz Nafis.

"Jadi dengan ini, kita tidak dapat melakukan rancangan yang pertama kami, iaitu membawa jemaah terus pulang daripada kota Madinah daripada ke Baitulmakdis. Sebab itulah, kita mengadakan jadual perjalanan ataupun destinasi yang baru, iaitu ke Turki, Istanbul dan Bursa," tambahnya.

TRAVELCONNECT.SG PENTINGKAN KESELAMATAN PARA JEMAAH

Gambar: TravelConnect.sg

Menurut Ustaz Nafis, beberapa faktor dipertimbangkan dalam membuat keputusan untuk mengatur semula jadual para jemaah di sana.

Antara lain ialah keselamatan para jemaah yang diutamakan.

"Ada beberapa faktor yang harus kita mempertimbangkan lagi-lagi mengenai keselamatan para jemaah kami kerana sebagai agensi pelancongan, kita lebih mementingkan keselamatan walaupun kita harus bergembira berwisata, kita tidak mahu para jemaah kita apabila berada di sana dalam keadaan yang tertekan dan sebagainya walaupun memang sudah pasti para jemaah kita mengharapkan untuk pergi ke Baitulmakdis," ujar Ustaz Nafis.

Malah, meskipun pada mulanya pengendali mereka di sana berkongsi bahawa destinasi mereka itu "aman", agensi pelancongan itu tetap membuat keputusan untuk mengubah destinasi tujuan mereka secara mendadak iaitu dua hari sebelum bertolak.

"Dengan pergolakan yang berlaku, kita tidak tahu pada masa depan apa yang akan terjadi. Maka kita lebih (selesa) untuk membawa jemaah ke tempat lain seperti Turki," menurut Ustaz Nafis.

"Kita lihat juga dengan berita-berita yang terbaru ada beberapa negara sudah mula merancang untuk membawa rakyat mereka untuk pulang daripada Tel Aviv. Ia termasuk negara Thailand yang mana mereka mula operasi mereka untuk membawa pulang rakyat mereka yang berada di Tel Aviv untuk pulang ke Thailand ataupun ke negara-negara jiran untuk menyelamatkan rakyat mereka," tambahnya.

SEDIH DAN KESAL TAPI JEMAAH FAHAM DENGAN KEPUTUSAN ITU

Gambar: TravelConnect.sg
Bagi para jemaah yang kini berada di Madinah, mereka rata-rata memahami keputusan membatalkan lawatan ke Baitulmakdis, meskipun berasa "sedih dan kesal".

"Jemaah di Madinah apabila diberitahu mereka tidak dapat ke Baitulmakdis, maka perasaan sedih itu ada, perasaan kesal itu pun ada juga, mengapa tidak boleh pergi dan sebagainya tetapi Alhamdulillah, pegawai kami di sana dapat menerangkan kepada mereka secara bersemuka supaya jemaah itu lebih memahami keadaannya," dedah Ustaz Nafis.

Antara jemaah yang terjejas ialah Cik Samina Adam, 72 tahun.

"Apa yang terjadi sekarang ini, saya rasa keluarga di Singapura tentunya rasa risau tetapi kami di sini tetap risau tetapi Alhamdulillah, TravelConnect.sg telah mengambil keputusan yang baik untuk menukarkan haluan kita tadi," menurut Cik Samina.

"Saya rasa itu adalah yang tepat untuk kami teruskan perjalanan kami walaupun tidak ke Baitulmakdis tetapi saya percaya yang apa yang dibuat oleh TravelConnect.sg ialah yang terbaik untuk kami semua," tambahnya.

Bagi Encik Abdul Rahman, 57 tahun pula, beliau akur dengan keputusan itu dan merasakan ia pilihan terbaik buat masa ini.

"Alhamdulillah, (pakej) Umrah kita sebenarnya ada lawatan ke Baitulmakdis, dan TravelConnect.sg membuat alternatif perjalanan kita ke Istanbul dan Bursa jadi semua jemaah kita setuju untuk ke sana dan Alhamdulillah ini terbaik daripada TravelConnect.sg," ujar Encik Abdul Rahman.

AGENSI-AGENSI PELANCONGAN ISLAM PANTAU KEADAAN BERHUBUNG PAKEJ-PAKEJ PADA MUSIM CUTI SEKOLAH INI

TravelConnect.sg dan agensi-agensi pelancongan Islam lain yang dihubungi Mediacorp sedang memantau keadaan berhubung pakej-pakej umrah dan lawatan yang disediakan menjelang November dan Disember ini.

"Untuk November dan Disember, kita melihat dan memantau keadaan di sana. Andai kata kalau memang tidak masih selamat lagi, kita tidak akan bawa mereka ke sana, kita akan tukar ke negara lain. Ataupun kalau waktu itu sudah reda, mungkin kita akan teruskan perjalanan jikalau tidak ada apa-apa halangan dan tidak ada apa-apa masalah apabila kita berada di sana dan apabila aman, insya-Allah," kongsi Ustaz Nafis.

Dalam pada itu, Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura menyatakan pada Selasa (10 Okt), bahawa rakyat Singapura harus mengelakkan perjalanan tidak penting ke Israel akibat konflik.

Mereka yang berada di Israel dan Palestin pula digesa untuk meninggalkan kawasan itu secepat mungkin.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita