Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jemaah umrah dinasihati ambil dos penggalak, tingkatkan langkah kebersihan di tengah gelombang jangkitan COVID-19

Lebih 50 peratus tuntutan insurans yang dibuat jemaah umrah Singapura berkaitan dengan jangkitan radang paru-paru atau pneumonia dan jangkitan saluran pernafasan atas.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lebih 50 peratus tuntutan insurans yang dibuat jemaah umrah Singapura berkaitan dengan jangkitan radang paru-paru atau pneumonia dan jangkitan saluran pernafasan atas.

Menurut Pengarah ST&T International, Dr Ammar Ayoob Angullia, perangkaan ini dijangka meningkat dengan keadaan jangkitan COVID-19 yang kembali memuncak.

"Kita juga ada tuntutan dari jemaah yang jatuh dan ada patah tulang. Kita juga bekerjasama dengan hospital swasta untuk memastikan bahawa hospital yang kita bekerjasama memberi rawatan dan juga dalam sebilang kes menjalani pembedahan semasa berada di sana dan mereka dapat keluar dengan baik dan dapat pulang ke Singapura dengan selamat," kata Dr Ammar.

Dengan kes-kes COVID-19 yang sudah melonjak lebih 56,000 di negara ini, beliau menasihatkan agar jemaah, khususnya yang berusia 65 tahun ke atas agar mengambil langkah-langkah perlindungan sejak melakukan keberangkatan lagi.
Menurut portal imigresen Arab Saudi, cuaca baik semasa bulan Disember dan Januari menjadikannya tempoh yang paling popular untuk jutaan jemaah dari seluruh dunia mengerjakan umrah.

"Sekarang ini adalah kirakan tempoh kemuncak untuk para jemaah menunaikan umrah mereka di Arab Saudi. Lebih-lebih lagi di era pasca COVID-19, ramai jemaah ingin dan rindu menunaikan ibadah umrah," jelas Dr Ammar.

Dengan sekatan COVID-19 sudah dilonggarkan di Arab Saudi, keadaan sesak juga memudahkan penularan kembali virus tersebut.

Beliau menambah, "Ramai orang berkumpul dan agak sesak sedikit dan dari segi perubatan juga, kita pun ada sedikit risau juga. Kalau keadaan yang sesak itu, kita dapati banyak kes-kes rawatan dari segi isu pernafasan. Keadaan sesak itu juga menjadi satu faktor ataupun risiko untuk wabak atau virus termasuk COVID-19 dapat merebak dengan lebih mudah."

PERSIAPAN BAGI MEREKA YANG BAKAL MENUNAIKAN UMRAH

Kebelakangan ini juga, antara isu kesihatan yang kerap dihadapi para jemaah ialah masalah pernafasan.

Sebilangannya pula merupakan COVID-19 yang menjejas jemaah yang berusia 70 tahun ke atas.

"Kita juga dapati ada satu, dua atau tiga kes yang perlu rawatan di hospital kerana mereka perlukan oksigen, mereka perlu bimbingan, perlu dipantau. Sekiranya gejala itu lebih teruk, jemaah perlu dimasukkan di hospital untuk beberapa hari untuk pastikan jemaah itu dalam keadaan stabil sebelum mereka dapat keluar dari hospital," kata Dr Ammar.

Oleh demikian, beliau menasihati agar para jemaah sentiasa mengambil langkah-langkah berwaspada ketika berada di tanah suci.

Beliau menasihatkan, "Apabila menunaikan ibadah umrah, pastikan membuat cara-cara untuk mengurangkan risiko daripada mendapat wabak virus ini. Ini termasuk menjaga kebersihan anda"

Bagi jemaah yang bakal menunaikan umrah, Dr Ammar juga menggalak untuk mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19 yang terkini, selain mendapatkan insurans perjalanan yang merangkumi perlindungan bagi COVID-19.

"Kami menggalakkan agar dapat dos penggalak tersebut dan juga mendapat vaksin-vaksin yang lain iaitu termasuk vaksin influenza, ini sangat digalakkan untuk jemaah-jemaah yang akan berangkat. Sesiapa yang berumur lebih 65 tahun untuk mendapatkan vaksin Pneumokokal juga," katanya.

GSA PERLU PRIHATIN DENGAN KEADAAN KESIHATAN JEMAAH

Lantaran itu, pihak GSA juga kata Dr Ammar perlu memainkan peranan untuk mengenal pasti jemaah yang lebih berisiko atau yang mempunyai masalah kesihatan sebelum keberangkatan.

Ini selain membuat aturan jalanan yang mengambil kira kadar kesesakan satu-satu tempat tarikan di sana.


Bagi syarikat Hamidah Travel and Tours, pihaknya memastikan keselamatan para jemaah sentiasa diutamakan.

Ini lebih-lebih lagi di tengah-tengah gelombang jangkitan COVID-19.

Sejauh ini, pihak Hamidah Travel belum melaporkan kes COVID-19 dalam kalangan jemaahnya.

"Alhamdulillah sejauh ini tidak adalah. Kalau mereka sakit, mereka berehat makan ubat satu hari dua hari, Alhamdulillah mereka sihat, mereka sertai kembali lawatan ataupun aktiviti-aktiviti yang kami lakukan di sana," kata Pengarah, Hamidah Travel & Tours, Encik Badruzzaman Abdul Majid.

Encik Badruzzaman, para jemaahnya sentiasa diingatkan untuk mengamalkan langkah-langkah kebersihan semasa di Singapura dan juga di tanah suci.

"Kami memberitahu mereka supaya jauhilah tempat-tempat yang ada ramai orang, sesak. Kami juga sudah pesan pada mereka, cubalah gunakan pelitup muka kembali. Bukan hanya di Singapura, sewaktu keberangkatan nanti di lapangan terbang, dan juga setibanya mereka di tanah suci," ujarnya.

SEDIA UNTUK MENGURUSKAN JEMAAH SEKIRANYA ADA KES COVID-19

Namun, beliau juga memberi jaminan, pihaknya sentiasa bersedia untuk menguruskan sekiranya terdapat masalah kesihatan yang timbul.

Encik Badruzzaman menjelaskan: "Kami bawa mereka ke klinik tapi di sana (Arab Saudi) tidak ada lagi ujian COVID-19. Jika mereka didapati mengalami demam atau selesema, mereka akan diberi ubat sahaja. Kami galakkan mereka untuk berehat di bilik, gunakan pelitup muka dan keluarga yang ada bersama juga untuk gunakan pelitup muka. Bermakna sudah tidak ada pengasingan lagi di sana buat masa ini."

Walaupun tidak diwajibkan, Encik Badruzzaman berharap para jemaah mengambil sikap bertanggungjawab bukan sahaja untuk keselamatan sendiri, bahkan bagi melindungi jemaah yang lain juga.

"Kadang-kadang mereka tertinggal seperti ziarah di sana tapi daripada menyusahkan orang lain, daripada dijangkiti, lebih baik sampai mereka sihat. Kalau ada kesempatan, kami akan bawa mereka pergi ke tempat-tempat yang mereka tertinggal," kata Encik Badruzzaman.

Sejauh ini, pihak Hamidah Travel belum lagi menerima sebarang pembatalan untuk pakej umrahnya yang sudahpun penuh ditempah sehingga Mac tahun hadapan.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan